MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) memulakan prestasi suku pertama 2018 dengan mencatatkan rekod jualan 3,335 unit, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun lalu. Setakat Januari saja, pengedar kenderaan Jerman itu mencatatkan rekod 1,200 unit dengan pertumbuhan 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Angka itu membolehkan MBM mengungguli pasaran segmen kenderaan mewah tempatan dengan menguasai 2.8 peratus perkongsian pasaran Malaysia. Tahun ini, Mercedes-Benz C-Class, E-Class dan S-Class versi pemasangan tempatan (CKD) meyumbang jualan tertinggi, iaitu 1,965 unit.
BACA >>> #PanduUji: Mercedes GLA 200, Kecil Tapi Menawan
Segmen kompak pula menyumbang 596 unit menerusi model A-Class, B-Class, GLA dan CLA. Kedua-dua segmen berkenaan mencatatkan peningkatan 8 peratus (CKD) dan 37.3 peratus (kompak) berbanding suku pertama tahun lalu.
Sementara itu, segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) menjual 675 unit, iaitu 13.6 peratus berbanding tahun lalu. Tidak ketinggalan barisan kereta aspirasi Mercedes-Benz Dream Cars yang mencatatkan pertumbuhan 1 peratus berbanding suku pertama 2017 dengan rekod jualan 94 unit.
PLATFORM DIGITAL, MODEL ELEKTRIK - EQ
MBM turut menawarkan pengalaman digital menerusi platform OneWeb yang memudahkan pengguna membuat tempahan pandu uji, mengira bajet pembiayaan dan mencari lokasi pengedar terdekat.
Sementara itu, MBM turut melancarkan jenama baharu mobiliti elektrik, dipanggil EQ dalam portfolio Mercedes-AMG dan Mercedes-Maybach. Jenama EQ dijangka membawa perubahan mobilti pada masa depan yang menekankan ciri inovasi dalam pemanduan autonomi dan perkongsian perkhidmatan.
Leave a Reply