MUNGKIN anda sekarang sedang memikirkan untuk membeli motosikal pertama. Mungkin juga anda seorang penunggang otai. Jadi artikel kali ini akan menghuraikan opsyen gaya motosikal yang sesuai dan padan untuk anda.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Saiz Motosikal Terbaik untuk Penunggang Pertama?
Bagi kalangan pembeli Malaysia, apabila disebut tentang hasrat mahu membeli motosikal, terus saja terlintas dua kategori dua roda dalam fikiran, iaitu kapcai dan sportbike. Faktanya, ada banyak lagi opsyen lain selain dua jenis motosikal itu dan mari kita lihat barisan kategori motosikal paling popular yang mungkin secocok dengan anda.
1. KAPCAI/SKUTER
Motosikal kapcai/skuter (juga disebut moped atau underbone) ialah kenderaaan paling popular di negara ini. Motosikal ini digunakan dalam banyak cara, iaitu sebagai pengangkutan ke tempat kerja, pergi ke surau atau masjid, menghantar makanan dan surat, keluar menoreh getah, berjumpa pelanggan, mengusung anak dara orang, merempit di ibu kota, ataupun menyamun. Ya, jangan gelak kerana ini memang fakta dan jangan memandang remeh kategori motosikal ini. Malah kapcai di Malaysia ada siri perlumbaan tersendiri yang banyak melahirkan pelumba handalan.
Selain Malaysia, mesin bersesaran kecil dan ringan ini turut dipasarkan di negara Asia Tenggaran lain (boleh dikatakan semua negara Asean ada kapcai). Ada pelbagai jenis rekabentuk, warna dan jenama kapcai di pasaran. Antara jenama motosikal paling popular negara ini ialah Yamaha, Honda, dan Modenas, serta Suzuki (dulu).
Jika anda berhasrat memiliki motosikal ringkas, ringan dan murah untuk diselenggara, pastikan kapcai atau skuter berada dalam senarai pendek.
2. STANDARD
Motosikal standard sudah tentu maksudnya standard yang datang dengan posisi tunggangan menegak dan dalam pelbagai pilihan saiz. Misalnya, model sekecil Suzuki VanVan 200 ataupun sebesar Bandit 1250 yang kedua-duanya menawarkan rekabentuk berbeza. Jentera gaya klasik seperti Triumph Bonneville dan Ducati Scrambler juga kadangkala dimasukkan dalam kategori motosikal standard.
Dengan lampu bulat dan tangki kacang, atau rupa agresif dan aerodinamik, motosikal standard kekal memberikan posisi menunggang selesa. Motosikal standard juga dipanggil 'pisau Swiss Army' dalam kategori motosikal kerana versatiliti ditawarkan dan menjadi pilihan terbaik buat majoriti penunggang.
3. SPORTBIKE
Sportbike mendapat nama di Malaysia sebagai 'motor rendah diri kerana sentiasa ditunggang menunduk'. Tetapi jangan terpedaya dengan gelaran itu kerana model sportbike direka untuk kelajuan dan memang memiliki reputasi tersebut. Anda boleh memiliki sportbike sekecil model Kawasaki Ninja 400 hingga sebesar model Suzuki Hayabusa bersesaran 1300cc.
BACA >>> #TahukahAnda: 10 Perkara Tentang Karakter Sportbike yang Perlu Anda Tahu
Jika lebih mementingkan prestasi tinggi, kategori sesaran lebih tinggi pula digelar supersport, superbike atau hyperbike. Sportbike mempunyai banyak pilihan sama ada untuk penunggang baharu, atau lama yang sukakan cabaran menunggang di jalan raya atau litar lumba. Cuma pastikan motosikal yang mahu dibeli itu bersesuaian dengan tahap tunggangan dan pengalaman.
4. NAKED/STREETFIGHTER
Motosikal naked, juga dikenali sebagai streetfighter ialah subkategori motosikal standard, tetapi bergaya lebih sporty. Sebab kenapa digelar naked kerana idea asal ialah sportbike, tetapi fairing plastik ditanggalkan untuk memberikan rupa lebih minimalis. Kategori motosikal ini menawarkan posisi tunggangan menegak berbanding sportbike. Contoh klasik naked bike ialah Suzuki SV650, Ducati Monster dan Triumph Street Triple.
