ALOHA Wanderwell. Pernahkan anda dengar nama gadis ini? Ataupun pernah menonton video dokumentari biografi tentang wanita pertama mengelilingi dunia merentasi 43 negara? Anak kelahiran Kanada dengan nama asal, Idris Galcia Hall itu memulakan detik pengembaraan selepas melihat poster 'Brains, Beauty, & Breeches - World Tour Offer For Lucky Young Woman' di akhbar Paris Herald (New York Herald versi Eropah).
Gadis tomboi dengan ketinggian 6 kaki itu sudah lama mahu melihat dunia luar selepas membaca cerita dongeng pengembaraan dalam buku kanak-kanak. Beliau menetap di Paris dalam program penempatan semula berikutan kematian bapa yang bertugas sebagai askar Britain maut dalam Perang Dunia Pertama.
Aloha menghantar pemohonan sebagai setiausaha dan pemandu untuk menyertai ekspedisi kembara diketuai kapten Walter Wanderwell yang sudah memulakan ekspedisi pada 1919 sebagai usaha mempromosikan keamanan dunia dan Liga Bangsa-Bangsa (LN). Walter dan isterinya, Nell menubuhkan pasukan sendiri untuk bersaing merekodkan perjalanan paling jauh dengan pembiayaan juga ditanggung sendiri.
BACA >>> Misteri Kehilangan Amelia Earhart, Juruterbang Wanita Pertama Cuba Keliling Dunia
Dana dikutip menerusi jualan risalah cendera hati, acara pidato umum dan tayangan filem tentang pengembaraan yang direkodkan dan disunting sendiri. Pengembaraan dibuat dengan memandu Ford Model T dan pengeluar kereta itu pun hanya memberikan sedikit sumbangan.
Sayangnya, menjelang 1922 ketika Aloha memohon, Walter dan isteri berpisah. Pasukan Nell meneruskan penjelajahan ke Amerika Syarikat (AS), manakala Walter memerlukan krew baru yang fasih berbahasa Perancis untuk meneruskan pengembaraan Eropah.
Seakan ditakdirkan, Walter terpesona dengan karisma dan semangat lasak ditunjukkan Aloha, sekali gus menerimanya dengan diberikan nama julukan Aloha Wanderwel untuk ekspedisi tersebut.
BINTANG EKSPEDISI MERENTAS 4 BENUA
Dalam usaha menyesuaikan diri, tanpa diduga Aloha menjadi bintang ekspedisi. Beliau bukan sekadar menjadi penterjemah, tetapi turut memikul tugas sebagai aktres, jurugambar, sinematografer, penyunting filem, jurujual, pelukis persembahan pentas vaudeville, jurubahasa, perunding, dan mekanik. Ya, beliau melakukan pelbagai tugas sepanjang mengembara ke empat benua itu.
Dalam memoir, Aloha menceritakan kembali pengalaman merentasi medan perang di Perancis hingga tiba di Itali yang dikuasai Benito Mussolini dan parti politiknya, Fascisti yang kemudian situasi bertukar kepada rusuhan makanan sebaik saja tiba di Jerman.
BACA >>> Wanita Urus Bengkel: Bekas Mekanik Jadi Bos Pusat Servis - G-Car Auto Garage
Perjalanan mencemaskan di benua Eropah itu akhirnya kembali aman sebaik beliau tiba di Mesir yang mana mereka berpeluang berkhemah di bawah monumen ikonik negara itu, Great Sphinx dan tidak ketinggalan menyaksikan kaum Yahudi memulakan penempatan baru di Palestin.
Antara cabaran perlu dihadapi ialah merentasi tanah gersang di India dan kereta dipandunya terpaksa ditunda menggunakan kerbau ketika cuba merentasi laluan sungai. Perjalanan lasak itu turut hampir meragut nyawa Aloha yang ketika itu baru berusia 16 tahun akibat masalah dehidrasi di padang pasir Sudan. Beliau juga pernah tiba di Mekah dan menyamar sebagai lelaki untuk berdoa.
Di China ketika itu, perjuangan sivil untuk mendapatkan bahan bakar hampir mustahil dicapai. Di sana juga kereta mereka ditarik menggunakan bantuan buruh sejauh 130km. Bagaimanapun, ekspedisi yang mencabar mental dan fizikal itu terselit cerita manis apabila Aloha dan kapten Wanderwell jatuh cinta dan berkahwin apabila tiba di AS.
Pada 1929, selepas melengkapkan pusingan pertama dunia, mereka melancarkan dokumentari berjudul 'With Car and Camera Around the World'.
TERUSKAN KEMBARA KE MATO GROSSO, AMAZON
Namun semangat pengembaraan Aloha tidak tamat di situ, selepas belajar menerbangkan pesawat Jerman 'Junker', beliau dan suaminya, Walter berangkat sekali lagi menuju ke Mato Grosso, sebuah negeri di Brazil yang dikelilingi lembah Amazon. Hajat itu bagaimanapun terpaksa ditunda apabila pesawat mereka terpaksa mendarat di kawasan hutan belantara kerana kehabisan bahan api.
Satu-satunya jalan pulang pula hanya menggunakan pesawat terbang. Akhirnya Walter memutuskan meninggalkan Aloha bersama suku pribumi, Bororo dan dia pula berjalan kaki menuju kawasan penduduk biasa selama beberapa bulan untuk mendapatkan alat ganti. Walaupun halangan utama ialah komunikasi, Aloha langsung tidak kekok menjalinkan hubungan dengan suku pribumi di situ dan diberi kepercayaan merekodkan segalan aktiviti kehidupan mereka.
BACA >>> Selepas Wanita Saudi Dibenarkan Memandu, Pengeluar Automotif Berlumba Lancar Kempen
Tanpa disedari, catatan berbentuk rekod video suku Bororo Brazil itu kali pertama difilemkan dan langsung menjadi dokumen antropologi sangat penting dalam lipatan sejarah. Hari ini, rekod dokumentari 'Flight to the Stone Age Bororoscan' berada dalam simpanan Arkib Kajian Manusia di Institut Smithsonian.
MISTERI PEMBUNUHAN WANDERWELL
Malangnya, perjalanan Walter dan Aloha berakhir sejurus pasangan itu kembali ke California, AS pada 1931. Walter dilaporkan dibunuh di kapal layar mereka di Long Beach, dan polis hingga kini tidak pernah dapat menyelesaikan misteri pembunuhan tersebut, sekali gus menyebabkan segala rancangan ekspedisi terbaharu Aloha terbantut.
Pada 1933, Aloha berkahwin lagi, dengan lelaki bernama Walter Baker yang pernah bertugas sebagai jurukamera Work Around the World Education Club, iaitu organisasi diasaskan mendiang suaminya, kapten Wanderwell.
BACA >>> Anita Yusof Kebanggaan Malaysia - Penunggang Wanita Pertama Berjaya Keliling Dunia
Apapun yang berlaku, Aloha jelas mencatatkan pencapaian luar biasa bagi seorang wanita pada zamannya. Beliaulah wanita pertama merentasi India, Cape Town di Afrika Selatan hingga ke Sungai Nil di Mesir. Beliau juga wanita pertama terbang ke Mato Grosso di Brazil dan memandu mengelilingi dunia sejauh 380,000km pada 1920-an dengan fasiliti yang sudah tentu tidak semoden hari ini.
Aloha meninggal dunia pada 4 Jun 1996.
Aloha Wanderwell says
source!
https:www.AlohaWanderwell.com