BERITA ini mungkin akan membanggakan kita semua, pelumba tanah air, Hafizh Syahrin disebut sebagai antara calon utama yang bakal menggantikan pelumba Jerman, Jonas Folger untuk pasukan Monster Yamaha Tech 3 dalam kelas MotoGP musim ini.
Jika menjadi kenyataan, Hafizh, 23, adalah pelumba Asia Tenggara pertama yang akan berentap dalam saingan MotoGP paling premium!
BACA >>> Fakta Ringkas Tentang MotoGP yang Perlu Anda Tahu
Folger, 24, ketika ini sedang bergelut dengan masalah kesihatan dan minggu lalu mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk musim ini. Dalam ujian pra musim di Sepang, aksi Folger digantikan pelumba Colombia, Yonny Hernandez. Namun, Hernandez tidak akan menjadi pengganti Folger kerana dia sudah pun menandatangani kontrak dengan Pedercini Kawasaki dalam saingan World Superbike (WorldSBK).
Malah, Ketua Tech 3, Herve Poncharal menegaskan pihaknya tidak akan melanggar kontrak mana-mana pelumba untuk dijadikan pelumba ganti. Hernandez sendiri menyatakan dia hanya berlumba untuk pasukan yang berpangkalan di Perancis itu untuk seminggu saja.
HAFIZH DALAM SENARAI, TETAPI BELUM SAH
Bagaimanapun, situasi Hafizh, yang ditaja Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan menjadi sebahagian daripada projek pembangunan SIC, tidak serumit Hernandez. Merekrut anak muda daripada pasukan Moto2 seliaan bekas pelumba GP, Johan Stigefelt itu adalah lebih mudah.
Poncharal ketika ditemu bual MCN di SIC turut mengesahkan nama Hafizh memang sudah berada dalam senarai pelumba berpotensi, tetapi rundingan masih belum disahkan.
BACA >>> Hafizh Syahrin Si Hero Malaya - Muncul Juara Moto2 Sepanyol
"Buat masa sekarang belum diputuskan kerana ada banyak keutamaan berbeza daripada beberapa rakan kongsi. Mereka ada idea berbeza bergantung sama ada mereka di pihak Atlantic atau sebaliknya. Bagi beberapa pihak Asia, ini sangat penting dan bagi pihak lain tidak begitu.
"Hafizh adalah antara nama baharu yang tiada dalam senarai hingga sekarang, tetapi kini sudah tentu sudah ada dalam senarai. Tetapi percayalah, ia masih terlalu jauh terlaksana. Saya benar-benar letih dengan situasi ini. Kami perlu jaga pengeluar motosikal dan penaja, dan sekarang kontrak yang saya jual kepada mereka (penaja) adalah dengan Johann Zarco dan Jonas Folger. Sebarang perbezaan perlu dibincangkan, dan setiap orang ada idea sendiri dengan saya berada di tengah," jelas Poncharal.
PENGALAMAN JADI SANDARAN
Walapun baru berusia 23 tahun, Hafizh sudah berjuang selama 5 musim dalam kelas pertengahan sejak menyertai kejuaraan MotoGP 2013 dengan rekod terbaik di kedudukan ke-9 pada 2016. Tahun lalu, Hafizh berjaya meraih podium sebanyak dua kali dalam litar basah, iaitu Misano dan Motegi.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Rahsia di Sebalik Nombor Pelumba MotoGP?
Pasukan Tech 3 pula sudah menyertai kejuaraan GP (kini MotoGP) sejak 2001 yang berperanan sebagai pasukan junior kepada Movistar Yamaha MotoGP Team untuk mencari bakat-bakat baru dalam kejuaraan motosikal dunia itu. Musim lalu, pasukan Monster Tech 3 Yamaha menduduki tempat ke-6 menerusi pelumba utamanya, Zarco, manakala pelumba kedua, Folger ditempat ke-10. Kedudukan keseluruhan pasukan sepanjang musim 2017 pula di tempat ke-4.
Apakah Monster Tech 3 Yamaha akan membuka peluang kepada Hafizh?
SUMBER: MCN
Leave a Reply