USAHASAMA Bajaj Auto dan Triumph Motorcycles sudah diumumkan sejak suku ketiga tahun lalu, dan antara objektif kerjasama tanpa ekuiti itu adalah bertujuan meluaskan pasaran motosikal kelas pertengahan di India.
Terkini, menurut laporan IndianAutosBlog, usahasama Bajaj Auto dan Triumph Motorcycle akan mensasarkan pasaran segmen 250cc hingga 700cc. Jika merujuk Triumph Motorcycles India secara individu, pengeluar asal British itu akan menumpukan kepada pembuatan model 500cc ke atas.
Triumph akan bersaing dengan Harley-Davidson sebagai pendahulu segmen tersebut. Dalam usaha menjadikan produk lebih kompetitif, Triumph akan menambah pembuatan 90 peratus produk pemasangan tempatan (CKD) pada 2017 kepada 95 peratus menjelang penghujung Jun depan.
Kerjasama Bajaj-Triumph bakal menawarkan barisan produk saiz pertengahan yang bukan saja untuk pasaran India tetapi juga antarabangsa. Pertumbuhan jualan motosikal Triumph berada pada 17 peratus bermula Julai 2017 hingga Januari 2018, dan mensasarkan pertumbuhan 10-15 peratus dengan jumlah jualan 1,300 unit menjelang hujung tahun ini.
6 MODEL TRIUMPH BAHARU DI INDIA
Bagi tahun ini, Triumph Motorcycles akan memperkenalkan Tiger 800 dan Tiger 1200, serta 4 model lain di India. Selain produk baru, pengeluar itu juga bakal membuka pusat jualan ke-15 di Gurgaon, disusuli Mangalore dan Goa. Jelas sekali Triumph benar-benar komited mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk dan mengukuhkan rangkaian jualan di salah satu pasaran motosikal terbesar dunia itu.
Di India, jualan motosikal segmen 250-500cc ialah kira-kira 800,000 unit setahun yang didominasi Royal Enfield, diikuti KTM dan Bajaj. Segmen tersebut juga menawarkan potensi jualan hingga 1 juta unit.
Leave a Reply