MUNGKIN anda bukan peminat komik Jepun atau gelaran popularnya, manga.
Tetapi jika anda peminat dunia automotif Jepun, khususnya permotoran dan perlumbaan, anda pasti tahu tentang anime atau filem 'live action' Initial D.
Namun, anda silap jika mendakwa Initial D ialah satu-satunya manga atau anime tentang sukan permotoran. Faktanya, ada banyak lagi manga yang menyentuh topik sama.
BACA >>> #TahukahAnda: 10 Fakta Ringkas Tentang Initial D yang Mungkin Anda Tidak Tahu
Berikut antara judul pilihan kami yang mungkin tidak seikonik Initial D, tetapi tetap berbaloi ditambah sebagai koleksi bacaan manga anda.
1. WANGAN MIDNIGHT (湾岸ミッドナイト)
Ramai tidak tahu, manga Wangan Midnight ini sebenarnya diterbitkan 5 tahun lebih awal daripada Initial D.
Hasil karya Michiharu Kusunoki, manga ini hampir sama dengan karya Shuichi Shigeno (Initial D) yang mana watak utama ialah pelumba muda berbakat besar yang memilih untuk berlumba dengan kereta old-skool.
Bagaimanapun, tidak seperti Fujiwara Takumi, watak utama, Akio Asakura dalam Wangan Midnight sangat berminat dengan kereta dan mempunyai pengetahuan tinggi tentang dunia permotoran.
Walaupun masih mengetengahkan topik perlumbaan jalanan, tidak seperti Initial D yang mempopularkan budaya Tōge dan drifting, Wangan Midnight menampilkan budaya Wangan, iaitu scene kereta yang diubah suai untuk berlumba dalam halaju tinggi sepanjang lebuh raya pesisir pantai Shuto Expressway.
Jika anda tidak tahu, Wangan bermaksud pesisir pantai teluk (bayshore). Selain manga dan permainan video, Wangan Midnight juga diterjemahkan kepada medium animasi dan filem live action.
2. CAPETA (カペタ)
Capeta ialah judul manga dan anime yang sangat sesuai untuk mereka yang meminati sukan automotif profesional. Sebelum Capeta, artis Soda Masahito pernah memenangi anugerah Shogakukan Manga Award pada 1996 dengan manga Firefighter! Daigo of Fire Company M.
Mengikuti perjalanan watak utama, Taira Kappeita, manga ini menceritakan tentang semangat pelumba muda yang berjuang dalam sukan permotoran profesional walaupun berdepan pelbagai kesukaran. Hampir sama dengan kisah pelumba kelas MotoGP pertama Malaysia, Hafizh Syahrin.
Tarikan utama manga ini ialah ketelitian dalam aspek perlumbaan profesional seperti kos perlumbaan dan halangan teknikal yang perlu ditempuhi pelumba amatur, selain komentar perkara teknikal seperti penggunaan tayar dan penentuan racing line.
Selain manga, yang diterbitkan selama 10 tahun (2003-2013), Capeta turut diterbitkan dalam animasi televisyen 52 episod. Mungkin manga dan anime ini tidak sepopular Initial D, tetapi seperti karya Masahito sebelum ini, Capeta dianugerahkan Kondansha Manga Award pada 2005. Inilah manga yang wajib dibaca peminat sukan permotoran!
3. DONTEN PRISM SOLAR CAR (曇天・プリズム・ソーラーカー)
Bagi peminat anime, penulis genre seinen, Ohtagaki Yasuo pasti lebih dikenali dengan karya terbaharu, Gundam Thunderbolt. Tetapi sebelum itu beliau pernah menyumbang tenaga sebagai penulis manga perlumbaan kereta solar, Donten Prism Solar Car.
Manga ini menceritakan tentang kisah Kaneda Shouta yang berbasikal sejauh 10km setiap hari untuk bekerja di bengkel besi. Dia sanggup tidak memandu hanya kerana bencikan kereta yang menyebabkan bapanya maut akibat kemalangan. Bagaimanapun, selepas dipujuk sekumpulan pelajar kolej yang mahukan kepakaran mekanikal Shouta untuk membaik pulih projek kereta solar mereka, Shouta beransur-ansur mula melupakan kisah silamnya.
Cuma 9 episod dan 45 muka surat. Manga ini cukup pendek jika anda mencari karya yang tidak meleret-leret dan mudah diikuti.
