SEPANJANG Pameran Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) 2018, segmen roda dua boleh dikatakan sama meriah dengan empat roda. Ada banyak pengeluar motosikal di Thailand mengambil kesempatan memperkenalkan produk baharu masing-masing dan salah satu daripadanya ialah Vespa.
Di Thailand, jenama motosikal Vespa, Piaggio, Moto Guzzi dan Aprilia berada di bawah pengedar tunggal yang sama, Vespiario (Thailand) yang tahun ini memperkenalkan model Vespa Sprint 150 i-Get Carbon Edition.
Seperti namanya, Sprint 150 i-Get Carbon Edition ini menerima perubahan kosmetik dengan menerapkan kemasan 'acah-acah' gentian karbon di beberapa bahagian badan selain strip merah Rosso Dragon pada bahagian depan, sisi dan roda.
Perubahan dilakukan cuma minor dan boleh saja dibuat sendiri di kedai aksesori atau di rumah. Skuter Itali ini masih mengekalkan enjin silinder tunggal 4-lejang dan tiga injap i-Get bersesaran 150cc berkuasa 12.7hp dan tork 12.8Nm. Hantara kuasa ke roda belakang disalurkan kotak gear automatik CVT.
Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan tidak ketinggalan ciri port USB untuk kemudahan mengecas telefon pintar. Pemilik skuter edisi terhad itu juga akan diberikan set barangan eksklusif seperti helmet sama warna dengan motor, beg galas, topi, pad pelindung dan rantai kunci.
Didatangkan dalam warna hitam Nero Vulcano, Vespa Sprint 150 i-Get Carbon Edition dijual pada harga ฿129,000 (RM15,956).
Leave a Reply