PENGERUSI Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam artikel terbaharunya di chedet.cc menyatakan orang ramai perlu mengubah persepsi buruk dan harus terus menyokong kenderaan Proton.
Dalam artikel dicatatkan pada 9 Februari 2016, bekas Perdana Menteri Malaysia itu memaklumkan pelbagai penambahbaikan sudah dilakukan terhadap kenderaan Proton termasuk menepati syarat standard keselamatan antarabangsa.
Berikut adalah beberapa perkara dicatatkan dan diolahkan dalam bahasa melayu.
- Baru-baru ini, saya merasmikan penghidupan enjin baharu Proton. Penghasilan enjin baharu ini bakal menggantikan enjin Campro Proton sedia ada yang kini sudah berusia lebih 10 tahun. Penggunaan Campro dilihat tidak lagi sesuai dan pengeluaran enjin baharu ini adalah yang terbaik bagi menggantikannya.
- Kami banyak eksport kenderaan Proton ke UK. Pembangunan enjin baharu oleh jurutera Proton yang bekerjasama dengan RICARDO di UK membolehkan kita memenuhi syarat-syarat di UK dan Eropah. Kami berharap untuk mengeksport semula kereta Proton di negera-negara seperti ini.
- Setiap enjin sudah menjalani ujian ketat termasuklah perjalanan sejauh 5 juta KM. Selewat-lewatnya penghujung 2017 ia akan dipasang pada kenderaan Proton. Untuk makluman, penghasilan sesebuah kereta memerlukan banyak masa.
- Proton sedar akan persepsi negatif terhadap Proton. Tidak ada apa yang dapat memujuk mereka untuk kembali membeli kereta Proton. Sudah tentu kebanggaan memiliki kereta buatan Malaysia tidak ada pada mereka.
- Kenderaan yang kami hasilkan sekarang tidak lagi seperti sebelumnya. Banyak pembaikan dan ciri-ciri menarik ditampilkan daripada kereta lain yang sama kategorinya. Malah ciri-ciri yang terdapat pada kenderaan mahal boleh didapati pada Proton.
- Proton Iriz 1.6 misalnya mempunyai enam beg udara.
- Sesuatu perkara itu perlu diadili dengan mengalaminya sendiri. Untuk itu, orang ramai perlu memandu sendiri untuk mengetahui kecekapannya. Saya memandu Iriz dan Suprima S dan percayalah, saya seronok memandu kereta ini. Iriz misalnya, ia mempunyai stereng berkuasa elektrik, ringan dan bertindak balas dengan cepat apabila melakukan pecutan.
- Saya fikir kereta Proton layak dipandu uji oleh seluruh rakyat Malaysia. Beritahu kami tentang pengalaman anda. Kritiklah kereta ini. Kami mahukan maklum balas supaya boleh menambah baik kereta ini.
- Saya bukanlah seorang jurutera tetapi tahu sesuatu tentang kejuruteraan. Percayalah, bukan mudah untuk membina, menguji dan mengeluarkan kereta. Sekiranya anda biasa dengan permainan mencantum gambar (jigsaw puzzle), anda akan memahami masalah yang dihadapi oleh jurutera dan pekerja pemasangan kami.
- Terdapat 4000 alat atau bahagian untuk direkabentuk, dibuat dan dicantum bersama. Kita adalah satu-satunya negara membangun di dunia yang boleh lakukan semua ini. Saya merasakan bahawa pekerja dan jurutera kami layak untuk diuji sekiranya tidak disokong.
- Kami bukanlah punca harga kereta naik. Bantuan yang kami peroleh dari kerajaan juga sama seperti syarikat lain. Kami memiliki hampir 90 peratus kandungan tempatan; jadi kami membayar kurang duti eksais. Sejak penubuhan Proton, kami sudah membayar lebih daripada RM24 billion dalam cukai manakala menerima hanya RM14 bilion dalam potongan duti eksais, bukan secara tunai. Ya, kami telah menerima sebahagian daripada geran penyelidikan dan pembangunan yang dijanjikan kepada industri.
- Cukai ke atas kenderaan bermotor adalah punca kepada kenaikan harga.
- Penting untuk kita mengingati bahawa apabila membeli kereta luar negara, wang akan mengalir keluar dari negara ini untuk menjamin ekonomi mereka, juga sebagai manfaat kepada pekerja mereka.
- Apabila anda membeli kereta tempatan, wang akan kekal dalam negara, pekerja akan mendapat wang, pengedar dan ejen juga pekerja mereka akan menikmati perniagaan yang diusahakan dan ekonomi tempatan akan berkembang.
- Bayangkan sekiranya semua industri tempatan ditutup, tidak ramai yang mampu membeli barangan import. Kita akan kembali menjadi sebuah negara dunia ketiga yang gagal.
- Malaysia adalah sebuah negara perdagangan, kita mengeksport dan mengimport. Sekiranya import melebihi eksport, kita tidak akan berkembang dan makmur. Semua negara yang mengeksport kereta ke Malaysia melindungi pasaran mereka, dengan ini Proton tidak dapat masuk ke situ.
Artikel asal boleh dibaca di: https://chedet.cc/?p=1989
Leave a Reply