HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan pra tayang Yamaha X-Max 250 untuk pasaran tempatan. Harap bersabar, abang, kakak dan adik skuter sekalian perlu menunggu hingga Mac nanti sebelum model itu dibenarkan berada di negara tercinta ini.
Jadi, buat masa sekarang, HLYM memutuskan untuk tidak mengumumkan harga X-Max 250. Menurut HLYM, harga skuter itu adalah di bawah RM25,000. Amacam, ada minat?
Jangan cakap banyak, kita baca dulu 5 fakta pantas tentang Yamaha X-Max 250:
1. ENJIN BERKUASA
Sebagai skuter kelas menengah atas, X-Max 250 didatangkan dengan enjin 4-lejang 249cc SOHC penyejukan cecair berkuasa 20hp pada 7,500 rpm dan tork 21Nm (6,000rpm), manakala hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan sistem transmisi V-Belt Automatik.
2. DIMENSI
X-Max 250 memiliki dimensi panjang (2160mm), lebar (790mm) dan tinggi (1385mm). Tinggi pelana 785mm agak tinggi, manakala kapasiti tangki minyak pula 13.2 liter dengan berat jentera 182kg. Jarak kelegaan tanah cukup baik dan tinggi, iaitu 125mm yang pasti memudahkan skuter Yamaha ini meredah sebarang bonggol dan laluan tidak rata.
3. SUSPENSI
Bahagian suspensi menggunakan fork teleskopik bersama travel 110mm di depan, dan dua unit absorber spring bersama travel 84mm (belakang). Tugas membrek diserahkan kepada cakera tunggal 267mm (depan) dan 240mm (belakang) berserta ciri Sistem Keselamatan Anti-Kunci (ABS).
Dinamik tunggangan dan keyakinan membelok dibantu tayar depan bersaiz 120/70 R15 dan tayar belakang bersaiz 140/70 R14.
4. PENAMPILAN
Skuter berbadan besar itu dilengkapi dua unit lampu depan LED dan dipadankan visor pengadang angin untuk keselesaan tunggangan jauh. Bahagian sisi terhidang ekzos besar dan ada pula ruang simpananc ukup luas yang mampu menampung dua helmet .
Tidak ketinggalan, soket mengecas atas papan pemuka. Seksyen belakang pula tersedia lampu henti gaya ramping, ditarik sepanjang sisi badan hingga belakang yang memberikan imej sporty. Secara keseluruhan, penampilan luaran X-Max 250 tampak bergaya sporty dan elegan ala skuter Eropah.
Bahagian instrumen mengadunkan paduan panel digital dan analog yang dibahagikan kepada tiga kluster. Kiri dan kanan ialah panel analog, manakala tengah adalah panel digital.
5. CIRI KESELAMATAN
Selain rekabentuk elegan dan menarik, X-Max 250 turut dilengkapkan ciri keselamatan tertinggi. Selain ABS, skuter itu dipasangkan fungsi immobiliser dan kawalan jauh menerusi kunci pintar, dipanggil Sistem Smart Key Keyless Ignition.
Leave a Reply