UMUMNYA, definisi sebenar trak pikap (pickup truck) atau pikap (pickup) ialah kenderaan ringan (light) dengan ruang kargo terbuka.
Di Malaysia, maksud pikap yang difahami kebanyakan kita ialah apa saja kenderaan yang mempunyai ruang kargo terbuka di belakang tidak kira sama ada bentuk kereta seperti Proton Arena atau 4x4 (disebut four-by-four) seperti Toyota Hilux.
Trak pula merujuk kepada sub spesies lori selain treler yang tidak terlalu panjang (seperti Optimus Prime), manakala istilah trak pikap pula hampir tidak pernah digunakan.
Sebaliknya, di Amerika Syarikat (AS), trak diklasifikasikan kepada rating berat kasar kenderaan yang terbahagi kepada 3 kategori utama:
- Tugasan Ringan (Light Duty)
- Tugasan Sederhana (Medium Duty)
- Tugasan Berat (Heavy Duty)
Setiap kategori pula terdiri beberapa Kelas berbeza (1-8) mengikut berat kenderaan.
Di AS, trak pikap @ pikap diklasifikasi dalam famili trak dan duduk di bawah kategori trak Tugasan Ringan dan Sederhana Kelas 1 - 5 (0-8,845kg).
Agak peningkan? Maksudnya, istilah trak pikap di AS cuma khas untuk trak Tugasan Ringan (Hilux, Nissan Navara, Mitsubishi Triton) dan Tugasan Sederhana (GMC 4500, Ford F-550). Sebaliknya, panggilan trak secara tunggal dikhaskan untuk kategori Tugasan Berat seperti trak 'Optimus Prime' (Peterbilt Model-379).
Apa Pula Kenderaan Utiliti Coupe?
Bagaimanakah pula kereta pikap seperti Arena? Negara-negara Eropah seperti Britain juga menggelarkan kenderaan seperti Arena sebagai pikap. Namun, di AS ia disebut kenderaan utiliti coupe @ coupe utility - yang dibina berasaskan casis kereta biasa.
Sesetengah negara lain pula memiliki terma sendiri untuk pikap jenis utiliti coupe aka Arena ini. Ia dipanggil ute (utility vehicle) di Australia dan New Zealand, atau bakkie di Afrika Selatan. Di Eropah, pikap juga menjadi sebutan kepada kereta ruang kargo terbuka, tetapi jarang dijumpai kerana van kerap digunakan untuk kegunaan sama.
BACA >>> #RetroAuto: Sejarah Ute aka Kereta Pikap, Kenapa Begitu Popular di Australia?
Bagaimanapun, beberapa kenderaan di Amerika Utara seperti Chevrolet El Camino, Ford Ranchero, Dodge Rampage, Honda Ridgeline dan Subaru Baja tidak diklasifikasikan sebagai pikap/trak pikap walaupun memiliki ruang kargo terbuka di belakang kerana rekabentuk dan pembinaannya tidak memenuhi kriteria 'trak'.
Body-On-Frame
Sebabnya, walaupun El Camino dan Ranchero dibina dengan arkitektur bingkai badan (body-on-frame), ia sebenarnya berasaskan platform station wagon sedia ada, manakala Ridgeline menggunakan casis keluli monokok kimpalan yang sama seperti kereta penumpang moden.
Trak biasanya memiliki casis tubular atau rel alur (channel rail) dengan kabin apungan penuh dan bahagian kargo terpisah untuk memberikan fleksibiliti casis selain menghalang kepingan logam meleding.
Kombinasi dua gaya, kabin monokok dan ruang enjin dikimpal pada belakang casis bahagian C biasa digunakan untuk trak seperti kabin casis Mercedes-Benz Sprinter, tetapi bukan sesuatu yang biasa didapati di Amerika Utara.
Di Australia, pikap dikategorikan kenderaan satu tan berdasarkan kemampuan membawa atau menunda beban lebih 250kg berbanding kenderaan monokok lain. Van panel yang popular di Australia sekitar 1970-an dibina berasaskan casis pikap atau dikenali sebagai 'kotak' (box) di Mesir. Ini bermakna pikap di Australia tidak semestinya kenderaan dengan ruang kargo terbuka. Ia boleh jadi van panel atau kereta tunda!
Di Romania, pikap dikenali sebagai slipper, Mesir (semi-trak) dan Israel (tender).
Van panel dan kenderaan utiliti coupe biasanya memiliki ruang kargo bersepadu di belakang kabin dengan badan monokok seperti kereta biasa.
Kini, rekabentuk sesebuah pikap moden mengalami banyak perubahan ketara dan dipasarkan dalam pelbagai gaya dan saiz berdasarkan pasaran sesebuah negara. Malah, istilah dan terma juga berbeza. Jadi tidak perlu bergaduh siapa betul, siapa salah.
Dan kita di Malaysia, pikap ialah Hilux dan trak ialah Optimus Prime! Mudahkan.
Leave a Reply