DENGAN harga petrol tidak menentu, ramai penunggang motosikal mula mengambil berat penggunaan bahan api untuk jentera masing-masing.
Ramai sedia maklum, penggunaan bahan api bergantung kepada corak dan gaya tunggangan. Jadi ia boleh ditambah baik dengan mengubah tabiat menunggang. Kalau dulu sentiasa pulas full throttle sepanjang masa, sekarang pula gaya ride cuma santai sahaja.
BACA >>> Nak Menang Ducati Monster 797? Sertai Peraduan Shell Advance Sekarang!
Tetapi bagaimana pula motosikal itu sendiri? Benarkah betul-betul menjimatkan? Ataupun memang jenis kuat hirup petrol? Adakah sudah tiba masa untuk kita bertukar kepada motosikal baharu yang lebih jimat minyak?
Masih banyak motosikal tidak didatangkan dengan maklumat penggunaan bahan api seperti dimiliki KTM Duke atau Yamaha R25. Jadi artikel kali ini akan membantu anda menguji, mengira dan menyemak sendiri penggunaan petrol motosikal sendiri. Semuanya semudah 6 langkah seperti di bawah ini:
1. Bawa motosikal ke stesen minyak pilihan dan seterusnya dapatkan bacaan odometer (perbatuan atau mileage) terkini. Kebanyakan motosikal masa kini ada menyediakan odomoter perjalanan, juga dipanggil TRIP. Jadi, set semula bacaan meter kepada sifar [0]. Boleh rujuk manual pengguna kerana mungkin berbeza mengikut jenama motosikal.
2. Isi tangki motosikal sampai penuh. Jangan risau jika masih ada baki petrol kerana anda boleh menuntut semula daripada pihak stesen minyak. Lihat dan ingat paras minyak dalam tangki selepas diisi kerana anda perlu mengisi semula kepada aras sama nanti. Catatkan sekali harga petrol semasa jika mahu mengira berapa ringgit sudah dibelanjakan.
3. Tunggang motosikal seperti biasa hingga tangki hampir kering jika mahukan bacaan lebih tepat dengan perjalanan dan cara tunggangan sekarang.
4. Isi semula tangki minyak hingga penuh hingga menyamai paras sebelum ini seperti dinyatakan langkah kedua di atas. Buat catatan, berapa liter petrol sudah diisi dan jarak perjalanan akhir. Jika tidak set odometer perjalanan, tolakkan bacaan awal perbatuan (yang diambil pada langkah pertama) dengan bacaan semasa.
BACAAN SEMASA (km) - BACAAN AWAL (km) = JARAK PERBATUAN TERKINI (km)
Contoh: 20,200km - 20,000km = 200km
5. Dapatkan nilai penggunaan bahan api dengan membahagikan jarak perbatuan terkini (km) yang ditempuhi dengan jumlah isian petrol (liter).
JARAK PERBATUAN (km) / JUMLAH PETROL (liter) = ?
Sebagai contoh, kita gunakan kapcai A:
- Jarak perjalanan - 200km
- Petrol diisi semula - 6 liter
- 200/6 = 33.3 km/liter
Jadi, berdasarkan contoh di atas, setiap 1 liter atau RM2.20 (harga semasa seliter petrol), kapcai A mampu bergerak sejauh 33.3km. Adakah boleh dikategorikan sebagai jimat? Teruskan ke langkah seterusnya.
6. Ulang semula ujian beberapa kali bagi dapatkan purata dan bandingkan angka penjimatan bahan api yang diperoleh itu dengan motosikal lain, khususnya model sama. Lebih tinggi angka km/liter, maka lebih jimat motosikal tersebut.
BUAT PERBANDINGAN SENDIRI
Sumber perbandingan terpulang kepada anda. Kami di sini menggunakan Fuelly.com sebagai rujukan kerana laman web tersebut mempunyai pangkalan data kenderaan yang cukup besar. Lagipun tidak perlu mendaftar masuk, dan boleh terus buat carian dan perbandingan langsung tentang jenis model motosikal atau kenderaan lain yang dimahukan. Pastikan bahagian 'Units' ditetapkan kepada 'km/L' (lihat gambar di bawah):
Kami jadikan Yamaha LC135 sebagai contoh kerana jumlah sampel kapcai itu cukup memuaskan, iaitu 21 unit. Selepas mengambil kira data dengan bilangan kenderaan terbanyak (number of vehicles), purata penjimatan bahan api untuk LC135 ialah antara 45km-45.5km/liter, dan boleh jadi seboros 33.5km/liter.
Jadi, jika anda penunggang LC135 atau motosikal setaraf model itu, inilah penanda aras yang boleh dijadikan rujukan. Dengan hampir 40,000 motosikal didaftarkan di Fuelly.com, jangan risau pula kalau motosikal sendiri tiada dalam senarai kerana anda masih boleh buat perbandingan dengan motosikal lain dalam kelas sama.
Abdul Hamid says
Baik