SEJAK muncul kategori kapcai baharu berstatus super moped dengan sesaran enjin 150cc ke atas, apa saja berita pasal segmen motosikal itu cukup popular. Ruang komen kami di laman sosial Facebook sama ada PanduLaju atau ArenaPermotoran sentiasa meriah, kecoh dan panas dengan komen netizen Malaysia.
Faktanya, kategori kapcai atau underbone paling popular di Malaysia sebenarnya ialah kapcai bajet, iaitu bersesaran 125cc ke bawah dan dalam julat harga di bawah RM5,000. Ya, siapa sangka kapcai 125cc yang suatu masa lalu dilihat sebagai motosikal premium sekitar era 90-an dan milenia, tetapi kini sudah jatuh di bawah kategori kapcai bajet. Itu maknanya apa sedara semua?
Artikel kali ini kami senaraikan beberapa pilihan kapcai bajet kepada mereka yang tidak kisah sangat pasal nak into trend kapcai, tetapi pada masa sama masih mahu bergaya. Juga opsyen buat ibu bapa yang merancang mahu belikan motosikal pertama buat anak bujang mereka. Atau kepada mereka yang tercari-cari kapcai belasahan buat ulang-alik kerja, ambil anak sekolah, pergi pasar atau ke surau dan masjid.
Paling penting menepati tajuk artikel ini, iaitu kapcai mesra subsidi kerana tahun depan Kerajaan merancang memperkenalkan subsisi petrol RON95 kepada pemilik motosikal 125cc ke bawah di bawah kategori B40, atau golongan berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.
BACA >>> #Bajet2019: Subsidi Petrol RON95 30 Sen/Liter untuk Kereta Bawah 1.5L, Motosikal 125cc
Kriteria pertama yang kami pilih ialah harga - mesti di bawah RM5,000, dan kedua, mesti mesra subsidi - di bawah 125cc dan ketiga, rekabentuk sedap mata memandang atau boleh dikompromi. Susunan senarai dibuat secara rawak, model di atas tidak menggambarkan ia lebih bagus daripada model di bawah. Jom baca!
1. OTTIMO VIZ110 [RM4,288]
Memang susah untuk tidak masukkan kapcai 110cc ini dalam senarai pilihan. VIZ110 baru saja diperkenalkan kepada pembeli Malaysia pada 20 Disember lalu. Antara ciri menarik ditawarkan ialah lampu siang dan penunjuk arah LED, pelana lebar dengan ruang simpanan u-box, soket USB untuk cas telefon pintar dan pengatup magnetik untuk slot kunci.
VIZ110 dikuasakan enjin 4-lejang silinder tunggal 110cc penyejukan udara (6.7hp, 6.9Nm) dengan kapasiti bahan ap 3.8 liter.
Rekabentuk premium ala Honda RS150R, siap dengan brek cakera di depan (kaliper 2-piston!), rim sport 5-jejari dan grafik strip menawan menjadi daya tarik utama kapcai ini. Memang nampak segak dan bergaya.
KELEMAHAN
- Tangki kecil, cuma 3.8 liter.
- Setakat ini, cuma dijual di negeri Utara.
- Isu alat ganti jadi kerisauan.
2. MODENAS KRISS MR2 [RM4,090]
Diperkenalkan April tahun lalu, Kriss MR2 dijana enjin 4-lejang silinder tunggal 110cc SOHC penyejukan udara (8.3hp, 8.2Nm). Tangki 4.5 liter memberikan lebih jarak pemanduan dan pasti berbaloi buat mereka yang mencari kapcai bajet untuk tunggangan jarak jauh. Ruang simpanan bawah pelana juga luas, jenis u-box berkapasiti 6.6 liter.
Rekabentuk memang menepati trend kapcai masa kini yang sporty. Ciri paling menarik Kriss MR2 ialah brek cakera depan jenis petal atau kelopak, dan slot kunci magnetik.
KELEMAHAN
- Rekabentuk sederhana, nampak macam kapcai bajet.
3. YAMAHA LAGENDA 115Z [RM5,683]
Kali terakhir Lagenda 115Z tampil baharu ialah pada Jun tahun lalu menerusi pembaharuan warna baharu: merah, biru dan hitam. Rekabentuk masih kekal sama dengan gaya fairing mendada ala burung unta dan brek cakera depan. Kapcai ini dipacu enjin 4-lejang silinder tunggal 115cc SOHC penyejukan udara (9.9hp, 9.9Nm) dengan teknologi suntikan bahan api (FI), dan kapasiti tangki sederhana, iaitu 4.1 liter.
Sesuai sebagai kapcai aras mula buat peminat setia Yamaha semakin di depan. Tidak perlu risau pasal alat ganti dan bengkel mana yang mahu dituju. Rekabentuk masih up-to-date dengan trend kapcai masa kini.
KELEMAHAN
- Mahal, tidak sesuai untuk pembeli dengan bajet RM5,000 ke bawah.
4. HONDA WAVE 125i [RM 5,999]
Baru saja diperkenalkan dalam versi serba baharu pada November lalu dalam dua varian, iaitu brek cakera depan dan brek cakera depan-belakang (tambahan RM300, tiada pada rakan sekelas lain). Wave 125i dijana enjin 4-lejang silinder tunggal 125cc SOHC penyejukan udara dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI (9.9hp, 10.2Nm).
