TIDAK mengambil masa lama, KTM Malaysia CKD menerusi pengedarnya, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd mempertaruhkan dua lagi motosikal terbaharunya, Duke 250 dan RC250. Secara tidak langsung, pengenalan kedua-dua varian baharu ini melengkapkan lagi barisan ahli keluarga Duke dan RC.
HARGA:
- KTM Duke 250 - RM17,888
- KTM RC250 - RM18,888
Sudah pasti pengenalan dua model baharu ini menggembirakan peminat motosikal terutamanya mereka yang baru mula menjinakkan diri dalam dunia motosikal berkuasa tinggi.
PRESTASI:
Kedua-dua model baharu ini dijana unit enjin yang sama iaitu 248,8cc silinder tunggal 4-lejang. Ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 31hp pada 9,000rpm dan tork 24Nm (7,250rpm).
Dari aspek rekabentuk, kedua-duanya masih mengekalkan paras rupa yang sama seperti Duke 200 dan RC200. Cuma perbezaan ketara adalah pelekat pada sosok badannya.
Bagi varian RC, ia mempunyai tarikan tersendiri yang dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk memilikinya. Lebih tampak menarik, lampu hadapan halogen berkembar sengaja dibiarkan separuh tersembunyi.
Lampu isyarat membelok pula digabungkan pada cermin sisi dan kerusi belakang yang tidak kelihatan sehingga menampakkan satu kerusi sahaja bagi menyerlahkan imej perlumbaan. Begitu juga lampu belakang yang hadir dengan rekaan menarik.
PERSOALAN:
Difahamkan pihak KTM Malaysia CKD masih menjual varian Duke 200 dan RC200 seperti sedia kala.
Persoalannya, apakah nasib yang akan terjadi pada model Duke 200 dan RC200 apabila dua varian baharu ini diperkenalkan? Adakah ia masih kekal relevan atau sebaliknya? Maklumlah harga beza tidak banyak. Hanya berbeza sekitar RM2,000.
Apa-apapun, lihat dan tunggang uji dulu dua model baharu ini, Kemudian buat perbandingan dan buatlah pertimbangan bijak. Selamat memilih dan tunggang dengan selamat !!!
Leave a Reply