MENGETAHUI bilakah masa membeli tayar baharu ialah perkara paling kritikal untuk dilakukan supaya kita sebagai pemandu dan penumpang dalam kereta kekal selamat.
Malah, dalam cuaca panas, memandu dengan kadar bunga tayar yang betul mampu menjamin keselamatan pemanduan, terutama ketika hujan mengejut berlaku. Asas paling mudah mengetahui kedalaman bunga tayar ialah melihat indikator haus bunga (TWI) yang tertera pada tayar. Penting juga untuk pemandu mengetahui usia tayar yang digunakan.
BACA >>> Ketahui 6 Cara Mudah Bilakah Anda Perlu Tukar Tayar Baharu?
Sekarang mari kita lihat video tentang perbezaan antara tayar yang menepati ciri keselamatan jalan raya dan tayar yang berbahaya untuk dipandu. Walaupun dalam kelajuan dalam bandar atau sederhana, perbezaan prestasi membabitkan kedua-dua kondisi tayar tersebut nyata ketara.
Ujian dilakukan menggunakan tiga kereta daripada model sama, Peugeot 308 SW yang ditandakan sebagai kereta tayar baharu [NEW], tayar haus [WORN], dan tayar bajet yang baharu [BUDGET]. Pandu uji pula dilakukan seorang blogger wanita dari Britain, Sally Whittle yang mengaku tidak berapa peduli dan tahu sangat mengenai kepentingan menjaga tayar kereta.
Pandu uji pertama memerlukan Whittle memandu secara lurus hingga melepas satu plat kuning yang dipasangkan mekanisme sebagai simulasi lopak air yang akan membuatkan keretanya berpusing.
Kereta BUDGET menyaksikan ia berpusing 360º (minit 1:24) sebaik saja melintasi plat kuning, manakala kereta WORN langsung terbabas jauh ke depan sebelum berpusing 360º (minit 1:35). Bagaimanapun, kereta NEW dapat dikawal dan tidak berpusing walaupun ada sedikit menggelincir apabila melepasi plat kuning (minit 1:47).
BACA >>> Panduan Mengepam Tayar Kereta, Bolehkah Dipam PSI Maksimum?
Pandu uji kedua pula ialah ujian membrek atas jalan basah. Whittle perlu memandu pada kelajuan 50kmj sebelum menekan brek sepenuhnya. Seperti dijangka, kereta NEW dapat berhenti lebih pantas dengan jarak henti lebih dekat, manakala kereta BUDGET jauh terbabas ke depan. Tayar WORN pula lebih jauh menggelincir ke depan dengan jarak separuh badan daripada kereta BUDGET.
Berikut komen Whittle;
"Ia betul-betul menakutkan bila tahu betapa pantas ia berlaku walaupun kita tahu apa yang kita buat ketika itu. Sebenarnya, apabila kereta terbabas dan kita terus terfikir hendak buat apa, kereta sudahpun berpusing ke belakang."
Sekarang sudah insaf ke belum?
SUMBER: AutoExpress
Leave a Reply