BARU saja dunia permotoran tempatan dikejutkan dengan kapcai 185cc daripada SYM Malaysia awal minggu lalu, pengeluar motosikal nasional, Modenas pula dengan rasmi melancarkan Modenas Dominar D400 dengan harga jauh lebih murah berbanding jangkaan awal kami, malam Rabu lalu.
BACA >>> Modenas Dominar 400 'Naik Gila', Jual Harga Tak Masuk Akal RM13,788!
Ditawarkan pada harga bermula RM13,788 (tidak termasuk GST, untuk masa terhad sahaja), kami anggarkan harga jualan biasa sport-tourer ini ialah sekitar RM16,000, sekali gus meletakkan Dominar D400 sebagai pesaing hebat kepada naked bike aras mula lain yang kebanyakannya ditawarkan dalam julat harga RM10,000-RM20,000.
Jika mahu lakukan perbandingan dalam spektrum harga ini, hanya dua pesaing paling menonjol, iaitu Pulsar NS200, juga keluaran Modenas, dan Kawasaki Z250, naked bike 250cc pilihan ramai sejak dilancarkan di pasaran tempatan 5 tahun lalu. Pulsar NS200 ditawarkan pada harga atas jalan sekitar RM10,000, manakala Z250 pula lebih mewah, antara RM20,000-RM22,000.
Dengan perbezaan harga sekitar RM5,000, dapatkah Dominar D400 memikat hati anda? Ikuti analisis awal kami dengan membandingkan aspek kuasa, ciri dan praktikaliti ketiga-tiga model naked bike tersebut.
1. KUASA
- Modenas Dominar D400 | 35Hp @ 8,000rpm | 35Nm @ 6,000rpm
- Modenas Pulsar NS200 | 23.5Hp @ 9,750rpm | 18.6Nm @ 8,000rpm
- Kawasaki Z250 | 31.5Hp @ 11,000rpm | 21 Nm @ 10,000rpm
Dominar D400 dengan kuasa puncak cuma 35hp, mungkin menghampakan ramai peminat motosikal Malaysia yang rata-ratanya mengharapkan kelajuan lebih tinggi seiring sesaran enjin 373cc. Namun harus diingat, tidak seperti jentera sukan a.k.a sportbike tulen, jentera naked bukan dibina untuk mencapai kuasa dan kelajuan maksimum yang tinggi.
Berbeza Pulsar NS200 dan Z250 yang berkongsi nadi dan talaan sama dengan saudara sportbike fairing masing-masing, nadi Dominar D400 pula ditala dengan karakteristik sport-cruiser. Ini jelas dilihat pada angka tork enjin 373cc Dominar yang sangat tinggi, boleh dikatakan hampir dua kali ganda lebih 'pikap' berbanding dua pesaing itu.
Jika anda bertubuh badan besar, Dominar D400 ialah pilihan terbaik untuk dibawa meronda dalam bandar mahupun meredah lebuh raya.
2. CIRI
- Modenas Dominar D400 | ABS, ada dual channel | Klac Sliper
- Modenas Pulsar NS200 | ABS, tiada | Klac Sliper
- Kawasaki Z250 | ABS, tiada | Klac Sliper
Kemenangan mudah bagi Modenas Dominar D400 dalam segmen ini kerana tiada satu pun pesaing yang dilengkapi ABS Dual-Channel (depan dan belakang) dan klac sliper, iaitu ciri mewah yang biasa ada pada motosikal dalam julat harga lebih tinggi.
Jika anda masih mahukan naked bike aras mula Kawasaki dengan ciri disebutkan itu, pilihan yang ada cuma Kawasaki Z300 yang berharga sekitar RM26,000 tidak termasuk cukai dan insurans (tidak termasuk kos lesen B penuh jika belum ada). Dalam segmen bajet, varian sportbike, Modenas Pulsar RS200 cuma ditawarkan dalam ABS Single-Channel dan tanpa klac sliper pada harga yang cuma sedikit rendah berbanding Dominar 400, iaitu sekitar RM13,000.
BACA >>> 10 Soalan Paling Banyak Ditanya Tentang Modenas Dominar D400
Selain ABS dan klac sliper, ketiga-tiga naked bike itu mempunyai ciri setara. Fork depan masih teleskopik dan sistem suspensi belakang monoshock dengan brek cakera tunggal di depan dan belakang, termasuk rekabentuk keseluruhan menarik.
3. PRAKTIKALITI
- Modenas Dominar 400 | Tangki 13 Liter
- Modenas Pulsar NS200 | Tangki 12 Liter
- Kawasaki Z250 | Tangki 17 Liter
Memandangkan antara tujuan utama memilih naked bike ialah untuk tunggangan harian ke tempat kerja, kapasiti tangki minyak pasti menjadi antara kriteria utama yang perlu disemak selain kadar penggunaan bahan api.
Berita baik, ketiga-tiga naked bike dalam senarai ini memenuhi kriteria di atas dengan kapasiti tangki memuaskan. Kawasaki Z250 didatangkan dengan tangki paling besar, iaitu 17 liter. Dengan penjimatan bahan api sekitar 24km per liter (atau lebih jika ditunggang lebih relaks), soal tunggangan jarak jauh sememangnya tidak menjadi masalah bagi nakedbike Kawasaki ini. Pulsar NS200 dan Dominar D400 pula walaupun dengan tangki yang lebih kecil, masih menawarkan tahap penggunaan api munasabah untuk sesaran enjin masing-masing dengan kadar penjimatan sekitar 27-30km per liter, bergantung gaya tunggangan.
BACA >>> Mahu Servis Motosikal, Hubungi Saja Mobile Service Modenas
Dari segi keselesaan, ketiga-tiga naked bike mempunyai ergonomik hampir menegak selain pelana yang cukup empuk untuk tunggangan jarak jauh. Kelebihan kepada Kawasaki dengan enjin dwi-silinder, tunggangan terasa lebih lancar berbanding Dominar D400 dan Pulsar NS200, dengan enjin silinder tunggal menjadikan getaran lebih terasa pada kedua-dua nakedbike Modenas ini.
Selain itu, Kawasaki Z250 juga sudah terbukti tahan lasak berbanding jentera 250cc lain, manakala sukar meletakkan status sama untuk Modenas Pulsar NS200 dan Dominar D400 kerana kedua-dua model nasional itu masih baharu di pasaran Malaysia. Namun, berdasarkan banyak maklum balas positif penunggang di negara asal jenama itu, iaitu India, dapat dijangka kedua-dua naked bike versi rebadge Modenas itu turut memiliki kualiti dan ketahanan yang setara.
Leave a Reply