KALI pertama saya memandu Peugeot 508 pada 2013. Pada waktu itu, ia adalah salah satu kenderaan segmen D yang disukai. Selepas hampir tiga tahun, saya sekali lagi diberi peluang memandu uji Peugeot 508 versi naik taraf (facelift).
Secara peribadi, model versi facelift itu adalah evolusi terbesar bagi barisan model berkenaan. Walaupun penampilannya tampak hampir sama seperti sebelumnya, namun terdapat beberapa perubahan dari segi kosmetik.
Melihat dari hadapan, ia tampak lebih berani dengan kehadiran lampu depan signatur Peugeot yang menggunakan teknologi LED sepenuhnya.
Malah gril juga 'diatur' semula dengan rekaan menegak yang memberikan pandangan lebih luas selain penggunaan bonet mendatar.
Logo Peugeot yang sebelum ini diletakkan atas bonet hadapan kini beralih pada bahagian tengah gril. Walaupun tampak ringkas, saya suka dengan perubahan ini. Rekabentuk ditawarkan kini kelihatan lebih sporty selain gayanya yang elegan dan berkualiti.
Bahagian belakang juga tidak kurang hebat. Rekaan lampu belakang masih lagi mengekalkan signatur Peugeot iaitu kuku singa.
Memasuki ruangan kabin pula, saya dapati Peugeot turut melakukan perubahan. Antaranya penggunaan kemasan keras dan lembut berkualiti tinggi bagi meningkatkan imej mewah.
Selain itu, Peugeot sebelum ini meletakkan tolok kawalan butang audio di belakang stereng sedikit menyukarkan capaian bagi pemandu namun kini ia diletakkan atas stereng.
Sudah pasti ia memudahkan lagi operasi kawalan audio. Ruangan papan pemuka pula masih tampak ringkas dan tersusun. Cuma apa yang saya agak terkilan adalah bahagian konsol tengah yang mempunyai ruangan simpan barang agak kecil.
PRESTASI
Beralih ke ruangan prestasi, ia menggunakan enjin 1.6L pengecas turbo (THP) yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 163hp pada 6000rpm dan tork 240Nm (1,400 - 4,250rpm)
Apa, hanya dijana enjin 1.6L saja? Biar betul! Saya percaya ramai akan meragui kemampuannya kerana ia adalah satu-satunya kenderaan segmen D yang menggunakan enjin sesaran 1.6L, sedangkan pesaingnya menggunakan enjin 2.0L ke atas.
Tapi, jangan sekali-kali menghina keupayaan enjin kecil ini kerana ia mampu memberikan pecutan yang luar dugaan. Buktinya, penghasilan tork seawal 1,400rpm mampu mengalahkan jentera Jepun dengan kapasiti 2.0 liter.
Untuk mendapatkan kelajuan 180kmj tidak menjadi penghalang baginya. Cuma enjin perlu bekerja lebih keras untuk memberikan terbaik saat pedal ditekan.
Sepanjang pemanduan, saya tidak pernah kecewa dengan kawalan stereng Peugeot. Ia begitu ringan dan responsif serta melalui jalan selekoh cukup menyenangkan untuk kereta saiz ini.
Tetapi bunyi angin agak kedengaran dari dalam kabin apabila memandu pada kelajuan tinggi. Namun ia dapat diatasi dengan menaikkan suara audio sambil menikmati lagu rancak.
Selain itu, ia juga menjalankan tugas dengan baik. Hampir tidak ada kondisi jalan yang tidak diserap dengan baik. Menggunakan suspensi topang Macpherson di bahagian hadapan dan multi-arm dibelakang, kelembutan suspensi dan kestabilan adalah kenikmatan yang dihadiahkan sedan Peugeot bagi penumpang kabinnya.
Secara kesimpulan, saya merasakan masih ada terdapat beberapa bahagian lagi yang perliu dinaik taraf sekiranya mahu bersaing dengan model segmen D lain.
Walau bagaimana, ia tidaklah mengecewakan. Jika lakukan lagi beberapa perubahan itu, saya yakin jenama ini mampu diterima ramai dan pergi lebih jauh. Tak percaya, pandu uji sendiri.
SPESIFIKASI
Peugeot 508 THP
ENJIN 1.6 liter cas turbo
KUASA MAX 165PSp@6,000rpm
TORK MAX 240Nm@1,400-4250rpm
TRANSMISI 6-kelajuan Tiptronic automatik
KESELAMATAN 6 beg udara, ESP, ABS, EBD, EBA, ASR, DSC, ISOFIX dan BLISS
HARGA RM173,888 (Termasuk insurans)
Leave a Reply