NAMPAK gayanya kehadiran model SUV pertama Proton, Boyue semakin hampir apabila kelihatan beberapa foto spyshot tersebar di laman-laman sosial.
Terbaharu, kami menerima foto spyshot daripada Joe dan Afiq yang terserempak dengan unit ujian Proton Boyue (jika Proton guna nama sama) di beberapa lokasi berbeza. Berdasarkan maklumat diberikan oleh Joe dan Afiq, foto spyshot itu diambil di sekitar kawasan Kelantan, Melaka serta Johor Bahru.
Wah, boleh tahan jauh juga jurutera-jurutera Proton buat ujian. Walaupun ia kemungkinan hanyalah diambil sebagai model rebadged daripada Geely, namun jurutera Proton tetap mahu berikan terbaik buat semua rakyat Malaysia yang mahukan SUV paling mampu milik.
2 PILIHAN ENJIN
Sebagai makluman, di China, Boyue ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.8L Turbo dan 2.0L aspirasi natural (NA). Enjin 1.8L Turbo mampu menghasilkan kuasa 181hp pada 5,500rpm dan tork 285Nm (1,500-5,500rpm), manakala enjin 2.0L NA pula berkuasa 139hp (6,000rpm) dan tork 178Nm (4,000 - 4,500rpm).
BERAPA HARGA?
Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang maklumat tentang spesifikasi enjin yang bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia kelak. Begitu juga dengan harga, semuanya masih lagi menjadi tanda tanya? Begitu juga harga jualan.
Tetapi berdasarkan maklumat kami terima, tahap pengendalian Boyue akan ditala oleh Proton. Begitu juga dengan penggunaan casis, sama seperti model-model Proton sedia ada.
Sebelum ini, kami dan rakan media lain dari Malaysia menjadi antara kumpulan terawal berpeluang memandu uji Boyue di China. Secara peribadi, kami berpendapat pemilihan Boyue paling tepat kerana SUV itu adalah antara model terlaris Geely.
BACA >>> #PanduUji: Mampukah Geely Boyue Diterima Rakyat Malaysia? Ini Jawapan Kami...
KUALITI? TAK 'CIKAI' KE?
Anda harus tahu, kereta China dahulu bukan lagi sekarang. Kualiti produk dan pemasangan kereta China kini sudah berada pada satu tahap membanggakan. Tidak perlu cakap banyak. Anda hanya perlu duduk dan rasai sendiri kualiti pada Boyue. Aksesori dan produk diguna pakai cukup berkualiti.
Contoh kereta China lain yang anda boleh rasai ialah jenama Haval. Saya minta anda yang belum pernah menaiki kereta buatan China, pergi pandu uji kereta Haval sekarang.
Ya saya faham. Bukan mudah untuk mengubah persepsi seseorang mengenai jenama buatan China. Dari dulu lagi kita sentiasa dihidangkan dengan pelbagai persepsi buruk mengenai kualiti produk buatan China. Tetapi percayalah, produk buatan China sekarang sudah berbeza. Logiknya, tidak mungkinlah Proton masih sanggup lagi mahu jual kereta tidak berkualiti?
Satu lagi persoalan, kenapa anda boleh menerima telefon pintar iPhone, tetapi tidak untuk kereta buatan China? Tepuk dada, tanya selera.
Leave a Reply