SELEPAS dua minggu berehat sejak Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans, Kejuaraan MotoGP 2018 sekali lagi berlangsung dan kali ini bertempat di GP Itali, Mugello untuk pusingan ke-6 daripada 19 pusingan keseluruhan.
Setakat ini, mata dikumpul peserta kelompok teratas tidak banyak menunjukkan jurang berbeza dan masing-masing terbuka merebut kejuaraan.
Jadi, apakah 10 fakta pantas menjelang GP Itali 2018 di litar Gran Premio d'Italia Oakley ini:
1. Adinda Marc Marquez daripada Repsol Honda memulakan musim 2018 pada kedudukan kedua di Qatar dan ke-18 di Argentina selepas insiden kontroversi dengan kekanda Valentino Rossi. Namun, sejak itu, dia terus menunjukkan aksi konsisten dengan menaiki podium pertama tiga kali berturut-turut: Austin (Amerika), Jerez (Sepanyol) dan Le Mans (Perancis)
2. Adinda Marquez bakal memulakan saingan di GP Itali dengan 95 mata terkumpul:
- 36 mata di depan Maverick Vinales (Movistar Yamaha MotoGP)
- 37 mata di depan Johann Zarco (Monster Yamaha Tech3)
- 39 mata di depan Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP)
3. Adinda Marquez juga cuma pernah sekali menang di Mugello dalam aksi kelas premier, iaitu pada 2014. Itu ialah tahun terakhir Honda menjadi juara di litar sepanjang 3.26 batu (5.24km) dengan 15 selekoh itu. Pada musim lalu, dia hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-6 di Mugello.
4. Saingan MotoGP di Mugello ini ialah musim perlumbaan ke-33 di litar itu. Pelumba British, Barry Sheene memenangi perlumbaan sulung pada 1976, manakala Honda memegang rekod paling banyak menang, iaitu 16 kali dan disusuli Yamaha (12 kali).
5. Tahun lalu, Andrea Dovizioso (Ducati Team) ialah juara MotoGP Mugello mengatasi Vinales dan Danilo Petrucci (Pramac Racing). Kemenangan 2017 ialah kemenangan kedua Ducati di trek tersebut, satu lagi adalah pada 2009 menerusi Casey Stoner yang menunggang jentera Ducati GP9.
6. Selepas permulaan meyakinkan musim ini – juara Qatar, Argentina (6) dan Amerika (5) – kedudukan Dovizioso merosot ke tempat ke-9 dengan 46 mata daripada kedudukan pertama selepas terbabit dalam dua insiden terjatuh.
7. Pelumba kelas premier teratas di Mugello:
- Valentino Rossi, 7
- Jorge Lorenzo, 5
- Dani Pedrosa (Repsol Honda), 1
- Casey Stoner (Ducati Team), 1
- Marc Marquez, 1
- Andrea Dovizioso, 1
8. Kecuali aksi di Argentina yang menyebabkan kekanda Rossi terpaksa menamatkan saingan di tempat ke-19, saingan selepas itu menyaksikan dia kekal konsisten dalam kelompok 5 pelumba terbaik dalam setiap pusingan. Ini termasuk ketiga di Qatar dan Perancis. Dia juga nampak selesa di Perancis dan peluang memenangi kejuaraan ke-10 pasti dapat dihidupkan jika dapat meraih momentum di Mugello dengan kehadiran ribuan fanatik pelumba berambut keriting itu.
9. Ancaman terbesar ialah Lorenzo. Walaupun pelumba Sepantol itu musim ini nampak bergelut dengan Ducati (dua kali terjatuh), dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 di Perancis. Malah, dia juga antara pelumba yang cukup mahir dengan trek Mugello yang pastinya menjadi sasaran utama untuk mengumpul mata, sekali gus mendiamkan mulut pengkritik mengenai tahap prestasi bersama Ducati.
10. Latihan bebas di Mugello bermula semalam (Jumaat, 1 Jun 2018) ini dan disusuli aksi kelayakan hari ini sebelum aksi final sebanyak 23 pusingan bermula esok (Ahad).
SUMBER: UltimateMotorcycling
Leave a Reply