FERRARI tahun lalu meraikan ulang tahun ke-70 sejak ditubuhkan pada 1947. Namun, pengasasnya, Enzo Ferrari dan pasukannya Scuderia Ferrari sudah berlumba lebih lama daripada itu. Sebelum menghasilkan kereta sendiri (dan tercetusnya Perang Dunia Kedua), Enzo asalnya berlumba dengan jentera Alfa Romeo dan tiada lain yang lebih penting selain Tipo B.
Antara jentera grand prix dalam tempoh 'interwar' (pasca Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua) paling berjaya, Tipo B juga ialah antara 'monopostos' (kerusi tunggal dalam bahasa Portugis) pertama yang menampilkan posisi pemanduan tengah yang kemudian menjadi karakter kepada mesin lumba hari ini.
Walaupun jentera itu mendapat sentuhan hebat pereka Itali terkenal, Vittorio Jano, tetapi krisis kewangan dihadapi Alfa Romeo pada 1933 memaksa pengeluar itu melepaskan Tipo B kepada Scuderia Ferrari. Jadi, majoriti 46 kemenangan yang dicapai terus menjadi milik pengeluar kereta mewah berlambang kuda dengan kaki ke atas itu. Ini termasuk 16 daripada 39 grand prix yang berlangsung pada 1935 dengan pemandu seperti Tazio Nuvolari, Rudolf Caracciola dan Louis Chiron.
KEMENANGAN BERTERUSAN
Contoh itu bergantian dengan nombor casis 5007 atau 50007 yang dipandu Richard Shuttleworth, juga seorang juruterbang British. Ferrari menang di Brooklands, menyinar dalam perlumbaan daki bukit di Shelsle Walsh dan paling utama ialah Grand Prix (GP) Donington yang menyaksikan Shuttleworth memandu Tipo B untuk mengalahkan dua jentera Type 59 Bugatti dan menang.
Tipo B, juga dipanggil P3, bersara pada akhir musim 1935. Walaupun meraih banyak kejuaraan, melebihi apa dicapai pasukan 'Silver Arrow' dari Jerman, yakni Auto Union dan Mercedesm Benz, tetapi model pengganti Tipo B itu masih gagal menyaingi kehebatan jentera hasil kejuruteraan Jerman.
Malah, Alfa langsung tidak lagi meraih sebarang kemenangan dalam litar lumba hingga tercetus era Perang Dunia Kedua. Enzo juga tidak memenangi apa-apa hingga perlumbaan bersambung pada 1950.
Inilah sebab kenapa Tipo B dikenang sebagai legenda. Dengan hanya satu masih terselamat hingga sekarang, lelongan ini jelas sekali mewakili peluang yang sangat jarang berlaku. Tidak hairanlah, ramai menjangka harga model ini bakal mencecah £4.5-5 juta (kira-kira RM23 juta) apabila dilelongkan pada acara Goodwood Festival of Speed minggu ini.
GALERI
SUMBER: CarScoops
Leave a Reply