DENGAN saiz badan yang rata-rata kecil dan rendah, tugas memandu bagi kaum hawa memang mencabar. Tetapi bak kata peribahasa, alah bisa tegal biasa dan kaum lelaki mesti beri tabik kerana di atas jalan raya hari ini ada ramai kaum wanita yang berketinggi rendah di bawah 5 kaki masih kekal relaks dan tenang memandu.
Tetapi bagi pemandu wanita yang baru hendak pegang stereng (baca: dapat lesen), ia pasti pengalaman mendebarkan. Dek kekurangan fizikal diri, ramai mengambil sikap terlalu berhati-hati. Kalau kita perasan, pemandu wanita bertubuh kecil cenderung menggerakkan seluruh tubuh mereka ke depan hingga terlalu rapat dengan stereng untuk memudahkan kaki menekan pedal brek.
BACA >>> Pemandu Wanita Tak Perlu Lagi Risau, Bengkel G-Car Ada Khas Untuk Anda!
Cukup bahaya! Ini kerana posisi selamat ketika memandu ialah menolak belakang badan sepenuhnya pada penyandar kerusi, dengan bawah badan dijauhkan dari kerusi.
Nampak macam remeh, tetapi posisi rapat ke stereng sangat berbahaya jika berlaku perlanggaran kerana beg udara yang mengembung dengan kelajuan 320kmj berisiko menyebabkan impak kuat ke atas badan pemandu. Walaupun memakai tali keledar, impak yang terhasil akibat posisi memandu tidak betul boleh menyebabkan anggota badan patah dan kecederaan serius lain.
Ya, memang mencabar bagi seorang wanita bertubuh genit mendapatkan posisi memandu yang tepat dan selamat. Tetapi, itu bukan bermakna ia tidak boleh dilakukan. Jika anda salah seorang daripada wanita itu, cuba ikut tip yang kami kongsi ini.
1. LARASKAN RODA STERENG
Roda stereng @ stereng sepatutnya lurus ke dada, tidak tinggi ataupun rendah. Secara anatomi tubuh badan manusia, tulang dada kita lebih kuat berbanding tulang leher. Jadi, ini sedikit sebanyak membantu survival jika berlaku perlanggaran secara berdepan yang menyebabkan badan menghentam roda stereng.
2. GUNA PERKAKAS BANTU DAN GAJET
Kejelasan pandangan ialah masalah utama wanita berbadan kecil. Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah gunakan kusyen jenis kesat (non-slip) di atas kerusi untuk meninggikan posisi badan. Ini dapat membantu anda melihat jalan di depan.
Sesetengah kereta moden hari ini menawarkan kerusi jenis boleh laras, sama ada secara automatik atau manual. Mungkin boleh masukkan ciri ini sebagai syarat wajib sebelum beli kereta baharu. Jangan lupa cuba dulu fungsi tersebut.
3. PRAKTISKAN JARAK SELAMAT YANG BETUL
Jarakkan kerusi sekurang-kurangnya 10 inci (25sm atau lebih kurang sejengkal setengah) antara tulang dada dan tengah roda stereng. Tiada kompromi untuk jarak ini.
Ini mungkin masalah besar bagi wanita kecil, yang secara semula jadi akan cuba bergerak ke depan stereng supaya kaki mereka selesa dengan pedal brek. Mungkin ada tidak tahu, ekstender pedal ada dijual dan boleh dibeli di laman web atas talian, atau di kedai aksesori kereta. Inilah cara paling selamat dan terbaik untuk merapatkan jarak antara kaki dan pedal.
4. PAKAI TALI KELEDAR DENGAN BETUL
Apa yang bagus tentang tali keledar ialah ia boleh dilaraskan mengikut ketinggian pemandu. Pastikan tali di bahagian bahu melintang lurus sepanjang dada, manakala tali pinggang dipasang ketat merentasi pinggul.
5. PEGANG STERENG DALAM POSISI JAM 3 DAN 9 ATAS
Ya, jam 3 dan 9 ialah posisi terbaik memegang stereng kereta moden hari ini untuk mengelak tangan menghentam muka sekiranya beg udara meletus mengejut.
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Cara Pegang Stereng Kereta dengan Betul?
Jangan jadikan fizikal sebagai penghalang dan mematikan keseronokan anda memandu. Apa yang anda perlukan ialah sedikit modifikasi, kreativiti dan keyakinan. Asalkan mematuhi segala tip di atas, anda pasti dapat enjoy memandu seperti mana pemandu lain.
Leave a Reply