Jika premis manga ini tidak cukup menarik minat, anda harus tahu manga ini dilukis artis, Murata Yusuke yang terkenal dengan Eyeshield 21 dan One Punch Man. Jadi, anda boleh mengharapkan manga ini dihiasi lukisan yang teliti, rapi dan kemas selain watak gadis muda cantik dan sedap mata memandang.
BACA >>> #TahukahAnda: 10 Fakta Ringkas Tentang Initial D yang Mungkin Anda Tidak Tahu
4. KIRIN (キリ)
Diterbitkan pada 1987, karya Shohei Harumoto ini menceritakan tentang watak utama, Kirin, 38 , yang obses dengan motosikal. Seperti Initial D, manga ini popular berikutan perincian lukisan motosikal dan kereta serta gambaran suasana perlumbaan yang serius dan intensif.
BACA >>> Logo dan Nama Dipatenkan, Suzuki Katana Muncul Kembali?
KIRIN menampilkan watak utama menunggang motosikal legenda 80-an, Suzuki GSX1100S 'Katana' dan pada awal kemunculan, ditampilkan berlumba dengan Porsche 911.
Berita tidak enak, jika anda mahu mengikuti lanjut manga ini, ia sangat sukar didapati. Jika ada sekalipun, harganya cukup mahal berdasarkan pencarian kami di laman web beli-belah popular seperti Amazon. Bagaimanapun, siri spin-off, Kirin The Happy Rider Speedway yang diterbitkan pada 2010 lebih mudah didapati pada harga munasabah, yakni sekitar AS$10 (RM40).
5. TOPPU GP (トップウGP)
Karya terbaru Kosuke Fujishima itu terkenal dengan siri manga popular, You're Under Arrest dan Oh My Goddess, termasuk mencipta karakter permainan video Playstation 4, Tales of Zestiria dan Tales of Berseria. TOPPU GP yang baru saja diterbitkan tahun lalu boleh dianggap sebagai CAPETA versi motorsikal.
Seperti judul CAPETA, yang menggunakan nama watak utama, TOPPU GP menampilkan Toppu Uno (bermaksud Top One), iaitu kanak-kanak berbakat yang memasang impian menyertai perlumbaan motosikal bertaraf dunia, MotoGP.
Toppu Uno memiliki kebolehan pengamatan tinggi yang membolehkan dia mengetahui tahu catatan masa tanpa melihat jam selain mampu mencatat masa pantas walaupun kali pertama menunggang dengan hanya memerhatikan paten tungangan kakaknya. Namun, masih jauh perjalanan yang perlu dihadapi Toppu Uno sebelum dia mampu melangkah ke arena MotoGP.
Menariknya, hasil kerjasama dengan beberapa pelumba motosikal Jepun, TOPPU GP mengetengahkan pengetahuan mendalam tentang motosikal dan informasi mekanikal lain selain lakaran motorsikal dan kereta yang sangat terperinci. Namun tidak seperti kebanyakan manga lain dalam senarai ini, ia masih kemas dan mudah dibaca.
6. MF GHOST
MF Ghost ialah karya terkini Shuichi Shigeno sebagai sekuel kepada manga ikonik, Initial D.
Berlatar belakangkan era moden yang mana kereta pandu sendiri menguasai jalanan, MF Ghost menceritakan tentang watak utama, pelumba muda Katagiri Kanata yang menyertai perlumbaan kereta enjin pembakaran, MFG dalam perjalanan menjejaki kehilangan misteri ayahnya yang berkait rapat dengan organisasi tersebut.
Walaupun tidak menampilkan semula watak-watak popular daripada Initial D, tetapi masih dinyatakan sebagai rujukan. Kanata misalnya, memandu Toyoto 86 dan disebut sebagai anak murid Fujiwara Takumi memandangkan Kanata mempunyai skil yang hampir sama. MFG pula ialah organisasi perlumbaan yang berkesinambungan daripada Project D, iaitu organisasi perlumbaan jalanan yang diasaskan Ryosuke, yakni pesaing lumba sebelum dia jadi mentor kepada Takumi.
Masih banyak lagi misteri yang belum terungkai jadi jika anda peminat setia Initial D dan ingin tahu perkembangan watak-watak kegemaran anda sebelum ini, segera dapatkan MF Ghost di pasaran.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Sebab Kenapa 86 Jadi Nombor Kesayangan Toyota
Leave a Reply