DALAM kategori trak pikap, Isuzu D-Max berada dalam kelas tersendiri. Pengeluar itu ibarat Mazda yang tidak terlampau peduli dengan trend, sebaliknya yakin dengan kebolehan sendiri. Walaupun bukan nama popular yang disebut-sebut pengguna massa, Isuzu terkenal di kalangan pengguna komersial. Lihat sahaja jumlah lori jenama Isuzu yang melata atas jalan.
Jadi, apabila Isuzu menghasilkan trak pikap, tidak hairan pun apabila dua ciri kegemaran industri itu turut dipakejkan bersama, iaitu cekap bahan api dan kos penyelenggaraan rendah. Inilah dua kelebihan D-Max kepada sesiapa yang cuba menyelidik dan membandingkan D-Max dengan pikap lain di pasaran.
BACA >>> 7 Fakta Pantas | Isuzu D-Max X-Series Edisi Terhad di Malaysia - RM118k, 210 Unit Sahaja
Awal tahun ini, Isuzu Malaysia melancarkan D-Max facelift dengan melakukan beberapa pengemaskinian supaya tampil lebih relevan dengan peredaran semasa.
Di rantau lain, di pasaran Britain misalnya turut menawarkan barisan D-Max (2019) dengan estetika sama, tetapi ada beberapa perbezaan. Dilancarkan 1 Oktober lalu, trak pikap itu dilengkapi teknologi Kawalan Ayunan Treler (Trailer Sway Control (TSC), standard untuk semua varian.
KAWALAN AYUNAN TRELER (TSC)
Teknologi itu menggunakan sensor untuk mengesan ayunan bahagian belakang (kargo) dan mengurangkan kelajuan apabila situasi tersebut berlaku. Kemudian, kelajuan jentera akan diperlahankan dengan mengurangkan tujahan enjin, manakala brek diaktifkan automatik tanpa sentuhan pemandu.
Pada masa sama, lampu brek dinyalakan sebagai isyarat trak pikap itu sedang membrek dan diperlahankan. Seperkara menarik yang diubah, ialah dedaun suspensi D-Max Double Cab dikurangkan daripada lima kepada tiga lapisan kepingan.
Secara tradisional, trak pikap bukan kenderaan yang mesra penumpang belakang dan perubahan ini dapat menambah baik tahap keselesaan dan mengurangkan kadar bunyi bising. Walaupun dedaun suspensi dikurangkan, tetapi kekuatan, ketahanan dan keupayaan menunda kekal sama seperti model lama.
Prestasi tersebut dapat dicapai kerana material digunakan diperbuat daripada bahan berkekuatan tinggi. Selain itu, ketahanan daripada karat juga lebih baik menerusi penggunaan besi baharu kalis hidrogen dengan tahap kakisan lebih perlahan. Berat D-Max Double Cab juga dikurangkan hingga 10kg, sekali gus membolehkan beban muatan ditambah dalam jumlah sama.
BACA >>> Isuzu D-Max (2018) Facelift Lebih Garang dan Umphh! - Harga Bermula RM105,811
DALAMAN PREMIUM
Ruang dalaman D-Max (2019) lebih mewah menerusi beberapa penaiktarafan seperti material lembut pada perehat lengan dan beberapa bahagian lain. Efek mewah lain diserlahkan dengan kemasan hitam kilat pada suis tingkap, ventilator udara dan kotak papan pemuka yang kini hadir dengan logo D-Max baharu.
Selain ciri atas, D-Max UK juga lebih istimewa apabila didatangkan dalam varian enjin kecil yang tidak ditawarkan di negara kita, iaitu 1.9L diesel turbo berkuasa 162hp dan tork 360Nm. Walaupun kecil, trak pikap itu mampu menunda beban hingga 3.5 tan.
D-Max (2019) versi UK dipasarkan pada harga bermula £16,799 (RM91,814) untuk 4x2 Single Cab dan £29,799 (RM162,864) untuk varian paling premium, Blade (automatik).
Leave a Reply