HARI litar @ trackday itu menarik! Selalunya dek terlalu teruja ke trackday esok hari, pasti malam itu tidur pun tidak berapa lena. Asyik terbayang kenikmatan memulas terotel jentera kesayangan atas jalan rata dan lancar serta permukaan aspal yang mencengkam. Keseronokan yang bakal dirasai memang tiada tolok bandingnya dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Bergantung penganjur, bayaran pendaftaran trackday adalah sekitar RM260 - RM350, lazimnya dikenakan kepada penunggang yang berniat untuk menguji jentera masing-masing di litar lumba. Setiap sesi pula akan diberikan tempoh masa sekitar 3 jam. Sesetengah penganjur akan mengasingkan penunggang mengikut kumpulan berdasarkan jumlah yang mendaftar.
BACA >>> Teringin Tunggang 'Motor Besar'? Fikir Dahulu Tentang 5 Kesilapan Tipikal Ini
Contohnya, jika ada 60 penunggang pada sesi tersebut, mereka akan dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan pula akan diberikan masa lebih kurang 1 jam untuk masuk ke litar. Agak tidak rasional kalau 60 orang dilepaskan serentak masuk trek. Bayangkan satu corner sudah separuh rider berebut nak meleper, mahu suku rider lain dah terbaring tepi trek meratap penuh kesayuan. First corner dah tergolek la braderrr...
Walaupun persekitaran trackday yang terkawal dapat meminimumkan risiko diambil penunggang, masih ada tatacara keselamatan dan tip yang perlu diketahui agar pengalaman trackday brader kekal selamat dan indah dalam memori. Jangan sampai terbabas masuk perangkap kerikil (gravel traps) atau menghentam perangkap tayar (tyre traps) tepi trek. Jangan sampai tergolek dan jangan cakap abang tak payung. Ingat!
1. PERSEDIAAN AWAL JENTERA
Perkara terakhir yang mesti dielakkan sudah semestinya jentera yang lemau atau gagal berfungsi dengan baik. Dari sekecil-kecil komponen motosikal yang berpotensi longgar atau jatuh, rantai terlucut daripada sproket, hinggalah pad brek haus, semua situasi itu bakal mengundang kekecewaan dan melunturkan semangat kita.
Justeru, buatlah persediaan terbaik seperti menyenggara motosikal, menukar minyak enjin dan memeriksa komponen asas sebelum tiba trackday. Pastikan juga tekanan tayar dalam kondisi optimum sebelum berentap dalam trek dengan mengambil kira keadaan suhu dan cuaca.
Jangan 'hentak' tekanan yang tinggi dan ikut suka untuk tayar, terutama cuaca panas. Semakin banyak pusingan lap dibuat terus menerus, maka tekanan tayar semakin meninggi. Cengkaman tayar adalah optimum pada tekanan yang tidak terlalu tinggi. Jika boleh, gunakan juga kompaun tayar yang sesuai untuk trackday.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu 'Chicken Strips'? Pantang Besar Buat Si Hati Kering!
2. PERSEDIAAN AWAL INDIVIDU
Stamina dan kecergasan juga penting untuk menunggang jentera secara agresif. Melainkan brader turun trackday sekadar mahu makan angin, menjual aiskrim ataupun mencari rumah sewa di litar tersebut, maka tidak perlulah semua ini.
Tetapi haruslah diingat, persekitaran atas trek ada tempo halaju atau pace yang disyorkan atau sudah jadi sesuatu yang common sense supaya kita tidak membahayakan penunggang lain ketika beraksi. Pendek kata, terlalu perlahan juga bahaya! Apa benda turun trackday bawa 80kmj serupa usung makwe.
Oleh yang demikian, tahap kecergasan perlu dititikberatkan untuk memastikan kita tidak pancit. Menunggang secara agresif selama sejam dengan sut lumba dalam cuaca panas sudah cukup memberikan kepuasan dan pada masa sama meletihkan jiwa dan raga. Umpama menjalani rawatan sauna dalam kelajuan tinggi.
Ketika ini, tahap dehidrasi setiap pelumba adalah tinggi. Jadi bersiap sedialah botol air. Ikut suka hatilah air apa pun. Ribena ke, teh tarik ke atau apa saja. Asalkan jangan bungkus ikat tepi dan gantung kat hujung grip terotel tu. Kang abang nampak, geram pula nak minum.
BACA >>> #ApaNakBuat: 7 Tip Senggara Rantai Motosikal yang Perlu Anda Ikut
Selain itu, persediaan skil juga penting sebelum turun trackday. Setidak-tidaknya biasakanlah diri dengan motor sendiri. Tak kenal maka tak cinta, maka bercintalah dahulu dengan jentera kesayangan brader supaya masing-masing dapat bergandingan mantap till jannah di atas trek.
