KENDERAAN rekreasi, juga popular dipanggil RV (Recreational Vehicle), boleh dirujuk sebagai rumah bergerak yang mana sesetengahnya siap dilengkapi bilik tidur, dapur dan jakuzi. Di bawah segmen RV ini pula terdiri daripada beberapa jenis kenderaan seperti:
- Rumah motor (motorhome)
- Van kamper (campervan)
- Karavan (juga dipanggil treler kembara dan treler kamper)
- Treler roda-lima (fifth-wheel trailer)
- Kamper popup (popup camper)
- Kamper trak (camper truck)
Namun, mengimbau sejarah lalu, RV bermula seiring revolusi automobil dan kewujudan golongan peminat aktiviti perkhemahan. Jadi, sebagai pekhemah sejati, ada saja peluang dicari untuk meneroka sesuatu yang mencabar dan antara cabaran itu adalah mengembara menggunakan pelbagai medium pengangkutan seperti kapal, kuda, dan kereta api hingga kenderaan bermotor yang membawa kepada penciptaan RV hari ini.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang 'Resale Value' yang Perlu Anda Tahu
Malah, RV sudah menjadi sebahagian budaya Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan penduduknya mengembara secara mewah sejak lebih 100 tahun lalu. Idea asal RV itu pula datang daripada gerabak (wagon) tertutup di Eropah sejak awal abad ke-18 yang digunakan kaum gipsi, dan karavan yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain (gambar bawah).
1910 HINGGA 1920
Rumah motor (motorhome) pertama di Amerika Utara dikesan di Kanada pada 1910 yang dibina menggunakan trak 3 tan, Packard dan digunakan hingga 1924. Kenderaan itu berukuran 8.5 meter panjang dan hampir 2 meter lebar serta dapat memuatkan 11 penumpang yang dapat tidur di dalamnya. Malah turut dilengkapi kotak ais, tandas dan salon.
Bagi menambah baik dan membangunkan rumah motor itu, pekhemah mencari cara yang lebih kreatif dengan menyesuaikan kenderaan dimiliki dengan gaya hidup masing-masing. Antaranya, menggunakan kayu dan khemah sebenar. Ada RV ketika itu dipasangkan dapur, peti sejuk, tandas, bilik mandi dan kemudahan lain. Malah, ada juga sesetengah rumah bergerak dilengkapi alat telegraf dan lampu elektrik.
Pada 1915, rumah kereta, bernama Gypsy Van dibina dengan hiasan dalaman seperti rumah agam Inggeris seberat 8 tan, manakala treler perkhemahan beroda pertama dicipta pada 1917.
1921 HINGGA 1930
Ada banyak perintis industri RV pada era 1920-30-an seperti Winnebago, Airstream dan paling popular, Ford. Daripada frem Model TT, rumah kereta nomad dibina pada 1923. Pada 1927, RV kustom daripada frem bas Brockway Model H buatan Leonard S Whittier, mula dibikin pekhemah yang siap dilengkapi sofa rotan, rak buku, peti sejuk, sinki, dapur elektrik dan juga tangki septik. Menjelang 1930-an, RV mula dijual secara komersial.
1931 HINGGA 1940
Pada dekad ini, pengeluar mula menghasilkan treler pengembaraan, sesetengahnya kecil dan beberapa lain bersaiz besar. Pada 1936, pereka kapal terbang, Glenn Curtis mencipta Curtis Aerocar dengan rupa seperti kereta. Pada tahun sama, Airstream Trailer Co mengeluarkan kenderaan khas, dipanggil clipper, berupa wagon aluminium yang dirivet seluruh badan dengan seakan pesawat udara.
BACA >>> #RetroAuto: Glenn Curtiss - Si Pereka yang Tetapkan Penanda Aras Kelajuan Motosikal
Kenderaan pelik itu dapat memuatkan 4 orang dan turut dapat membawa naik bekalan air. Model Airstream itu ialah treler pertama yang direka untuk tujuan kembara dan dijual di pasaran.
