SELEPAS hampir sedekad bekerjasama dengan Naza Prestige Bikes, Harley-Davidson menamatkan perjanjian pengedaran dengan syarikat tempatan itu, tahun lalu. Bermula September, syarikat pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat (AS) tersebut giat mencari rakan pengedar baru.
Kini, Didi Resources Sdn Bhd (DRSB) rasmi dilantik sebagai pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia, dan serentak melancarkan bilik pameran di Petaling Jaya. Susulan pembukaan itu, DRSB turut merancang mengembangkan rangkaian premis lain di luar Kuala Lumpur sebagai komitmen meluaskan pasaran jenama ikonik itu.
BACA >>> Harley-Davidson Cari Pengedar Baharu Selepas Sedekad Bersama Naza Prestige
Harley-Davidson Petaling Jaya, terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya, diuruskan Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada Goh Brothers Capital yang sebelum ini pernah menjual beberapa jenama automotif lain di Malaysia.
KUKUHKAN JENAMA
Pengarah Urusan Harley-Davidson Pasaran Asia, Johan Kleinsteuber berkata, pelantikan pengedar baharu dapat mengukuhkan lagi rangkaian jenama itu di Malaysia.
“Tahun ini kami akan membuka dua lagi premis di Melaka dan Pulau Pinang, tidak lama lagi. Kami mahu menyediakan keperluan lengkap kepada pemilik Harley-Davidson sedia ada atau baharu yang meminati jenama ini,” katanya.
BACA >>> Interviu Khas: Michiel Huisman - Aktor Siri Mini Discovery, 'Harley and The Davidsons'
Hadir sama dalam majlis pembukaan premis itu ialah Pengerusi DRSB, Rewi Hamid Bugo dan Pengerusi Goh Brothers Motorcycles, Goh Kian Sin.
Leave a Reply