JIKA ditanya kaki modi, apakah tip paling mudah dan murah untuk tambah top speed, pasti jawapannya - "Tukar sproket!"
Tapi tahukah anda, saiz tayar belakang lebih lebar juga mampu menyumbang kepada peningkatan kelajuan maksimum sesebuah motosikal? Macam tak percayakan?
Fakta ini mungkin agak sukar diterima kerana modifikasi sebegini selalunya dikaitkan dengan prestasi lebih teruk berbanding saiz asal.
Namun, vlogger WANMNASRAN dalam rakaman video di bawah ini mendapat hasil sebaliknya apabila dia menukar tayar belakang KTM RC200 miliknya daripada saiz asal 150/60 kepada saiz lebih lebar, 160/60.
Apakah sebenarnya yang berlaku?
Pertama sekali, anda harus ingat, kelajuan bermaksud berapa banyak jarak yang boleh dijangkau dalam tempoh masa tertentu.
Dalam rakaman video di atas, KTM RC200 milik vlogger itu secara teori mampu ditunggang dengan jarak sejauh 144km dalam tempoh sejam berdasarkan bacaan kelajuan maksimum 144kmj. Lebih kurang 7km atau 5 peratus lebih berbanding RC200 lain dengan kondisi saiz tayar asal yang cuma mencapai kelajuan maksimum 137kmj (anggaran purata) atau jarak 137km dalam tempoh sejam.
BAGAIMANAKAH TAYAR LEBAR BOLEH TAMBAH JARAK?
Jawapannya bukan lebar tayar, tapi diameter dan ukur lilit roda secara keseluruhan apabila dipasangkan tayar yang lebih lebar.
Tanpa menukar saiz rim, tayar lebih lebar bukan saja menambah kelebaran tetapi turut menambah ketinggian diameter roda, terutama jika masih mengekalkan nisbah tinggi dinding tayar. Ini merujuk kepada kelompok angka kedua dalam bacaan saiz tayar: contohnya tayar 150/60 - tinggi dinding tayar ialah 60 peratus daripada lebar tayar 150mm.
BACA >>> Apakah Maksud Kod & Simbol Tayar Motosikal Anda? Ketahui 20 Maklumat Rahsia Ini
Roda yang lebih tinggi bermakna ukur lilit roda turut memanjang. Jadi, jarak yang boleh diliputi untuk setiap putaran roda juga akan bertambah.
Contoh:
Diameter rim belakang asal KTM RC200 = 17" (inci)
- Roda A dengan tayar 150/60
Anggaran diameter rim + tayar = 21"
Ukur lilit keseluruhan = π x 21" = 66" = 1.67m - Roda B dengan tayar 160/60
Anggaran diameter rim + tayar = 22"
Ukur lilit keseluruhan = π x 22" = 69" = 1.75m
* Peningkatan sebanyak 1" dianggarkan daripada tinggi dinding dan lengkung tapak tayar.
Bagi jarak 1km bersamaan 1,000m, kadar putaran diperlukan Roda A ialah:
1,000m/1.67m = 599 putaran dalam 1km
Jadi pada kelajuan 137kmj, bersamaan 82,063 putaran dalam sejam untuk Roda A dengan saiz tayar asal. Berapakah pula kelajuan boleh dicapai dengan Roda B yang menggunakan tayar 160/60 dalam jumlah putaran sama?
82,063 putaran sejam x ukur lilit 1.75m = 143.6kmj. Hampir menyamai kelajuan sebenar yang berjaya dicapai vlogger WANMNASRAN dalam rakaman video di atas, iaitu 144kmj.
Tapi tunggu...
Sebelum anda pecut ke kedai tayar, ada beberapa perkara perlu difahami terlebih dahulu sekiranya anda berminat menukar tayar belakang lebih lebar.
1. Peningkatan kelajuan hanya boleh dicapai jika motosikal anda mampu memberikan jumlah putaran roda sama atau lebih. Ini bermakna jika motosikal anda mudah mencapai had rev atau cut-off, tayar lebih lebar pasti dapat memberikan kelajuan maksimum lebih tinggi.
Sebaliknya, jika anda jarang atau sukar mencapai had rev atau prestasi sedia ada cuma cukup makan saja, keputusan menukar tayar lebih lebar akan menambah beban dan daya seretan (drag), sekali gus memburukkan lagi prestasi jentera, misalnya daya pecutan jadi berkurangan. Dalam situasi ini, tayar lebih nipis tetapi tinggi seperti tayar asal sebenarnya lebih membantu.
2. Menukar tayar tanpa mengubah rim kepada lebih lebar, akan mengubah bentuk profil tayar dan akan memberi impak terhadap pengendalian, terutama jika memilih tayar terlalu lebar daripada saiz asal, iaitu sekitar 20mm (atau lebih) dan dengan nisbah tinggi dinding tayar sama.
Ini menyebabkan tayar membulat (atau donat), memberi impak buruk seperti jarak sentuhan jalan berkurangan dan berlaku lantunan ketara ketika mengambil selekoh.
Namun, seperti kebanyakan modifikasi, hasil yang diperoleh mungkin berbeza bergantung kepada kombinasi motosikal, pemilik, permukaan jalan dan faktor tambahan lain yang sukar dikawal.
Apapun, selamat mencuba!
Mad says
Betul la nyesal tukar tayar kecik kat rs... Tak belah pun baik. Pakai saiz asal
Madara says
Budak2 zmn la ja acah2 tyar kcik blh laju hahaha