TRICK STAR Racing, selaku pengeluar aksesori prestasi motosikal dan juga pasukan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dari Jepun, baru-baru ini menjalankan ujian dyno dan trek untuk membandingkan dua jentera 250cc terhangat masa kini: Kawasaki Ninja 250 (2018) dan Honda CBR 250RR.
Bertempat di Litar Spa Nishiura, ujian tersebut dibuat bukanlah untuk membandingkan prestasi sebenar kedua-dua jentera. Sebaliknya, bertujuan mengumpul data bagi prototaip terbaharu ekzos prestasi tinggi TRICK STAR untuk Ninja 250 (2018).
Ujian dilakukan cukup menunjukkan prestasi model Kawasaki terbaharu itu berbanding pesaing terdekatnya. Mari lihat hasil kedua-dua ujian di bawah:
UJIAN DYNO
Pertama sekali, ujian dyno dilakukan dengan kedua-dua sportbike itu dilengkapi ekzos asal. Jelas dilihat, kedua-dua jentera cukup standing dengan jurang perbezaan tipis pada rpm rendah hingga sekitar 10,500rpm. Bagaimanapun, Ninja 250 (2018) yang diwakili graf biru mencapai 35.2hp dalam keadaan standard pada sekitar 12,500rpm, perbezaan sebanyak 1.2hp mengatasi CBR 250RR, yang juga standard.
Jika boleh faham bahasa Jepun, video di bawah menerangkan serba sedikit tentang ujian tersebut, tetapi jika tidak faham (macam kami), cukuplah langkau ke minit 0:53 untuk mendengar deruman enjin dan ekzos Ninja 250 (2018) standard.
https://www.youtube.com/watch?time_continue=261&v=kaMjHxkcvaI
UJIAN LITAR
Ujian di litar Spa Nishiura pula, Ninja 250 (2018) dan CBR 250RR dilengkapi ekzos full system IKAZUCHI buatan TRICK STAR dengan sepasang tayar Dunlop α-13 SP.
KEPUTUSAN
- PAGI (arah jam, trek lembap)
CBR 250 RR : 1 minit 00 saat 48
Ninja 250 : 1 minit 01 saat 42 - TENGAH HARI (arah lawan jam, trek kering)
CBR 250 RR : 59 saat 63
Ninja 250 : 1 minit 00 saat 46
Daripada ujian, dapat dilihat CBR 250RR konsisten memberikan catatan masa lebih pantas dengan perbezaan masa cuma 1 saat. Namun, mengambil kira jarak lurus litar Spa Nishiura yang cuma 416 meter, ada kemungkinan panjang trek tidak cukup untuk Ninja 250 menyerlahkan potensi maksimum.
Menurut Takeshiro Yamamoto (juara ARRC 2015) dan jurulatih pasukan, Ryuji Tsuruta, kedua-dua penunggang uji TRICK STAR nyata berpuas hati dengan pencapaian Ninja 250 (2018) selepas mengambil kira keadaan ekzos yang masih dalam bentuk prototaip selain masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dibuat sebelum model akhir. Apakah si Ninja mampu mencatatkan masa lebih baik dengan ekzos yang sudah disempurnakan? Kita tunggu hasilnya nanti.
SUMBER: Young Machine
Leave a Reply