BARU saja kami melaporkan berita tentang Yamaha Lexi, pengedar rasmi jenama itu di Indonesia, Yamaha Indonesia Motor baru tadi melancarkan skuter maksi tersebut dengan siap menampilkan Valentino Rossi dan Maverick Vinales sebagai jemputan khas. Di Malaysia jika mahu memaksa Rossi turun padang, acara itu kenalah dibuat pada musim perlumbaan MotoGP.
Kehadiran Yamaha Lexi, juga dipanggil adik NMAX, dengan ciri moden itu menjadi pelengkap kepada barisan famili Yamaha Maxi lain, antaranya TMAX, XMAX, NMAX dan AEROX155. Dengan konsep 'High-Value Utility Commuter Model', Lexi menawarkan ciri praktikaliti dan penampilan menarik buat pelanggan. Di Indonesia model berkenaan ditawarkan dalam dua pilihan varian: Lexi dan Lexi S.
BACA >>> Yamaha Lexi 125, Skuter Kecil Menyengat yang Bakal Gegar Indonesia
Namun, kemunculan skuter maksi itu ke pasaran Malaysia masih samar. Ataupun maksud tersurat dan straight to the point, dalam mimpi. Jadi, baca dulu 4 perkara tentang Lexi.
1. Banyak Ciri Moden dan Praktikal
Lexi dilengkapkan segudang ciri moden yang mampu membuatkan tunggangan jadi lebih mudah, selesa dan selamat seperti:
- Lampu depan LED lebih terang - sesuai untuk tunggangan siang dan malam.
- Soket elektrik untuk mengecas telefon pintar.
- Tayar tanpa tiub atau tubeless dengan tapak lebar - menjanjikan kestabilan tunggangan maksimum.
- Ruang storan luas - boleh simpan banyak jenis barang.
- Lampu bahaya jika berlaku kecemasan.
Berikut ciri tambahan untuk varian Lexi S:
- Sistem Kunci Pintar - skuter boleh dihidupkan tanpa perlu menggunakan kunci.
- Ciri imobiliser dan Sistem Jawab Semula (Answer Back System) - untuk sekuriti dan keselamatan.
- Suspensi belakang subtank dan sulaman pada pelana.
2. Harga dan Warna
Berdasarkan maklumat laman web Yamaha Indonesia, cuma harga Lexi didedahkan, manakala varian Lexi S dijangka diumumkan kemudian. Apapun, masih tiada harga tepat, hanya terpapar harga cadangan, iaitu bawah Rp20 juta (RM5,800). Lumayan mahal gak, donk?
BACA >>> Yamaha NMAX dengan 2 Warna Baharu - Harga Kekal, Tapi Sampai Kedai Kami Tak Jamin!
Pilihan warna pula ialah putih, merah matte dan kelabu matte, manakala Lexi S menawarkan warna khas: biru matte, kelabu matte dan gangsa.
3. Badan dan Rekabentuk Moden
Lexi memiliki rekabentuk badan dengan ciri khas skuter maksi Yamaha menerusi ruang alas kaki luas dan saiz pelana panjang. Berat juga jauh lebih ringan berbanding adik beradik maksi lain. Lampu depan Grand LED membuat profil Lexi nampak ada kelas. Spidometer dalam versi digital dan informatif.
4. Enjin Baharu Jimat
Yamaha Lexi dipasangkan enjin Blue Core 125cc LC4V dengan teknologi Aktuasi Injap Variabel (Variable Valve Actuation - VVA) yang memberikan kilasan tork seimbang pada setiap putaran enjin. Lexi turut dilengkapi Generator Motor Pintar (Smart Motor Generator - SMG) yang menghasilkan bunyi ringkikan motor lebih halus ketika dihidupkan.
Sistem mula-henti (start-stop) pula menawarkan penjimatan minyak lebih ekonomi. Sistem ini akan mematikan enjin secara automatik apabila motosikal berhenti lebih 5 saat. Cara menghidupkan semula adalah dengan hanya memulas terotel.
SPESIFIKASI
ENJIN: SOHC, 4-lejang, silinder tunggal, penyejukan cecair
TRANSMISI: Automatik V-belt
SISTEM BAHAN API: Suntikan bahan api
SESARAN: 124.7cc
KUASA MAKSIMUM: 8.75kW (11.73hp) @ 8000rpm
TORK MAKSIMUM: 11.3Nm @ 7000rpm
GEREK x LEJANG: 52 x 58.7 mm
SAIZ (Panjang x Lebar x Tinggi): 1,970mm x 720mm x 1,135mm
JARAK RODA: 1350 mm
JARAK KELEGAAN TANAH: 133 mm
TINGGI PELANA: 785 mm
BERAT: 112 kg
KAPASITI TANGKI: 4.2 liter
JENIS FREM: Underbone
SUSPENSI: Fork teleskopik (depan); Unit Swing (belakang)
TAYAR: 90/90-14M/C 46P (depan); 100/90-14M/C 57P (belakang)
BREK: Cakera (depan); Dram (belakang)
darell goh says
malaysia adakah model ini?
darell goh says
bila yamaha lexi boleh masuk ke malaysia?