PASUKAN Honda Repsol bakal berdepan cabaran baharu dalam menguruskan hubungan antara Marc Marquez dan Jorge Lorenzo yang akan menjadi rakan sepasukan pasukan itu dalam Kejuaraan MotoGP 2019, dan situasi ini diakui sendiri ketua pasukan, Alberto Puig.
Lorenzo memilih berhijrah dari Ducati Team untuk menggantikan Dani Pedrosa bagi pasukan Repsol Honda musim depan. Ini bermakna pasukan pengilang itu memiliki dua pelumba berstatus juara kelas premier MotoGP buat kali pertama sejak 1989.
Menjelaskan rasional di sebalik keputusan Honda merekrut Lorenzo, Puig berkata, falsafah Honda ialah menandatangani pelumba terbaik yang ada pada satu-satu masa walaupun tindakan itu bakal membuatkan pasukan tersebut sakit kepala untuk cuba menguruskan ketegangan sesama pelumba.
"Pemahamannya, pasukan mahu memiliki pelumba terbaik, inilah prinsipnya.
"Kemungkinan ada di sana [untuk menandatangani Lorenzo], dan kami ambil. Pasukan lain, aku tak tahu bagaimana mereka buat, mungkin mereka tidak buat (macam ini).
"Bagi Honda, penting untuk menyediakan motosikal terbaik sebaik mungkin, dan berikan kepada penunggang yang pantas.
"Sudah tentu bukan mudah, tetapi jika kami mahu sesuatu perkara jadi mudah, mungkin kami tidak akan gerakkan pasukan pada tahap ini. Ia rumit, tetapi satu cabaran. Di Honda kami sentiasa cari cabaran."
CABARAN URUSKAN PERSONALITI
Ini termasuk menguruskan personaliti dua penunggang terbaik, Honda dengan sengaja sedang menambah kesukaran untuk mencari cara menghasilkan jentera yang sepadan dengan kedua-dua pelumba, Marquez dan Lorenzo, yang memiliki gaya menunggang berbeza.
Pengurus Besar HRC , Tetsuhiro Kuwata mengetepikan dakwaan jentera RC213V versi terkini dibikin sepenuhnya mengikut kehendak Marquez.
"Sekarang, kami sedang membangun jentera untuk Marc dan juga Dani. Ia bukan hanya seorang penunggang. Jadi kami akan meneruskan cara sama tahun depan.
BACA >>> Honda RC 213V-S Pertama Dijual di eBay - RM1.17 Juta dalam Kondisi Serba Baharu
"Kami tidak tahu Jorge, mana satukah jenis mesin (yang dia inginkan). Tetapi sudah tentu kami akan cuba menyesuaikan keperluannya. Dan juga Marc ada banyak permintaan kepada kami, dan kami berusaha untuk mencapainya.
"Ini akan jadi sangat mencabar, tetapi kami tetap meneruskannya dengan cara sama. Jika kami boleh hasilkan mesin yang baik untuk Marc dan Dani, ini bermakna potensi teknikal kami ialah tinggi.
"Bagi tahun depan, kami cuba menyediakan jentera tahap tinggi untuk Marc dan Jorge."
SUMBER: RideApart
Leave a Reply