GENERASI pertama Mazda CX-5 versi pemasangan tempatan (CKD) memulakan pengeluaran sejak 2013 dan sepanjang tempoh tiga tahun, jualan model Mazda itu di peringkat Asean meningkat hampir 41 peratus. Pertumbuhan itu jelas menunjukkan hubungan langsung Mazda dan peminatnya, selain komitmen diberikan rakan pengilang, jualan dan perkhidmatan.
GAYA YANG DRAMATIK
Kalau lihat rekabentuk, CX-5 membawa aura dan marque daripada model-model terdahulu. Keseluruhan, mata kita dengan mudah dapat mengecam itu ialah CX-5. Ada beberapa elemen rekabentuk diambil daripada CX-9, seperti bonet panjang, gril terapung dan ciri (atau falsafah) khas Kodo baharu.
Jujur, memang cantik dan seakan CX-9 yang dipotong jadi 5 kerusi. Lampu depan tirus memberikan pandangan tajam dari arah depan dan dilengkapkan gril diberikan aksen krom lebih besar dengan logo Mazda 3D.
BACA>>>Mazda CX-5 (2017) Serba Baharu CKD Dilancarkan, Harga Bermula RM134k, Varian Diesel Paling Premium
Cuma lampu kabus agak kecil dan tidak begitu terang pada malam dengan limpahan cahaya lebih kepada jarak dekat. Nampak sekadar mahu berfesyen, tetapi memang penampilan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini cukup menawan. Menjenguk ke belakang, rekaan lampu juga tirus dan kecil sama seperti di depan, sekali gus menyerlahkan padanan rekabentuk yang harmoni dan tersendiri berbanding generasi terdahulu.
ROMBAKAN BESARAN DALAM KABIN
Sekiranya pernah memandu atau melihat versi sebelum ini, anda pasti mengecam transformasi dilakukan ke atas kabin CX-5. Papan pemuka berubah total dengan rekabentuk kini lebih moden. Paling dihargai, tiada lagi plastik keras dan digantikan material lembut premium.
Namun, ada beberapa rekabentuk kekal sama seperti butang kawalan penyaman udara dual-zon dan ciri lain seperti butang kawalan konsol tengah. Posisi duduk sangat ergonomik, boleh dikatakan antara terbaik dalam segmen SUV kompak. Pandangan depan terbentang luas dan kedudukan pilar-A tidak begitu menghalang pemandu melihat bahagian sisi depan.
Walaupun ruang kaki dan kepala tidak jauh berbeza daripada versi lama, penumpang belakang kekal selesa. Cukup untuk tidak membuatkan mereka yang berketinggian 180sm tidak penat. Melengkapi gaya hidup masa kini, CX-5 dilengkapkan dua palam USB pada perehat tangan di tengah kerusi belakang.
BACA >>> Mazda CX-5 Serba Baharu Kini Di Malaysia - Inilah SUV Paling Awesome; Menggiurkan!
Pengalaman memandu atas lebuh raya kini semakin dinikmati dengan kondisi kabin yang senyap. Bunyi getaran suspensi dan angin dari luar terasa berkurangan drastik. Menurut Mazda, CX-5 ini dipasangkan beberapa pengimbang (balancer) dan peredam bunyi di beberapa poin yang dikesan menghasilkan bising dan getaran. Hasilnya, kenderaan masih kekal senyap walaupun kelajuan sudah mencapai kelajuan 140kmj. Bunyi bising enjin (tipikal kereta diesel) juga dikedap semaksimum sebaik saja pintu ditutup.
ENJIN DIESEL YANG RESPONSIF, JIMAT
CX-5 yang dipandu uji ini ialah varian CX-5 2.2L GLS SKYACTIV-D AWD. Ada apa dengan model diesel? Cuma dua perkataan jimat dan responsif. Sebagai makluman, model diesel Mazda di Malaysia hanya menggunakan bahan api jenis Euro 5. Bagaimanapun, bukan masalah besar kerana sudah ada banyak stesen minyak menawarkan bahan api jenis itu.
Dengan hanya menginjak sedikit pendikit, jentera meluncur cepat tanpa sebarang halangan. Malah hantaran gear disalurkan pantas dan halus, tidak lengah atau tersentak sama ada dalam gear tinggi atau rendah. Tork 420Nm yang dicapai pada rev enjin rendah menjadikan CX-5 begitu berkuasa dan mudah dikendalikan. Apatah lagi dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Lengkap!
Dalam hal fun to drive pun CX-5 tidak pernah meragukan. Ketika meredah laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menuju Pulau Pinang, kestabilan jentera ini kekal mantap walaupun dipandu dalam kelajuan 160kmj, termasuk ketika menempuh permukaan jalan tidak rata dan selekoh tajam. Ciri G-Vectoring membuatkan CX-5 sentiasa mantap di selekoh, ditambah pula padanan stereng kuasa elektronik (EPS).
Enjin diesel semestinya menawarkan tahap kecekapan bahan api terbaik. Kelajuan maksimum 110kmj boleh dikekalkan pada rev 2,000rpm, yang memberikan tanda tidak perlu kerap melawat stesen minyak. Setangki penuh dari Shah Alam ke Juru, Pulau Pinang, dan pulang semula ke Shah Alam, saya hanya mengisi semula minyak di Kampar dengan jarak perjalanan masih berbaki 200km.
Oh... satu benda yang saya perasan ialah apabila pemandu dikesan seakan mengantuk, sistem Amaran Perhatian Pemandu atau Driver Attention Alert (DAA) akan memaparkan amaran pada meter berupa imej secawan kopi sebagai peringatan supaya pemandu berhenti berehat seketika.
BACA >>> Mazda CX-5 Skyactiv Diesel Terima Anugerah Crossover Of The Year 2016
Kesimpulan, CX-5 ialah evolusi daripada revolusi dicetuskan generasi terdahulu. Ini bukan berita buruk, sejak generasi awal dulu, SUC itu sudah cukup memukau ramai pemerhari, terutama dalam aspek pengendalian. Di luar sana ada cukup banyak SUV kompak yang menawarkan ruang luas dan selesa. Namun, jika anda mahukan SUV yang mampu menawarkan keseronokan memandu dengan pengendalian dan prestasi enjin baik dalam gaya badan serba seksi, CX-5 perlu anda masukkan dalam senarai.
SPESIFIKASI
MAZDA CX-5 2.2L GLS SKYACTIV-D AWD
ENJIN: SKYACTIV-D 2.2L DOHC AWD
KUASA: 173hp @ 4500rpm
TORK: 420NM @ 2000rpm
KELAJUAN MAKSIMUM: 206kmj
TRANSMISI: Skyactiv Drive 6-kelajuan
HARGA: RM168,000
Leave a Reply