SALAH satu streetfighter terbaik yang boleh dibeli dengan wang bakal menerima pembaharuan lebih baik. Aprilia Tuono V4 1100 Factory dijangka mendapat set suspensi Öhlins semi-aktif untuk versi 2019. Pengumuman itu khabarnya akan dibuat di Pameran Motosikal Antarabangsa (Intermot) 2018, di Jerman, minggu ini.
Jika benar, ia boleh dianggap sebagai langkah pengemaskinian terbaik dilakukan Aprilia yang bakal mengukuhkan lagi reputasi jenama Tuono V4 1100 menjelang akhir tahun ini, terutama dalam berdepan seteru utamanya, KTM 1290 Super Duke R.
Cukup baik dapat melihat Aprilia melabur untuk platform Tuono walaupun ramai juga tertanya sampai bilakah platform sedia ada akan terus digunakan? Siri Aprilia Tuono V4 bakal memasuki usia pengeluaran tahun ke-8 dan akan bersaing dengan streetfighter jenama lain dan kita semua tahu segmen itu sentiasa berevolusi.
BACA >>> Aprilia Tuono V4 1100 Factory Kini di Malaysia - RM104,251!
Pemilihan suspensi semi-aktif turut membantu membezakan antara model Aprilia Factory dan RR. Kedua-dua produk memiliki spesifikasi dan fungsi hampir sama, tetapi faktor paling ketara yang membezakan dua model itu ialah jurang harga.
Sebenarnya, keupayaan suspensi Sachs pada model RR sama seperti Öhlins, baik di jalan raya atau trek. Tetapi, apabila produk Factory didatangkan dengan suspensi Öhlins semi-aktif, manakala RR mengekalkan komponen tradisional Sachs, jadi spesifikasi kedua-dua model itu kini seiring beza harga ditetapkan Aprilia. Rasanya, lebih baik jika Aprilia menawarkan rim tempa untuk model Factory, tetapi mungkin untuk versi akan datang.
BACA >>> #EICMA2017: KTM 790 Duke (2018) - Streetfighter Dwi-Silinder Debut di Milan
Kita mungkin menjangka Tuono V4 akan bersara menjelang 2021 berikutan syarat homologasi Euro5. Ini bermaksud peminat Aprilia masih ada beberapa tahun lagi untuk merasai kehebatan jentera tersebut. Intermot 2018 pula hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Jadi nantikan berita terkini dunia dua roda dari pameran motosikal antarabangsa itu.
SUMBER: AsphaltAndRubber
Leave a Reply