SELAIN cuba menghasilkan kereta dengan rekabentuk seksi, Mazda kini turut sibuk menghasilkan barisan enjin baharu, dinamakan SkyActiv-X
Enjin Mazda sedia ada, SkyActiv-G (2.0L NA dan 2.5L turbo) sebenarnya sudah pun cukup inovatif menerusi ciri teknologi nisbah mampatan yang tidak sama seperti enjin lain bersaiz sama. Apatah lagi pembeli Eropah hari ini bukan saja peduli tentang hal prestasi, tetapi juga aspek kecekapan bahan api.
Jadi, SkyActiv-X dibangunkan berasaskan enjin petrol penyalaan mampatan supercas. Asas enjin ini agak pelik kerana enjin normal akan menggunakan palam pencucuh untuk menghidupkan sistem penyalaan dalam setiap silinder.
BACA >>> Mazda SkyActiv-X, Enjin Petrol Supercas Baharu Ini Lebih Bersih daripada EV?
Namun jurutera Mazda menemui cara bagaimana proses pembakaran enjin diesel (secara mampatan udara) dapat diguna pakai dalam teknologi enjin petrol. Hasilnya adalah enjin yang dapat saling beralih daripada penyalaan cucuh (spark ignition) kepada penyalaan mampatan (compression ignition). Jadi enjin petrol baharu Mazda bukan saja lebih bersih tetapi turut menawarkan penjimatan bahan api setanding enjin diesel.
Penyalaan mampatan kerap berlaku dalam rev rendah yang mana keperluan memecut pantas tidak diperlukan. Semasa proses ini, campuran bahan api adalah kurang supaya enjin dapat bekerja secara efisien. Apabila pecutan agresif diperlukan, penyalaan cucuh akan mengambil alih dengan lancar.
MAHUKAN FIIL ENJIN SEBENAR, BUKAN ARTIFISIAL
Menurut, jurutera trenkuasa Mazda, Jay Chen berkata, enjin kereta ialah kawasan teras untuk mengenal pasti bagaimanakah cara terbaik menghasilkan prestasi yang terbaik untuk kombinasi kecekapan sesebuah kenderaan.
"Kami mahu hasilkan enjin yang ada fiil bagi produk sempurna berbanding fiil yang artifisial," katanya.
Kata-kata Chen itu menjelas sebab kenapa Mazda tidak menggunakan teknologi henti-mula (stop-start) di Amerika Utara untuk meningkatkan kecekapan bahan api. Ini kerana Mazda mahu menumpukan kepada pembangunan enjin yang benar-benar menjimatkan tanpa bergantung kepada teknologi luar enjin (seperti henti-mula) yang hanya menjejaskan dinamik pemanduan.
BACA >>> Mazda SkyActiv Generasi ke-2 - Enjin Tanpa Palam Pencucuh, Mampu Pergi 30km/liter
Pengenalan SkyActiv-X kelak menurut Chen, akan menjadi penanda aras baru bagi enjin dengan penjimatan bahan api terbaik. Namun, pembangunan masih diteruskan bagi memastikan enjin yang dihasilkan dapat menyerlahkan potensi sebenar dan lebih baik berbanding enjin sedia ada.
SkyActiv-X dijangka siap dua tahun dari sekarang dan bakal dimuatkan pada Mazda3 generasi baharu. Ramai pemerhati dan peminat automotif mengakui teruja dengan perkembangan dan obsesi ditunjukkan Mazda itu.
SUMBER: AutoGuide
Leave a Reply