DALAM dunia automotif, tanda nama popular seperti GTI, GT atau Evo sebenarnya bukan milik eksklusif sesuatu jenama, misalnya Volkswagen Golf GTI dan Peugeot 308 GTi, atau Bentley Continental GT dan Kia Ceed GT.
Ada tanda nama begitu sinonim dengan jenama tertentu, seperti Evo untuk Mitsubishi Lancer atau WRX untuk Subaru. Namun, itu bukan bermakna mana-mana pengeluar boleh sesuka hati menggunakannya kerana ia satu bentuk penghormatan. Janganlah pula GTI digunakan untuk kereta berkuasa 86hp atau SuperVeloce (SV) untuk kereta penumpang dengan rim besi.
BACA >>> Kia Ceed GT (2019) Kini dengan Gear DCT 7-Kelajuan
Jika dinaik taraf kepada aras lebih tinggi itu tidak mengapa. Terkini, nama Evo tidak lagi eksklusif untuk pengeluar Jepun apabila Volkswagen turut mempunyai varian Golf 1.5 TSI Evo. Satu lagi subsidiari Volkswagen Group turut menggunakan nama sama apabila Lamborghini Squadra Corse melancarkan Huracan GT3 EVO (2019).
Ini bukan Lamborghini Aventador SVJ 63, tetapi model khas perlumbaan yang dilancarkan di litar Nürburgring sempena pusingan Lamborghini Super Trofeo Europe. Tanda nama EVO pula ialah model evolusi kepada Huracán GT3 yang memegang status juara 12 perlumbaan antarabangsa, termasuk kejuaraan Rolex 24 at Daytona dan 12 Hours of Sebring.
Berikut 12 fakta pantas mengenai Lamborghini Huracan GT3 EVO (2019):
- Huracan GT3 EVO dibangunkan divisyen permotoran Lamborghini, Squadra Corse di Sant’Agata Bolognese, Itali.
- Pembangunan model dibuat berasaskan tiga tahun pengalaman perlumbaan serata dunia.
- Objektif utama proses pembangunan ialah menambah baik pemanduan supaya lebih mudah dan berada dalam jangkaan pemandu bukan profesional, termasuk meminimumkan kos pengurusan untuk pasukan lumba.
- Pasukan yang menjadi Huracan GT3 sebagai jentera lumba boleh menaik taraf model itu kepada kit EVO untuk tiga tahun perlumbaan akan datang
- Proses merekabentuk mengambil masa lebih setahun yang menumpukan aspek aerodinamik dengan kerjasama Dallara yang memiliki pengalaman dalam sukan permotoran lebih 40 tahun.
- Perubahan ketara ialah spliter, manakala bonet gentian kaca digantikan gentian karbon, termasuk komponen diambil daripada Huracan Super Trofeo Evo yang menambah baik prestasi penyejukan radiator.
- Rekabentuk bampar memberikan lebih mendapan, manakala spoiler gentian karbon meningkatkan aerodinamik. Difuser baharu turut diperkenal.
- Suspensi Öhlins 4 saluran memberikan kawalan optimum.
- Stereng Kuasa Hidraulik Elektro (EHPS) dengan suis untuk pelarasan bantuan kuasa stereng ketika memandu.
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) baharu buatan Bosch ABS M5.
- Menggunakan enjin 5.2L V10 daripada model baharu Huracan.
- Frem keselamatan direka semula dan lebih selesa untuk pemandu bertubuh tinggi
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Sebab Kenapa Lamborghini Bikin SUV (dan Ferrari Pun Ikut Sama)
Huracán GT3 EVO kini sudah boleh dipesan, manakala pemilik GT3 sedia ada boleh menaik taraf jentera masing-masing dengan kit EVO. Model lumba ini bakal membuat penampilan sulung pada 24 Hours of Daytona, Januari tahun depan.
Leave a Reply