1941 HINGGA 1950
Perkembangan RV terhenti sepanjang Perang Dunia Kedua (WWII) kerana penggunaan kenderaan ketika itu lebih diperlukan untuk tujuan seperti hospital, rumah mayat, dan kenderaan tawanan perang dalam menyokong usaha perang. Pengeluaran untuk kegunaan umum juga dihentikan sama sekali.
Selepas berakhirnya WWII, pengeluar kembali menghasilkan kereta rumah inovati, sekali gus mengubah masa depan RV secara serta merta. Penerbit legenda dan juga bilionair AS, Howard Hughes memiliki lapan RV yang beliau jadikan bilik persalinan bergerak. Semua RV milik Hughes itu dilengkapi kemasan dalaman mahogani, bilik mandi, peti sejuk, dapur dan penyaman udara.
Angkatan tentera AS pula membeli ribuan treler Palace Expando pada 1942 yang diubah suai dengan menambah bilik mandi. Treler tersebut menjadi rumah kelamin buat askar yang tersenarai dalam pasukan tentera AS. Ada juga RV menarik yang dibina berasaskan frem rekaan Chevrolet pada 1946. Menurut sejarah, pemilik RV Chevrolet sering ditahan pengguna jalan raya lain yang mahu tahu tentang kenderaan pelik itu.
Treler yang digelar 'Shoreline Tandem Town and Country' juga dibina pada masa ini - 1948 - iaitu treler dengan panjang 9,100mm dan 3 bilik, termasuk disediakan bekalan elektrik.
1951 HINGGA 1960
Pada 1950-an, segmen RV berkembang maju dan menjelang penghujung dekad itu, rumah bergerak dan treler kembara sudah sebati dengan gaya hidup pekhemah di Amerika. Saiz kenderaan yang dihasilkan sepanjang tahun tersebut semakin bertambah luas dan panjang, serta turut ditambah dekorasi mewah dan moden seperti sistem paip dan bilik mandi, termasuk dapur. Ada juga RV dua tingkat yang sesetengahnya memiliki bilik tidur peribadi terpisah.
Pada 1952, model eksekutif RV dibina dengan saiz dimensi 1,980mm, berat 18 tan, dan 10 roda selain memiliki 2 bilik mandi, hiasan karpet dinding, set televisyen 21-inci dan kolam renang dengan papan anjal. Model RV ini dijual pada harga AS$75,000 (RM290,775).
Pada 1955, rekabentuk RV dua tingkat dihasilkan dengan ciri 3 bilik tidur yang dapat memuatkan 8 orang. Trak pop up pertama dibuat pada 1958 dan lima tahun kemudian, pengeluaran unit tersebut mula bermula. Pada 1959, Shasta memasuki industri RV dan produk treler kembara buatan jenama itu menjadi RV paling popular dekad tersebut.
Gaya hidup RV mengalami pelbagai peristiwa, daripada fasa perang dan aman, perubahan ekonomi, kemodenan, kegilaan dan juga revolusi zaman siber. Di sebalik segala cabaran itu, RV masih gah dan terus maju walaupun dalam situasu ekonomi mencabar.
BACA >>> Volkswagen California XXL Concept - Era Baharu Van Kamper Kini Bermula
Dari 1960 hingga sekarang, industri RV masih diteruskan seiring era teknologi automotif masa kini. Berdasarkan perkembangan teknologi, tidak mustahil rekaan RV akan terus diperbaiki demi menghasilkan ciri dan rekabentuk kenderaan yang relevan.
Dek keselesaan diberikan RV, orang ramai kini tidak perlu lagi risau untuk berkhemah dan bermalam di luar rumah. Apa perlu difikirkan ialah pengembaraan ke lokasi baharu yang menyeronokkan.
SUMBER: DidYouKnowCars
Leave a Reply