KEMUNCULAN Volvo V40 (2012) meletakkan semula penanda aras baru model hatchback premium. Jika dibandingkan dengan lawan setara seperti Audi A3, Mercedes A-Class dan BMW 1-Series, Volvo V40 harus diakui berjaya melakukan tugasnya dengan baik menerusi tahap penggunaan bahan api hebat, rekod keselamatan mengagumkan dan rupa penuh gaya.
Volvo V40 ialah kereta paling selamat pernah diuji pakar di Euro NCAP pada tahun pengeluarannya dengan meraih skor tertinggi pada 2012. Malah, sehingga kini pun Volvo V40 masih berada dalam senarai kereta paling selamat di dunia. Sistem mengelak perlanggaran kelajuan rendah menjadi ciri standard semua model bersama pilihan kit keselamatan, termasuk kawalan jelajah adaptif, pantauan titik buta, bantuan lorong dan pengesanan pejalan kaki.
Saya diberikan Volvo V40 T4, varian paling asas selain T5 sebagai model premium yang berbeza dari segi kapasiti enjin. T4 menggunakan enjin 1.6L yang menghasilkan kuasa 180hp dan tork 240Nm, manakala T5 berenjin 2.0L (213hp, 300Nm). Tidak banyak perbezaan ketara antara T4 dan T5, cuma kemasan luaran dan dalaman, termasuk sistem audio yang sudah tentu berpihak kepada si abang (T5).
Namun, Volvo tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan. Kedua-dua varian dilengkapi ciri keselamatan tinggi yang sama, cuma T4 tiada sistem bantuan parkir di depan, Pilot Bantuan Parkir (PAP), kunci kawalan jauh dengan fungsi Komunikator Kereta Personal (PCC) dan masukan tanpa kunci (keyless) bagi tujuan sekuriti.
Selain Volvo V40 sebagai model pandu uji kali ini, ada dua lagi ahli famili V40, iaitu Cross Country yang dipasang suspensi tinggi dan gaya lasak dan R-Design dengan rupa agresif dan pengendalian dipertingkat, sama seperti BMW versi M Sport dan Audi versi S. Bagaimanapun, pasaran Malaysia cuma menampilkan Volvo V40 standard dan Cross Country dengan lingkungan harga bermula RM173,888 hingga lebih RM200,000.
EKSTERIOR
Volvo V40 bukanlah murah dibandingkan dengan hatchback lain, tetapi jika anda melihat kepada lawan premium lain yang sekelas, nilai dimiliki kereta ini nyata terserlah. Tiada lagi imej kotak yang sinonim dengan Volvo. Sebaliknya, V40 muncul dengan menerapkan segala elemen rekabentuk terbaik yang pernah dihasilkan jenama itu menerusi produk terdahulu.
Lihat saja pada muncung bonet yang cembung seperti jerung, lampu utama gaya-projektor dan but gaya-V60, serta rekaan cermin belakang hatchback berinspirasikan model C30. Sebagai antara hatchback paling lebar dalam kelas, profil Volvo V40 tampak rendah dan sporty.
INTERIOR
Papan pemuka Volvo V40 direka ringkas dan menampilkan panel vertikal yang memuatkan butang tetapan audio dan penyaman udara serta diapit empat tombol kawalan di kiri dan kanan. Paling menonjol, butang arah ventilator penyaman udara yang menggunakan simbol posisi orang duduk dalam kereta. Cuma tekan kepala, badan atau kaki untuk menetapkan haluan hembusan penyaman udara ke atas, tengah atau bawah. Satu kajian kognitif sempurna yang harus dipelajari kereta nasional kita! Istimewa mengenai kereta buatan kontinental ialah pendirian setiap pengeluar yang cuba sedaya upaya untuk tampil berbeza dengan pesaing lain.
Jika Peugeot terkenal dengan imej cembung dan bulat, manakala Audi menggabungkan elemen horizontal dan bulat sebagai asas rekabentuk papan pemula, Volvo pula tidak ragu-ragu berekspresi dengan rekabentuk kotak dan petak. Perhatikan stereng, papan pemuka, butang penghidup, tuil lampu, cermin pandang belakang dan panel meter. Imej kotak diadun sebaik mungkin bagi menyerlahkan kualiti dan gaya rekabentuk tersendiri yang sebati dengan reputasi Volvo.
