SEGMEN trak pikap masa kini dilihat sudah menjangkaui ke peringkat yang jauh maju berbanding terdahulu. Baik dari segi paras rupa mahupun teknologi.
Jika dahulu pengeluar automobil selesa dengan wajah 'kotak' yang tipikal dengan segmen pikap, kini ia sudah tampil dengan pendirian berani berbeza.
Malah ada pengeluar yang berani mengadaptasi 'trademark' gril pada model kereta untuk digunakan pada pikap. Hasilnya jentera itu tampil dengan rekabentuk yang bukan saja sporty dan maskulin, malah menyerlahkan imej gaya hidup.
Begitu juga trak pikap yang saya pandu uji kali ini, Walaupun sudah hampir 37 tahun berada di pasaran, ia masih kekal relevan dan diminati ramai. Lebih membanggakan, ia terus 'mengganas' untuk memastikan yang terbaik jika dibandingkan dengan pesaingnya lain.
Model yang saya maksudkan adalah Mitsubishi Triton generasi ke-5 yang baru saja dilancarkan pada pertengahan tahun lalu. Triton yang dipandu uji saya kali ini adalah VGT Adventure, yakni varian paling premium.
HARGA: (Termasuk insurans dan GST)
- Mitsubishi Triton VGT Adventure (Auto) - RM111,600
LUARAN:
Tegap, bergaya dan rekabentuk dinamik adalah antara karakter utama Triton. Gril 3D yang tersenyum luas sambil diapit lampu LED nyalaan siang di kiri dan kanan membuatkan sesiapa saja menyangka ia sebuah SUV versi mewah.
Dilihat daripada sudut profil, Triton serba baharu memiliki rekabentuk arus ke hadapan dan `garisan J’ di antara kabin dan dek belakang. Tambah menarik, ia kemudian dipasangkan dengan rim aloi bersaiz 17 inci.
DALAMAN:
Memasuki ruang dalaman trak pikap baharu ini bagaikan berada di model sedan premium. Apa yang saya maksudkan adalah sistem kemasukan tanpa kunci, Kawalan Suhu Dua Zon dan pedal anjakan.
Salah satu ciri menjadi tarikan adalah ruangan hiburan dengan sistem audio sesentuh bersama kamera undur. Memulas tombol volum pada tahap lima sudah cukup mendentumkan keseluruhan kabin pikap ini. Sekarang, pencinta off-road tiada alasan lagi ke kedai aksesori menukar pemain audio mereka kerana set standard yang diberikan sudah mampu menenggelamkan bunyi unggas di luar.
PRESTASI:
Terbenam di dasar perut Triton baharu ini adalah enjin 2.5L 4-silinder dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) bersama intercooled.
Untuk makluman, ia masih mengekalkan enjin sama seperti model terdahulu tetapi ditambah baik untuk menawarkan prestasi tinggi selain penjimatan bahan api.
Enjin berteknologi maju Doyble Overhead Cam (DOHC) turbodiesel 16 injap bersama sistem common-rail ini mampu menhasilkan kuasa sehingga 176hp pada 4,000rpm dan tork 400Nm (2,000rpm), iaitu penambahan 50Nm berbanding model sebelum ini.
Butang kawalan pacuan empat roda (4WD) dan dua roda (2WD) digabungkan bersama sistem Easy Select 4WD Mitsubishi terletak di sebelah gear.
KESELAMATAN:
Sama seperti model Mitsubishi lain, aspek keselamatan tidak dilupakan. Trition yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini memiliki binaan badan RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) Mitsubishi yang menggunakan besi tensil kuat dan berkesan menyerap serta melepaskan tenaga sekiranya berlaku pelanggaran.
Antara ciri keselamatan lain turut disematkan adalah seperti dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan ISOFIX.
Sepanjang tempoh pandu uji selama seminggu, prestasi enjin menguja dan meyakinkan. Tidak perlu berkerut dahi apabila berdepan sebarang halangan jalan kerana anda cuma perlu memulas stereng ke arah haluan dituju dan menekan pedal minyak secukupnya. Pasti dapat menempuhnya.
Lagi satu, hati-hati menekan pedal minyak ketika keluar simpang atau berhenti di lampu isyarat kerana tayar Triton mudah saja berpusing ligat seperti kereta lumba. Bimbang terbang semangat pakcik dan makcik di sebelah.
Saat melenjan melalui laluan off-road, pikap ini benar-benar teruji. Pengalamannya tidaklah terlalu tenang seperti menikmati percutian atas kapal layar dan tidaklah pula bergolak seperti menunggang kuda ekuestrian.
Segalanya sederhana saja. Jika terlanggar bonggol tinggi atau lopak dalam, terasa hentakan keras dan rakan sebelah perlu siap sedia memaut pemegang di bingkai pintu.
Di atas jalan raya biasa, Triton memang luar biasa, tetapi bagi pencinta off-road, talaan suspensi ditawarkan pikap ini pada tahap 'biasa' saja.
Selepas memandu uji pikap ini, saya berpendapat ciri-ciri diketengahkan Mitsubishi kali ini adalah terbaik yang sentiasa memahami kehendak pengguna masa kini.
Namun harus ingat, ia perlu bersaing hebat dengan jenama lain yang mungkin jauh lebih hebat. Sama ada anda bersetuju atau tidak, saya syorkan anda semua pandu uji terlebih dahulu.
Leave a Reply