TIDAK lama lagi kita akan menyambut 2020 - tahun yang mana jika mengikut imaginasi mereka yang hidup sekitar era 80-an, tiada lagi jalan raya (bertol) dan semua kenderaan boleh terbang.
Baiklah, mungkin impian itu sukar tercapai, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. Namun, dengan kenderaan masa kini yang rata-rata dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pengendalian dalam segala terma jargon tiga huruf (ABS, EBD, TCS, dll), timbul satu persoalan;
Kenapa brek dram masih lagi digunakan secara meluas?"
TEKNOLOGI 100 TAHUN
Brek dram adalah antara teknologi tertua dalam sejarah automotif yang pertama kali digunakan pada kereta buatan Maybach pada 1900. Hingga ke hari ini, tetap ada saja banyak kereta dan motosikal atau kenderaan lain masih dilengkapi brek dram.
Prinsip aplikasi brek dram cukup mudah. Menggunakan kasut brek (brake shoes) dalam dram yang terbina dalam roda kenderaan, pembrekan berlaku apabila mekanisma spring menolak kasut brek rapat ke dram untuk memperlahankan putaran roda. Bayangkan kanak-kanak bermain basikal lajak cuba menghentikan basikal mereka itu, lebih kurang macam itulah.
BACA >>> Bagaimanakah Cara Membrek Motosikal dengan Betul?
Seiring peredaran zaman, pembrekan menggunakan kasut brek ini tidak lagi begitu efektif. Lebih-lebih lagi dengan peningkatan kuasa kenderaan. Mekanisme brek yang terperangkap di dalam dram tanpa aliran udara penyejuk memudahkan komponen dram panas dan mengembang, lantas mengurangkan prestasi pembrekan apabila semakin lama digunakan (digelar susut brek atau brake fading).
Selain prestasi pembrekan, penyenggaraan brek dram juga rumit melibatkan pelbagai komponen terbina dalam. Inilah antara sebab tercetusnya ciptaan brek cakera yang diperkenalkan sekitar era 1960-an bagi menggantikan fungsi brek dram.
KENAPA BREK DRAM MASIH DIGUNAKAN?
Walaupun dianggap teknologi berstatus 'dinosaur' dalam industri automotif, brek dram ada banyak kelebihan yang tidak mudah sewenangnya diganti brek cakera. Kelebihan brek dram itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian: KOS dan KESELAMATAN.
KOS
- Komponen brek dram lebih mudah dihasilkan. Jadi, secara relatif, lebih murah.
- Proses pembrekan lebih banyak melibatkan roda depan disebabkan inersia dan agihan berat, manakala brek belakang lebih kepada pengstabilan. Jadi asasnya, brek cakera di depan dan brek dram di belakang sudah mencukupi.
- Aplikasi brek parkir, atau brek tangan lebih mudah dan murah dengan menggunakan brek dram berbanding brek cakera. Malah, kenderaan dengan brek cakera di belakang turut dilengkapi brek dram sebagai brek parkir. (Dua set brek belakang, lebih tinggi kos).
- Tempoh sela senggaraan brek dram adalah lebih panjang berbanding brek cakera kerana struktur permukaan geseran (kasut brek) lebih besar dan ia lebih tahan lama.
KESELAMATAN
- Tidak seperti brek cakera yang mudah mengunci roda apabila tekanan kuat dikenakan, brek dram pula bertindak secara progresif walaupun dipaksa dalam saat kecemasan. Inilah sebab brek dram lebih sesuai digunakan pada kenderaan berkuasa rendah seperti kapcai atau skuter, lebih-lebih lagi jika tidak dilengkapi ciri ABS (Sistem Brek Anti-Kunci).
KESIMPULAN
Bak kata pepatah Inggeris, "If it ain't broke, don't fix it". Walaupun teknologi semakin berkembang pesat, teknologi brek dram masih terbukti sebagai penyelesaian yang boleh diharapkan. Secara jujur, rekabentuk komponen tua itu tidaklah gah seperti brek cakera yang kerap digunakan kenderaan berprestasi tinggi hari ini sama ada motosikal atau kereta. Tetapi sekurang-kurangnya tetap praktikal.
Apakah motosikal atau kereta anda datang dengan brek dram? Apakah anda tidak berpuas hati dengan prestasi brek jentera anda? Kongsikan di ruangan komen.
asri says
ya, sangat tidak puas hati jika brek belakang jenis drum. sangat beza semasa brek selain itu kereta pun jadi kurang cantik.