SEBELUM ini pengeluar automotif dari Jepun memberi amaran kemungkinan keluar dari Britain sekiranya 'Brexit' dilaksanakan dan pasaran tidak lagi menguntungkan. Kali ini muncul satu lagi isu yang bakal dihadapi negara Eropah itu berhubung perkara sama. Pengguna jalan raya Britain yang mahu ke negara dalam Kesatuan Eropah (EU) bakal berdepan masalah kerana lesen memandu negara itu mungkin tidak diiktiraf.
Sekiranya Britain bukan lagi di bawah EU, semua peraturan dan faedah sesama anggota EU tidak lagi sah. Antaranya ialah kehilangan pengiktirafan lesen memandu, dokumen pendaftaran kereta dan sijil kemahiran profesional untuk pemandu Britain di negara EU.
GUNA LESEN IDP
Bagaimanapun, ada satu cadangan alternatif daripada Suruhanjaya EU. Pemandu Britain masih boleh menggunakan peraturan Konvensyen Geneva 1949 berhubung Trafik Jalan Raya yang membenarkan pemegang Permit Memandu Antarabangsa (IDP) untuk memandu dalam negara yang mendaftar bawah konvensyen tersebut.
BACA >>> Impak Brexit, Jepun Mungkin Tidak Sudi Meniaga Lagi di UK
IDP itu, yang sah selama setahun, berharga £5.50 (RM30) dan boleh didapati di cawangan pejabat pos terpilih dan organisasi permotoran. Bagaimanapun, Jerman dan empat lagi negara EU lain tidak mendaftar di bawah konvensyen berkenaan.
Jurucakap dari Jabatan Pengangkutan UK berkata, sasaran Kerajaan adalah mencapai persetujuan dengan EU bagi pengiktirafan lesen bersama selepas Brexit. Rundingan itu adalah demi kepentingan kedua-dua pihak.
"Kita perlu mengambil langkah luar jangka untuk semua senario. Mengesahkan Konvensyen Vienna [yang dipatuhi Britain, tetapi tidak disahkan] akan menjamin lesen memandu Britain akan diterima EU dengan sokongan IDP," katanya.
SUMBER: AutoExpress
Leave a Reply