3. KESELAMATAN ATAS TREK
Sebelum memulas terotel bak pelumba MotoGP, lakukanlah warm up lap untuk memanaskan tayar kalau kita tiada gajet pemanas tayar seperti pasukan lumba yang ditaja. Tayar pada suhu optimum dapat memberikan prestasi dan keselamatan terbaik kepada penunggang.
Atas trek, penunggang belakang perlu peka dengan penunggang depan. Ini termasuk mengesan (scanning) pergerakan dan garis perlumbaan (racing line) penunggang depan. Ini kerana, racing line sesetengah penunggang novis yang tidak sedar diri dan sangat ke laut kadangkala membahayakan diri kita yang sedang istiqamah memecut laju. Kalau kita yang ke laut, kitalah yang jadi ancaman kepada penunggang lain. Jangan sampai kena aim tak puas hati dengan brader-brader lain. Hati-hati!
Sungguhpun begitu, trackday bukanlah pertunjukan sarkas bagi penunggang otai mempamerkan aksi wheelie, wikang (stoppie), Superman, Katakman, berdiri atas motor ataupun menukar gear di kaki menggunakan tangan atau lidah.
Sementara itu, penunggang novis dan otai jalanan yang masih baru turun trackday pula, kita disarankan belajar dulu racing line sesuatu litar sebelum jentera dihenjut. Ingat, masa pantas bukan hanya terhasil daripada jentera power dan penunggang yang mantap semata-mata, racing line turut memainkan peranan penting.
Penunggang novis juga perlu mengalah dengan memberi laluan kepada penunggang lain. Belajar dan biasakan dengan racing line novis terlebih dahulu sebelum maju ke tahap racing line pelumba. Buat penunggang novis, pengalaman 'disayur' di selekoh itu biasa, dan terkejut sampai berderau darah sebab dipancung di selekoh pun biasa. Sesetengah penunggang sampai nekad tanggalkan cermin sisi demi mengelakkan diri terkejut dipotong 'hantu' dari belakang, sekali gus terjerumus ke lembah kehinaan.
4. PERSEDIAAN UNDANG-UNDANG TREK
Jika diamati undang-undang sebenar ketika berlumba di litar, agak banyak yang perlu dipelajari, termasuk memiliki lesen khas berlumba. Di sini, cukuplah abang berikan tip penting untuk menyertai trackday saja. Kebanyakan undang-undang litar juga direka demi menitikberatkan aspek keselamatan.
Jadi, dengar dengan teliti taklimat penganjur. Taklimat itu kebiasaannya ada menyebut maklumat penting sebelum setiap sesi lumba dimulakan. Jangan pula abang trek tengah bercakap, brader pula baik punya bersembang dengan kawan sebelah pasal nak pekena cendol lepas trackday. Sabar dulu braderrr...
Syarat menyertai trackday, brader wajib memiliki set lengkap sut lumba. Ini termasuk helmet, sarung tangan, sut dan juga sepasang kasut lumba. Jangan memandai nak sarung kasut futsal, terompah, capal dan apatah lagi selipar Tat Seng, tak boleh brader. No no no!
BACA >>> #TahukahAnda: Ketahui 6 Tip Menunggang Motosikal Ketika Musim Hujan
Sebagai pelumba yang bakal mengharumkan nama kampung masing-masing, antara perkara pertama yang perlu dititikberatkan setiap penunggang adalah kepekaan terhadap amaran bendera kuning atau merah, dan bersedia masuk semula ke pit sekiranya diarahkan. Tiada kaedah main hentam dalam trackday, harap maklum. Ini bukan lumba estet, lumba belakang kilang ataupun lumba drag kat lampu isyarat di tengah ibu kota sana.
Selain amaran bendera, penunggang perlu mempunyai etika untuk tidak berhenti sesuka hati di tepi trek mahupun di mana-mana selekoh yang dirasakan sesuai sama ada untuk menyapa, berborak, main dam ataupun menganjing rakan penunggang lain. Berhenti tengok kerosakan motosikal pun dilarang sama sekali. Jika ada sebarang kerosakan, kita disarankan masuk terus ke pit kalau motosikal masih dapat bergerak.
Akhir kata jadilah pelumba trackday yang dapat diramal. Tidaklah jalan straight tetiba brader boleh pula buat corner baring, ataupun masa nak corner, brader baik punya wheelie sambil angkat kaki. Jangan brader, kang trackday habis, kepala tu abang hentak spanar. Ya, salammm...
Leave a Reply