5. CRUISER
Sejenis cruiser menampilkan ciri-ciri seperti dicadangkan namanya. Motosikal ini dibina untuk keselesaan tunggangan jarak jauh dan turut datang dalam pelbagai saiz. Jika berhasrat memiliki motosikal yang selesa ditunggang di lebuh raya, cruiser mungkin pilihan terbaik buat anda.
Cruiser turut didatangkan bersama aksesori beg, digelar 'bagger', untuk aktiviti kembara santai. Contoh terbaik bagi kategori motosikal ini ialah barisan model Harley-Davidson dan Indian, tetapi ada juga pilihan yang lebih mampu milik seperti Kawasaki Vulcan dan Honda Rebel.
6. TOURING
Motosikal kembara atau touring bike tidak memiliki ciri sama seperti cruiser. Ada juga model seperti Harley-Davidson Street Glide dan Road King yang termasuk dalam kategori hibrid touring-cruiser, tetapi tidak semua motosikal touring ialah cruiser.
Model touring biasanya lebih mewah dengan dilengkapi ciri pengadang angin dalam bentuk fairing dan windscreen (visor depan), but muatan dalam bentuk kotak keras dan kadangkala turut dibekalkan ciri keselesaan seperti pemanas tempat duduk dan juga navigasi satelit.
Lain daripada itu ialah sport touring yang lebih menekankan aspek prestasi dan pada masa sama masih sesuai dan selesa ditunggang jarak jauh. Motosikal touring ialah pilihan terbaik buat anda jika berhasrat mengembara dengan jentera dua roda. Antara contoh motosikal jenis ini ialah Honda Gold Wing, Yamaha Star Venture dan Indian Chieftain.
7. OFF-ROAD
Motosikal jenis ini membuatkan kita terbayangkan sebuah motor dengan konsep ringkas dan mudah. Namun, ada beberapa kategori di bawah off-road.
Dirt bike tampil lebih ringkas dan mudah, juga lebih kecil dan mampu milik dengan ketinggian pelana tinggi berserta bunga tayar dadu. Tujuan dirt bike cuma satu, iaitu keseronokan menunggang off-road. Dirt bike asasnya tidak mempunyai ciri diperlukan untuk tunggangan dalam bandar seperti lampu, cermin dan lampu signal belok.
Namun, jika anda mahukan motosikal yang mampu ditunggang di kawasan bandar dan off-road, jentera dual sport ialah pilihan tepat.
Motosikal dual sport secara asasnya ialah dirt bike versi sah ditunggang atas jalan raya. Sesetengah jentera dual-sport dibina lebih kepada tunggangan atas jalan raya biasa. Namun, semua motosikal itu mampu ditunggang secara off-road. Jika anda berhasrat memiliki motosikal yang dihasilkan khusus untuk perlumbaan off-road, belilah jentera motocross. Antara jenama motosikal terbaik dalam kategori off-road ialah Honda, Yamaha, Suzuki, Kawasaki, Husqvarna dan KTM.
8. ADVENTURE
Kategori terakhir ialah model hibrid dual sport dan touring dengan diberikan nama motosikal kembara (adventure). Walaupun tampil dengan kombinasi pelik, tetapi segmen ini semakin berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu.
Sama seperti model dual-sport di atas, sesetengah motosikal adventure lebih kerap digunakan atas jalan raya berbanding off-road. Contohnya, barisan model Triumph Tiger menawarkan varian XC yang menumpukan kepada ciri tunggangan off road, manakala varian XR yang lebih selesa ditunggang atas jalan raya.
Kedua-dua model itu didatangkan dengan dua saiz berbeza. Contoh lain motosikal segmen adventure ialah barisan BMW GS, Honda Africa Twin dan Ducati Multistrada.
Jika anda masih lagi tidak pasti dengan pilihan, segeralah melawat bilik pameran motosikal terdekat. Mulakan dengan mendapatkan fiil duduk di atasnya sebelum beranikan diri memandu uji setiap motosikal yang disenarai pendek.
SUMBER: AutoTrader
Leave a Reply