PEMILIK Proton Wira, Proton Iswara dan Toyota Hilux perlu lebih berjaga-jaga kerana kenderaan anda kini menjadi sasaran utama pencuri Malaysia berikutan permintaan tinggi terhadap alat ganti, komponen dan aksesori terpakai model tersebut di pasaran tempatan.
Menurut Berita Harian, laporan separuh pertama 2018 dikeluarkan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mendedahkan pemilik Proton kelas persendirian paling banyak membuat tuntutan kecurian, iaitu 654 unit dengan model Wira mendahului senarai (250 unit).
BACA >>> Proton Wira - 'Kereta Panas' Nombor Satu Diburu Pencuri Malaysia Sepanjang 2017
Menyusul selepas itu ialah Proton Iswara (188 unit), Toyota Hilux (183), Perodua Kancil (128), Perodua Myvi (111), Proton Saga (110), Proton Waja (69), Honda Civic (56) dan Proton Satria (37). Bagaimanapun, jumlah tuntutan kecurian untuk semua kelas kenderaan mencatatkan penurunan sebanyak 31 peratus kepada 5,913 unit pada separuh pertama 2018 berbanding 8,560 unit dalam tempoh sama pada 2017.
Malaysia berada di kedudukan ketiga terburuk di Asean dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam. Sesuatu perlu dilakukan pihak berkuasa untuk menangani kes jenayah ini. Tahun lalu dan 2016, Wira juga menjadi model paling diburu pencuri kereta.
Kepada pemilik yang memiliki jenis model seperti disebut, ada baiknya mengambil inisiatif tertentu seperti memasang penjejak GPS sebagai langkah antara mengatasi efisien kecurian. Jangan biarkan jenayah berleluasa dan senang-senang saja merembat kereta kita.
Leave a Reply