PENGGUNA telefon pintar Malaysia kini boleh memanfaatkan ciri unik Waze menerusi perisian Apple CarPlay yang menggunakan sistem operasi (OS) iOS 12.
Waze baru-baru ini mengumumkan integrasi dengan Apple CarPlay dalam usaha merealisasikan misi mengurangkan lalu lintas dan menjadikan pemanduan lebih selamat dan mudah kepada pengguna jalan raya. Sebagai salah satu aplikasi navigasi pertama di platform CarPlay, integrasi Waze itu akan membuka peluang kepada berjuta-juta pengguna CarPlay untuk menggunakan ciri Waze dengan lancar, terus daripada unit infotainment dalam kereta.
BACA >>> Apple CarPlay [SIRI 1/2]: Ketahui Sejarah Aplikasi Bebas Tangan
Pemandu yang menggunakan CarPlay kini boleh memuat turun aplikasi Waze dan pergi ke destinasi pilihan dengan lancar. Caranya semudah menyambungkan telefon pintar iPhone kepada sistem yang menyokong CarPlay menggunakan kabel USB atau sambungan wayarles (jika ada). Kemudian, pemandu boleh mencari destinasi, memilih laluan kegemaran, melaporkan isu trafik dan banyak lagi.
Strategi platform Waze, Jens Baron mengakui teruja utnuk memperkenalkan kuasa komuniti Waze terus ke dalam konsol kereta pemandu yang menggunakan Apple CarPlay.
“Ini membolehkan kami merealisasikan salah satu integrasi paling diminta pengguna, dan memberikan peluang kepada mereka untuk menikmati manfaat Waze pada paparan Apple CarPlay yang lebih besar,” katanya
Malaysia ialah tuan rumah kepada kira-kira 5.9 juta pengguna Waze aktif bulanan, dan kebanyakan pemandu menggunakan aplikasi itu menerusi telefon pintar. Jadi, dengan menawarkan pilihan Waze pada Apple CarPlay, peminat Apple dan pengguna CarPlay Malaysia kini boleh menggunakan aplikasi navigasi tersebut dengan lebih mudah. Malah, integrasi dibuat dengan memastikan ciri Waze disesuaikan khas untuk OS dan antara muka pengguna CarPlay.
BACA >>> Apple CarPlay [SIRI 2/2]: Ketahui Fungsi, Kelebihan dan Cara Menggunakannya
Dengan menggunakan Waze menerusi CarPlay, pemandu dapat menikmati pengalaman seperti:
- Setkan destinasi kegemaran (Favourites), Home (rumah) dan Work (kerja): Navigasi ke destinasi yang diprogramkan dapat dibuat semudah sekali klik.
- Aturkan perkara diperlukan pemandu dalam satu skrin paparan lengkap sebelum memulakan perjalanan, termasuk memantau laluan alternatif dan menyesuaikan tetapan bunyi dengan mudah.
- Laporan: Kini lebih mudah untuk membantu pemandu lain dengan menu laporan visual, berbanding sebelum ini.
- Makluman: Terima makluman visual dan audio untuk sentiasa dikemas kini sambil mengekalkan kedua-dua tangan pada stereng.
Waze untuk Apple CarPlay diperkenalkan di 26 September lalu secara beransur-ansur.
Leave a Reply