Ciri paling istimewa Wave 125i ialah ruang simpanan bawah pelana 18 liter yang mampu memuatkan satu helmet saiz penuh, dan kapasiti tangki minyak 5.4 liter dengan jarak tunggangan sejauh 300km. Dua ciri ini (ruang simpanan dan tangki minyak) ialah terbaik dalam kelas moped kapcai setakat ini. Pikap memang berdesup. Memang sesuai untuk penunggang jarak jauh dan mereka yang kerap bermotosikal atas tujuan kerja.
KELEMAHAN
- Harga mahal sangat, hampir RM6,000. Tidak sesuai untuk pembeli bajet rendah.
- Rekabentuk agak skema.
5. HONDA DASH 125 [RM5,999]
Juga diperkenalkan dalam versi dan enjin serba baharu pada Julai tahun ini. Jenis trenkuasa Dash 125 sama seperti Wave 125i, iaitu 4-lejang silinder tunggal 125cc SOHC penyejukan udara (9.9hp, 9.54Nm) dengan teknologi suntikan bahan api PGMFI.
Dash 125 ditawarkan dalam dua pilihan varian: brek cakera tunggal dan brek cakera depan-belakang (tambahan RM300 = 6,299). Pembeli juga ditawarkan varian versi Repsol Honda dengan tambahan lagi RM200 (RM6,499).
Berbanding saudara Wave 125i yang skema, rekabentuk Dash 125 tampil lebih sporty dengan visor angin dan fairing dada mengancam. Cuma ruang pelana dan kapasiti tangki minyak (4 liter) tidak sebesar saudaranya itu.
KELEMAHAN
- Harga mahal, sama seperti Wave 125i. Tidak sesuai untuk pembeli bajet terhad.
6. WMOTO CUB CLASSIC 110 [RM4,588]
Satu lagi jenama tempatan tampil mencuba nasib. Menariknya, model ini tampil berbeza apabila memperkenalkan kapcai gaya retro moden. Alternatif terbaik buat peminat Honda Super Cub yang tidak dibawa masuk ke Malaysia. Paling penting, harganya mampu milik!
Cub Classic 110 jenama tempatan dikuasakan enjin 4-lejang silinder tunggal 110cc penyejukan udara (6.4hp, 8.0Nm). Walaupun bergaya klasik, tetapi kapcai ini diberikan ciri moden seperti penghidup elektrik dan tendang, fork terbalik (USD), lampu LED, lampu siang (DRL), kemasan krom, dan tidak dilupakan soket USB untuk cas telefon pintar serta ruang simpanan kecil di tepi slot kunci.
Sesuai untuk mereka yang sukakan kelainan, jenis relaks atau laju-laju nak ke mana dan pelajar universiti yang berhasrat mengurat makwe.
KELEMAHAN
- Tangki minyak kecil, cuma 4 liter.
- Harga alat ganti jadi kerisauan.
7. SM SPORT 110R [RM3,788]
Dilancarkan Julai tahun lalu, SM Sport 110R dipacukan enjin 4-lejang silinder tunggal 110cc SOHC (6.4hp, 7Nm) dengan tangki bahan api 4 liter. Antara ciri menarik ialah soket USB untuk cas telefon pintar, lampu siang (DRL), signal LED, absorber belaka Kayaba dan brek cakera petal. Menarik juga.
Rekabentuk sederhana, dan posisi menunggang agak kurang sporty. Grafik strip juga kurang menarik, termasuk sulaman benang putih pada pelana yang nampak agak over. Harga bajet di bawah RM4,000 menjadi daya penarik utama kapcai ini.
KELEMAHAN
- Rekabentuk, terutama lampu kurang menepati selera cita rasa penunggang Malaysia.
- Posisi duduk kurang tonggek.
- Grafik strip kurang menarik.
8. CMC ARIO 110 [RM3,988]
CMC (China Motor Corporation) ialah pengeluar automotif dari Taiwan. Di Malaysia, produk motosikal jenama itu dibawa masuk Chear Global Sdn Bhd (CGSB) dan jangan tidak tahu setakat ini sudah 10 model jenama CMC pelbagai segmen diperkenalkan CGSB untuk pasaran tempatan.
Ario 110 ialah satu-satunya segmen kapcai yang dibawa masuk CGSB dengan harga yang memang mampu milik. Antara ciri menarik Ario 110 ialah brek cakera depan petal dengan kaliper 2-piston, tayar tiubles, mufler sporty dengan kemasan krom.
Ario 110 dijana enjin 4-lejang silinder tunggal 110cc penyejukan udara(6.4hp, 7.0Nm), manakala tangki bahan api sebanyak 4 liter. Rekabentuk sederhana saja dengan rekaan strip sedikit hambar yang nampak sangat seperti kapcai bajet. Namun, harga murah di bawah RM4,000 dan kaliper brek 2-piston mungkin jadi daya penarik utama moped bajet ini.
KELEMAHAN
- Rekabentuk naif.
- Alat ganti jadi kerisauan.
moto moto says
Chear Motor Corporation ke China?
AO says
China Motor Corporation (CMC) - jenama
Chear Global Sdn Bhd (CGSB) - pengedar di Malaysia
sym says
alang2 ade over rm5k tp dimasukkam juga,nape sym sport rider x masuk?kecik aku..nak subsidi jugakkk
Tong says
Mana honda wave alpha 110??
Atomik says
Honda wave alpha kan bawah rm5k, jimat minyak dan sporty.
Upin says
How about SYM Sport Rider 125i ? Is it affordable and fuel saving? If not mistaken the otr price is around RM5600
HASLIZI BIN HASAN says
Mana aku punya motor aveta rx110
Atoi says
Tk maklumat.
Sdg cari motor budget utk jalan dekat2 je..