PRESTASI
V40 berkongsi banyak bahagian mekanikal dengan Ford Focus, sekali gus menjadikan hatchback ini seronok dipandu, terasa tangkas dan tenang di selekoh. Ketepatan pengendalian stereng adalah poin tinggi V40, termasuk kawalan badan kereta ketika melanggar bonggol jalan yang turut memberikan respons baik.
Kotak gear 6-kelajuan Powershift dengan Geartronic beroperasi lancar dan efisien, cuma tetapannya kurang halus setiap kali gear digerakkan. Anjakan setiap takuk gear agak keras dan tidak selembut seperti menggerakkan gear Volkswagen dan Audi.Tapi, bukan masalah besar pun kan?
Pemanduan kekal tegap dan selamat, terutama di selekoh. Kuasa pecutan 0-100kmj sepantas 8.5 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 225kmj. Cukup laju bagi sesiapa yang berani menghadap surat cinta abang polis. Sistem keselamatan berfungsi sempurna, terutama respon Stabiliti Dinamik dan Kawalan Traksi (DSTC) dengan Kawalan Stabiliti Termaju (ASC), termasuk Kawalan Traksi Belok dan Mod Sport.
CIRI KESELAMATAN TINGGI
Buktinya, beberapa kali kelajuan kereta 'dilumpuhkan' ketika saya melakukan aksi slalom dan melenjan selekoh tajam. Volvo V40 turut dilengkapi sistem Keselamatan Bandar (CS) seperti fungsi brek automatik dalam kelajuan tertentu dan beg udara khas buat pejalan kaki (lihat video di bawah). Apabila berlaku perlanggaran dengan objek depan, beg udara bentuk-U akan keluar dari dalam bonet bagi mengurangkan impak terhadap pejalan kaki atau objek yang dilanggar selain berperanan melindungi pemandu dalam kabin.
Namun, tidak seperti produk Volvo kebiasaan, V40 terpaksa mengetepikan beberapa aspek praktikaliti demi memenuhi rekabentuk baharu. Mungkin nampak besar apabila dipandang dari luar, sebaliknya duduk di dalam agak sempit, terutama ruang belakang. Ruang kepala di belakang tidak cukup bagus untuk penumpang tinggi dan saiz but 335 liter terlalu sempit dan kurang praktikal. Faktanya, but Volvo V40 lebih kecil daripada Volkswagen Golf sebanyak 45 liter. Kemasan tona hitam turut menyumbang kepada fill sempit dalam kabin V40.
KESIMPULAN
Dari segi nilai, sudah tentu berbaloi jika dibandingkan dengan seterunya, BMW atau Mercedes. Malah, setiap unit Volvo V40 dilengkapi fungsi keselamatan termaju sebagai ciri standard. Cuma yang menjadi masalah untuk pembeli Malaysia memiliki jentera ini adalah kos penyenggaraan tinggi dan nilai jual semula yang susut mendadak berbanding dua jenama di atas.
Jadi, tidak hairan Volvo cuma berlegar di kalangan peminat fanatiknya sahaja dan sukar menembusi pasaran pembeli baru. Jika dua aspek itu (kos senggara dan nilai jual semula) berubah dan dipertingkat, tidak syak lagi produk Scandinavia ini mampu mengancam jenama automobil mewah lain.
SPESIFIKASI
ENJIN B414T, 4 silinder suntikan terus turbo petrol dengan teknologi mula/henti
TRANSMISI Automatik 6-kelajuan Powershift
KUASA MAKSIMUM 180hp@5,700rpm
TORK MAKSIMUM 240Nm@1,600-5,000rpm
0-100KMJ 8.5 saat
KELAJUAN MAKSIMUM 225kmj
CIRI Stabiliti Dinamik dan Kawalan Traksi (DSTC) dengan Kawalan Stabiliti Termaju (ASC), Kawalan Traksi Belok dan Mod Sport, Sistem Informasi Pemandu Pintar (DIS), Brek Anti-Kunci dengan Bantuan Brek Hidraulik (HBA), Brek Amaran Sedia (RAB), Lampu Belok Aktfi (ABL), beg udara (depan, sisi, lutut & tirai), Sistem Perlindungan Leher (WHIPS), ISOFIX, Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS).
HARGA RM173,888 (tanpa insurans)
Leave a Reply