MODEL segmen-C Hyundai bernama Elantra ini sudah masuk generasi ke-6 dan sejak diperkenalkan ke pasaran pada 1990, jualan keseluruhan Elantra sudah melebihi 10 juta unit. Sedan tersebut, juga dikenali sebagai Lantra dan Avante di negara lain, kali ini tampil berbeza dan anggun.
Proses transformasi besar-besaran itu bermula apabila Hyundai memperkenalkan falsafah rekabentuk 'Arca Bendalir' atau Fluidic Sculpture. Kini Elantra bergaya lebih elegan dengan gril depan heksagon dan lampu siang (DRL) LED, manakala bahagian belakang direka sporty.
BACA >>> #PanduUji: Hyundai Elantra 2.0L dan Sport 1.6L Turbo - Sedan Asia Gaya Eropah
LUARAN: Ringkas & Berkualiti
Versi pandu uji ini adalah varian Executive 2.0L. Sebenarnya, penampilan versi Executive dan Dynamic tidak banyak berbeza. Dynamic diberikan kit badan agresif bersama lampu siang LED. Ciri standard lain diberikan ialah lampu utama projektor halogen automatik, lampu kabus (Executive sahaja) dan rim aloi 17-inci rekaan turbin.
Walaupun penampilan Executive tidak sporty seperti Dynamic, tetapi tetap kelihatan anggun dengan penjimatan wang kira-kira RM4,200. Pemilihan warna badan biru juga mampu menyerlahkan identiti sedan itu di jalan raya.
Kemasan kabin menggunakan material dalaman berkualiti dengan rekabentuk ergonomik. Sudut konsol tengah dihalakan ke arah pemandu yang memudahkan tangan mengakses butang kawalan. Susun atur butang kawalan yang ringkas jelas mesra pengguna dan tidak sukar hendak menyesuaikan diri.
BACA >>> Hyundai Elantra 2017 - Mampukah Cabar Civic, Mazda3, Altis & Sylphy?
Pilihan kabin hitam tidaklah begitu membosankan apabila Hyundai memilih trim merah pada roda stereng, kerusi dan pelapik kaki. Sayangnya kawalan penyaman udara adalah manual berupa dua tombol untuk tetapan kipas penghembus (blower) dan naik-turun suhu
Skrin TFT 7-inci boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay, Andorid Auto dan Bluetooth. Duduk di atas kerusi kulit dan suede memang selesa, dan sesuai untuk sebarang pemanduan jarak jauh.
PRESTASI: Pengendalian Lancar & Bersahaja
Tidak susah menghidupkan enjin, kaki kanan memijak brek, dan tangan pula menekan butang tekan mula (push start). Suara enjin 2.0L MPI berkuasa 149hp dan tork 192Nm terdengar halus. Perjalanan dimulakan dari Shah Alam menuju Banting, Selangor.
Pemanduan pesaing Honda Civic ini cukup selesa dan santai di lebuh raya. Pecutan enjin adalah linear walaupun awal pergerakan berlaku sedikit masalah lengah kuasa. Namun, ketika pedal dianjak sedikit agresif bersedialah mendengar alunan nada enjin yang mengerang hingga menyapa masuk ke dalam kabin.
BACA >>> Honda Civic Type-R Serba Baharu Kini Di Malaysia - Harga RM320K Sahaja!
Paduan kotak gear automatik 6-kelajuan bukanlah satu masalah. Hantaran gear berlaku lancar tanpa sebarang sentakan. Bahagian suspensi menjalankan tugas dengan baik ketika menempuh laluan kampung dengan permukaan jalan tidak rata, berlubang dan beralun. Suspensi yang ditala lembut mampu menyerap cabaran jalan dengan baik, manakala kesan olengan badan dirasakan minimum.
Cuma pengendalian di selekoh masih boleh dipertingkatkan. Selain stereng ringan dan kurang fiil pada tayar, saiz tayar 225/45 dengan rim 17-inci juga kurang memberikan daya cengkaman. Tidak seperti pesaing Jepunnya itu.
Malah, pengendalian Elantra versi turbo jauh lebih baik dengan respons agresif. Cuma versi natural aspirasi (NA) yang sedang dipandu ini agak kurang dinamik (nama pun Executive kan). Apapun, tidak adil jika kita membandingkan Civic dan Elantra walaupun dalam segmen sama. Pastinya pengendalian dan penampilan Civic jauh lebih baik. Sebenarnya ini pun subjektif juga.
SPESIFIKASI
ELANTRA 2.0 EXECUTIVE
ENJIN: Nu 2.0 MPI
SESARAN: 1,999cc
KUASA MAKSIMUM: 149hp @ 6,200rpm
TORK MASKIMUM: 192Nm @ 4,000rpm
TRANSMISI: Automatik 6-kelajuan
CIRI KESELAMATAN: 6 beg udara, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC), Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM), dan lain-lain.
HARGA: RM116,388 (termasuk GST, tanpa insurans)
Leave a Reply