KHABARNYA di Indonesia sedang kecoh tentang bakal ketibaan model baru Suzuki Bandit 150 sempena Pameran Auto Antarabangsa Indonesia Gaikindo (GIIAS) 2018, bermula esok. Malah media dari negara seberang mendakwa sudah menerima undangan Suzuki tentang pelancaran satu model sportbike yang hampir pasti ialah Bandit 150 (harap Suzuki Indonesia tidak ban media yang buat spekulasi).
Sebenarnya spekulasi tentang Bandit 150 ada asasnya kerana kelibat jentera itu, yang sedang ditunggang uji di beberapa lokasi, sudah kerap kali ditangkap gambar daripada paparazi motor di sana. Jadi memang ada kaitan dan alasan yang munasabah untuk disensasikan.
BACA >>> Lagi Sportbike 150cc Mahu Keluar, Suzuki GSF 150 Bandit Buat Indonesia Pening
Malah, kehadiran Bandit 150 juga sudah didesas-desuskan pengurusan Suzuki Indomobil Sales (SIS) pada majlis bersama media pada Februari tahun ini. Menurut SIS, kehadiran Bandit 150 ialah termasuk dalam senarai 11 motor baru dan facelift yang akan diperkenalkan sepanjang tahun ini di Indonesia.
Sebenarnya, keputusan Suzuki memperkenalkan Bandit 150 turut menimbulkan persoalan kerana dalam kelas sportbike 150cc, pengeluar itu sudah pun ada dua model yang mengisi segmen tersebut, iaitu GSX-R150 untuk versi fairing dan GSX-S150 versi naked. Bandit pula ialah sportbike versi naked.
Di Indoensia, kelas 150cc ialah segmen sportbike paling laris. Selain Suzuki dengan model GSX, lawan lain seperti Honda mempertaruhkan CB150 Streetfire dan CBR150R, manakala Yamaha dengan Vixion.
BACA >>> Suzuki GSX-150R Perkenal Semula Warna Putih yang Kini Lebih Mengancam!
Mungkinkah kehadiran Bandit ialah strategi Suzuki Indonesia untuk mengacai pasaran sportbike republik itu? Ini kerana kembar GSX dilihat sebagai model lama, sebaliknya Bandit 150 jika diperkenalkan dikira sebagai model serba baru, sekali gus merancakkan semula jualan Suzuki.
Walaupun sekali pandang nampak serupa seperti GSX-S150, perbezaan ketara yang ada pada Bandit 150 ialah rekabentuk pelana bersambung, sebaliknya GSX-S150 datang dengan pelana two-piece (lihat foto atas kanan). Kini, Persoalan yang sedang berlegar di kalangan pihak media di sana, mampukah Bandit menghadiahkan 'sesuatu' kepada Suzuki?
* Imej utama sekadar lakaran imaginasi Julak Sendie Design (JSD) berdasarkan foto spyshot. Harap maklum.
Leave a Reply