Dalam artikel Ogos lalu, kami ada melaporkan tentang pengeluaran skuter Vespa Elettrica (2019) yang akan dimulakan September ini. Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Piaggio Group, skuter elektrik itu dijangka dijual penghujung bulan ini. Namun, nampaknya Elettrica bakal muncul lebih awal.
Elettrica (2019) sudah mula dijual di Eropah dan pelanggan boleh membuat tempahan awal menerusi laman web khas model skuter EV itu. Bagaimanapun, model tersebut hanya dipasarkan di zon Euro membabitkan 19 negara yang menggunakan mata wang Euro (€).
BACA >>> 3 Vespa Edisi Terhad Kini di Malaysia - Harga Bermula RM17k
Harga Elettrica (2019) ialah €6,390 (RM30,499) bersama pakej ansuran mudah €99 (RM473) sebulan. Tawaran pembayaran rendah itu turut didatangkan dengan pakej Vespa Care merangkumi servis kenderaan 36 bulan atau 10,000km, lanjutan waranti 12 bulan, pemeriksaan bateri berkala dan bantuan jalanan bersama servis istimewa.
SPESIFIKASI TEKNIKAL
Elettrica (2019) memiliki prestasi sama seperti skuter 50cc dengan motor DC berkuasa 2.7hp dan kuasa puncak 5.4hp. Isian penuh bateri litium mampu memberikan perjalanan sejauh 100km dan boleh dicas hingga empat jam dengan anggaran kitaran hayat 1,000 kali cas, bersamaan tunggangan sejauh 50,000-70,000km dalam dunia sebenar.
Piaggio tidak mendedahkan sebarang maklumat kelajuan maksimum Eletrrica (2019), tetapi menyatakan ia dihadkan kepada 30kmj apabila mod ECO diaktifkan. Kebanyakan skuter kelas 50cc memiliki kelajuan maksimum antara 48-64kmj. Jadi, boleh diandaikan kelajuan maksimum model ini adalah dalam julat tersebut.
BACA >>> Yamaha Patenkan Beg Udara Skuter untuk Kurangkan Risiko Cedera
Selain itu, Elettrica (2019) turut dilengkapi mod Power selain panel pemuka TFT dan sambungan Bluetooth.
Leave a Reply