HONDA nampaknya bakal menggegarkan segmen naked bike, dan sekalung terima kasih patut diberikan kepada model konsep Neo Sports Café yang kini menjadi ilham kepada banyak model pengeluaran jenama itu.
Bermula 2017, Honda buat kali pertama memperkenalkan konsep Neo yang kemudian menjadi asas kepada pembuatan CB1000R baharu. Kemudian, rekabentuk CB300F juga dirombak semula menjadi model naked serba baharu menggunakan nama CB300R.
BACA >>> Honda CB300R (2018) | 12 Fakta Pantas yang Perlu Anda Tahu
NEO SPORTS CAFE JADI ASAS
Dan tinggallah CB500F dan CB650F yang juga perlu dikemas kini. Akhirnya, konsep Neo Sports Café (gambar atas) ditayangkan di Pameran Auto Paris 2018 pada Oktober tahun lalu dan kemudian peminat mula tidak sabar menanti model 650 untuk dinaik taraf. Memang tidak lama, hanya selepas Pameran Motosikal Milan (EICMA), CB650R pun didedahkan.
Berdasarkan trend masa kini yang bergaya retro, Honda memberikan lebih sentuhan moden ke atas barisan jentera naked baharu jenama itu. Neo Sports Café nampak lebih klasik, tetapi pada masa sama juga kelihatan moden dengan garisan badan minimalis yang menyerlahkan keanggunan model tersebut.
Hasilnya ialah sebuah jentera slik dan dinamik dengan lampu utama LED bentuk ladam kuda yang diperkenalkan pada model 1000. Rupa baharu itu disempurnakan dengan rim jejari Y yang elegan.
BACA >>> #EICMA2018: Selamat Tinggal 'F', Honda Definisikan Semula CBR650R (2019)
LEBIH AGRESIF
Sama seperti model 1000 dan 300 sebelum ini, model 650 dibina atas frem keluli berlian dengan plat swingarm tekan dan spar elips kembar yang ditala untuk memberikan respon dipertingkat. Suspensi depan menggunakan fork terbalik (USD) Showa, manakala tetapan belakang menggunakan absorber boleh laras 7-tahap yang dipadankan dengan swingarm aluminium tuang.
Berbanding 650F, versi 'R' ini memiliki geometri tunggangan lebih agresif. Bar hendal dianjak sedikit ke depan dan ke bawah, manakala peg kaki diposisikan semula ke belakang yang membuatkan posisi penunggang beranjak sedikit ke depan.
Di sebalik frem ialah enjin 4-sebaris 649cc yang juga digunakan F. Bagaimanapun enjin CB650R ditala untuk mendapatkan lebih kuasa, meningkat 5 peratus melebihi 10,000rpm, dengan garis merah tinggi dan nisbah mampatan yang juga tinggi.
Corong udara tengah tunggal daripada generasi sebelum ini digantikan dengan dua tirai udara lateral yang membantu meningkatkan ambilan udara, manakala sistem ekzos kini berakhir dengan lubang paip lebih besar. Transmisi 6-kelajuan dipadankan dengan klac bantu dan sliper (A&S) yang membantu melancarkan penukaran gear. Model versi ABS turut didatangkan dengan kawalan tork.
Honda CB650R (2019) dijual pada harga AS$8,899 (RM36,429), meningkat $600 (RM2,456) melebihi model tahun lalu. Berminat?
Leave a Reply