LEVIS bersedia kembali ke arena pembuatan motosikal dengan barisan lima motosikal yang diterajui model V6 Café Racer yang cukup revolusioner.
Cetusan idea dua jurutera automotif bercita-cita tinggi berjaya menghidupkan semula jenama British yang sudah pupus itu dan kini bergerak ke tahap seterusnya, dengan pembinaan prototaip ini dengan pembuatan enjin pertama. Apabila dipandang, memang nampak cukup sensasi!
PHOENIX BANGKIT DARI ABU
Motosikal Levis bermula pada 1911 menerusi jentera 2-lejang. Jenama ini pernah merangkul kejuaraan di Isle of Man TT pada 1920. Namun, masa depan pengeluar itu gagal dipulihkan selepas era perang hingga terpaksa ditutup pada 1946. Levis kemudian bertapa lama selama 70 tahun hingga akhirnya pereka automotif, Phil Bevan membeli jenama itu dan dia bersama Ketua Rekabentuk, Steve Kirk bekerjasama membikin jentera dua roda daripada enjin kereta yang mereka ada.
"Saya sedar kami ada enjin V10 2.0L yang cuma bersaiz 13 inci sepanjang kepala silinder. Jadi saya kata, jom buat motosikal," kata Bevan mengulangi apa dikatanya Januari lalu.
Tujuh bulan berlalu dan mereka berjaya melakukan perkembangan menakjubkan seperti mengeluarkan prototaip model pertama: Café Racer. Jantung motosikal ialah enjin V6 1200cc bersudut kecil yang dipasang memanjang dalam frem seperti Moto Guzzi.
BACA >>> 12 Fakta Pantas | Moto Guzzi V7 III Carbon Lancar di Malaysia, Harga RM74,900
Bagaimanapun, enjin V-angle itu cuma bersudut 22º dan menghasilkan turutan pembakaran yang di luar kebiasaan, yakni 1-2-3-4-5-6. Ini menjadikan enjin begitu lancar tanpa memerlukan aci imbang (balancer shaft).
"Dengan V-angle terhad dan turutan pembakaran dihasilkan, ia seakan tiga enjin Harley membakar serentak. Pembangunan enjin berjalan lancar dan kami dalam sasaran tepat untuk mencapai kuasa puncak sekitar 120hp," kata Bevan lagi.
BERSEDIA DAN MULA!
Sama seperti pembangunan enjin, Levis turut membangunkan frem keluli tahan karat sendiri.
"Selepas ujian pembuatan, frem pertama kami baru-baru ini memasuki pengeluaran. Ia sangat hampir kepada impresi artis yang pertama, tetapi diubah suai supaya mudah disesuaikan dengan kehendak dan keperluan personal pemilik," jelas Bevan panjang lebar.
Dengan menghasilkan banyak bahagian frem fleksibel, Levis kini dalam perancangan menggunakan enjin V6 untuk lima model lain, dengan Urban Roadster dan Flat Tracker bakal mengikuti jejak langkah Café Racer, serta dua model sport lagi selepas itu.
BACA >>> Cagiva Mito 125 - Legenda Sportbike 2-Lejang yang Pernah Jadi Mainan Rossi
Model prapengeluaran pertama, V6 Café Racer akan berada di Salon Prive, Blenheim Palace pada 30 Ogos-1 September ini, diikuti acara Goodwood Revival pada 7-9 September nanti.
Levis mensasarkan memiliki model versi pengeluaran penuh menjelang Mac 2019. Harga V6 Café Racer ialah bergantung kepada spesifikasi sebenar nanti dan dijangka bermula pada £102,000 (RM543,864), manakala Urban Roadster £78,000 (RM415,797).
GALERI
SUMBER: MCN
Leave a Reply