PT Suzuki Indomobil Sales (SIS), pengedar rasmi jenama Suzuki di Indonesia memperkenalkan model Suzuki GSX-150 Bandit aka Bandit 150 selepas sekian lama menjadi spekulasi di kalangan peminat permotoran di sana. Ditayangkan sempena di Pameran Auto Gaikindo Antarabangsa Indonesia 2018 (GIIAS2018), jentera naked itu disebut sebagai produk pelengkap Suzuki 150cc di negara Garuda berkenaan.
Secara keseluruhan, Bandit 150 hampir sama dengan Suzuki GSX-S150 yang dilengkapi ciri keselamatan seperti Shuttered Key System (SKS). Sportbike itu menampilkan rekabentik badan sporty dengan fairing digabungkan bersama tangki yang tampak lebih langsing di depan. Sekali pandang, tidak jauh berbeza dengan model pesaing, Yamaha Vixion baru.
Lampu depan Bandit 150 juga direka runcing dengan diberikan penutup khas pada muka lampu supaya berbeza dengan lampu depan GSX-S150.
Bandit 150 menggunakan enjin 150cc DOHC berkuasa 18.9hp @ 10,500rpm dan tork 14Nm @ 9000rpm. Warna pula ditawarkan dalam 4 pilihan: Passion (Strong Red/Titanium Black), Freedom (Briliant White/Aura Yellow), Nobility (Metallic Matte Titanium Silver) dan Calmness (Titanium Black).
Namun, SIS belum mengumumkan harga model hangat ini, dan akan dimaklumkan sekurang-kurangnya pada Oktober nanti. Apapun, pengedar rasmi jenama dari Jepun itu menjanjikan harganya akan lebih murah dan tidak akan jauh berbeza dengan model GSX-S150 yang kini dijual pada harga Rp23 juta (RM6,475).
Murah sangatkan? Untungleee....
FOTO: Oto.com
Leave a Reply