YAMAHA dilaporkan membeli paten motosikal roda tiga daripada sebuah syarikat di Norway, Brudeli Tech Holdings (BTH). Pengeluar motosikal dari Jepun itu membeli paten roda tiga condong (leaning three-wheelers) Brudeli 654L dan 625L.
BTH ditubuhkan sekitar 2001 dan mula mempamerkan jentera konsep buatannya pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2005 di Itali. Ketika itu pasaran baru bagi motosikal dua roda depan miring masih belum berkembang seperti sekarang.
Namun, pelancaran model tiga roda condong, Yamaha Niken, dan pembelian satu lagi paten jentera sama, Yamaha nampaknya serius mahu membangunkan segmen motosikal tersebut.
BACA >>> Yamaha Lancar Niken - Si Tiga Roda yang Mampu 'Corner Baring'
"Ini satu penghormatan apabila Yamaha memilih teknologi yang kami bangunkan. Dengan keupayaan, pengetahuan dan semangat Yamaha, kami begitu teruja menantikan produk masa depan mereka," kata pereka dan pemilik BTH, Geir Brudeli.
SUDUT MIRING 45°
Seperti Yamaha Niken, motosikal tiga roda condong BTH membolehkan penunggang mendapatkan sudut miring 45° di selekoh dengan tahap pengendalian yang lebih baik berbanding motosikal biasa. Produk pertama BTH, 654L dibina berasaskan jentera KTM 690 Supermoto dengan mengekalkan bahagian enjin, transmisi, lengan ayun, roda belakang, kerusi dan lampu utama.
Suspensi BTH menggunakan 100 peratus mekanikal yang dibangunkan untuk meningkatkan pengalaman bermotosikal. Sejak 2010, sebahagian besar teras perniagaan BTH adalah sebagai konsultan rekabentuk mekanikal dan mekatronik kepada pembekal sistem automotif.
Model 625L dan 654L mengambil masa hampir sedekad disiapkan dengan menggunakan kepakaran seorang pekerja tetap, iaitu Geir Brudeli. Syarikat itu bekerjasama dengan jaringan pakar dan pembekal yang menyumbang dalam sistem penghantaran.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Teknologi 'Yamaha Blue Core'?
Jadi, apabila Yamaha mula menunjukkan minat dengan produk BTH, ini bermaksud evolusi baru dunia motosikal, melibatkan roda tiga bakal bermula. Pembelian paten berkenaan mengukuhkan lagi perancangan masa depan Yamaha dalam pasaran baru tersebut.
Leave a Reply