JIKA kita mengikuti dunia hiburan dan permotoran, ada semacam hubung kait yang rapat antara dua cabang industri itu. Aktor dan aktres memang dikenali sebagai individu yang sangat sukakan kereta dengan memiliki banyak koleksi menggagumkan.
Selebriti seperti Jay Leno memiliki barisan kenderaan hebat dan mengelola rancangan automotif sendiri. Ada juga selebriti yang mempunyai bakat dalam dunia perlumbaan. Lihat saja catatan masa dibuat selebriti tempatan dalam Festival Perlumbaan GAZOO Racing, memang hebat.
Ini pula projek khas melibatkan aktor Hollywood terkenal, Kevin Costner dan Toyota yang berkolaborasi untuk Pameran Persatuan Barangan Khas (SEMA) 2018 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS). Projek itu dimulakan Costner sendiri apabila beliau menghubungi Naib Presiden Kumpulan Toyota, Ed Laukes.
BACA >>> Toyota Hilux 'Invincible 50 Chrome' Sempena Ulang Tahun ke-50 dengan Ekstra Krom
Minat aktor senior itu ialah terlibat aktiviti luar dan itulah objektif projek trak pikap saiz penuh Tundra.
Berikut butiran projek Toyota Tundra pilihan Kevin Costner:
- Rakan ubah suai projek tersebut ialah Complete Customs dari Texas.
- Pelbagai kelengkapan dan aksesori yang diubah suai khas, dipasangkan bagi memenuhi gaya hidup aktif Costner.
- Costner tidak hanya terlibat pada nama, tetapi aktif sejak awal hingga akhir, malah beliau menyiapkan lakaran sendiri model konsep itu.
- Complete Customs kemudian melukiskan semula dan bertemu aktor itu untuk perincian projek.
- Tundra Costner dilengkapi bampar depan dan belakang baharu lebih ranggi yang dihasilkan daripada besi padat dan berat.
- Kedua-dua bampar dilengkapi win Warn dan palang lampu LED Rigid Industries.
- Bahagian bumbung dilekapkan rak 2-piece. Menariknya, ia dipanjangkan hingga bumbung penutup kargo, berjenama ARE V Series Truck Cap.
- Tundra ialah pikap saiz penuh dengan saiz rak memang cukup luas menyimpan barang.
- Antara ubah suai wajib yang dibuat ialah untuk kegunaan lasak seperti profil badan dinaikkan dengan kit tinggi BDS 4.5 inci dan dipadankan set suspensi Fox.
- Roda asal digantikan rim Method Race 18 inci dan tayar Nitto Ridge Grappler 35 inci.
- Pikap tinggi itu turut dipasangkan pemijak kaki sisi N-Fab.
- Ciri terbaik lain ialah peti sekuriti Lock’er Down yang diletakkan di bawah kerusi dan konsol tengah.
- Ruang kargo belakang dipasangkan peti sejuk dual zon Dometic untuk simpanan sejuk dan segar.
- Pikap itu bukan saja untuk kembara solo atau bersama rakan, Costner turut memasangkan set televisyen di belakang perehat kepala, manakala ruang tidur siap dengan pad untuk anak-anaknya.
Costner nampaknya bersungguh-sungguh dalam merealisasikan projek berkenaan dan beliau tahu apa yang dimahukan. Sebelum SEMA, beliau sendiri menguji trak pikap tersebut. Bot ditarik di belakang Tundra untuk pergi memancing di ladang miliknya di Colorado. Beliau juga membawa trak pikap itu ke lokasi penggambaran.
BACA >>> Toyota Hilux GR Sport Baharu untuk Pasaran Brazil Diperkenal
Leave a Reply