ISUZU Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan Isuzu D-Max X-Series edisi terhad yang berkonsepkan sport urban dan dikeluarkan dalam 210 unit sahaja.
Ada beberapa penambahbaikan ditampilkan Isuzu dalam menyerlahkan personaliti trak pikap edisi istimewa ini:
1. Penambahbaikan luaran, termasuk skirt depan atletik bercat merah dengan kemasan dwi tona untuk penampilan lebih menarik, manakala skirt belakang sporty direka bersama bar sport aero.
2. Kemas kini aksesori lain termasuk tulisan logo Isuzu berwarna merah eksklusif pada but belakang dengan lambang X-Series. Bahagian depan didatangkan dengan gril kelabu dan logo Isuzu merah.
3. Menyerlahkan imej X-series berbanding model standard ialah pelekat jalur sporty atas bonet dan cermin depan.
4. D-Max X-series Edisi Terhad ini dilengkapkan lampu aluan (welcome lights) sebagai ciri standard. Lampu itu akan menyala apabila kunci kereta dibuka, dan lampu sorot putih terus diaktifkan dan dilimpahkan pada permukaan jalan selama 30 saat.
5. Trak pikap ini juga dilengkapi lampu LED merah dalam kabin dan LED iluminasi pada sil pintu bagi meningkatkan sentuhan premium buat pemandu dan penumpang. Lampu merah akan menyala sebaik saja pintu dibuka dan dikunci, sekali gus membantu meningkatkan kejelasan dalam kabin ketika gelap.
6. Aksesori standard lain ditawarkan ialah sistem Monitor Pandangan Keliling (AVM) 360º, taq elektronik (Touch 'n Go) siap terbina dan kerusi kulit dengan sulaman paten sarang lebah. AVM ialah ciri bantuan pemanduan baharu yang menggunakan 4 kamera luar untuk membantu pemandu melihat objek sekeliling kereta.
7. Ditawarkan dalam 2 pilihan warna: Silky Pearl White (putih) dan Stallion Black Metallic (hitam). Harga D-Max X-Series edisi terhad ini ialah RM118,000 (2.5L) dan RM124,000 (3.0L). Setiap pembelian didatangkan dengan pek premium, terdiri daripada beg silang X-Series eksklusif, bekas air, rantai kunci dan kad Touch 'n Go.
Leave a Reply