APABILA tiba masa untuk beli kereta baharu, antara kriteria yang paling kerap diberikan keutamaan ramai pembeli ialah harga dan prestasi. Di Malaysia, ada satu kriteria penting lain, antaranya nilai jual semula (resale value) ataupun harga di pasaran terpakai.
Jadi, apakah kereta yang sempurna untuk dibeli?
Faktanya, tidak wujud kereta yang betul-betul sempurna walaupun anda seorang hartawan yang perlu membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah kereta. Bezanya, orang biasa-biasa perlu sentiasa mengambil peduli tentang setiap ringgit yang dibelanjakan. Orang kaya pula tidak kisah sangat dengan wang ringgit yang dileburkan walaupun jika diimbal balik, kereta orang biasa sebenarnya antara kenderaan paling reliabel.
Kami akan bantu anda memilih kereta yang padan dan sempurna dengan gaya hidup dan keperluan anda.
1. STATUS DIRI
Adakah anda seorang bujang dan tidak merancang berkahwin dalam masa terdekat? Apakah anda pasangan baru berkahwin? Adakah anda pasangan dengan dua anak kecil, ataupun famili besar bersama 4-5 anak? Semua jawapan kepada soalan diberikan akan menentukan jenis kenderaan yang patut anda beli.
Purata pemilikan kereta di kalangan rakyat Malaysia ialah 1-2 unit, dan biasanya kereta yang dibeli ialah mengikut keperluan diri dan keluarga. Bagi famili kecil, sebuah kereta subkompak dan kompak sudah cukup memberikan keselesaan. Jika anda si bujang, mungkin tiada masalah mencuba memiliki kereta dua pintu.
2. KEPERLUAN
Adakah anda selalu pergi bercuti setiap hujung minggu, ataupun memandu setiap hari ke tempat kerja? Adakah tugasan itu perlu berdepan dengan jalan-jalan kotor dan berlumpur? Jawapan kepada soalan di atas pula akan mengecilkan skop segmen kenderaan sama ada jenis sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV), hatchback, kereta sport, 4x4 atau lain-lain.
Jika anda perlu memandu setiap hari ke tempat kerja yang agak jauh, kereta dengan penjimatan bahan api tinggi berbaloi dibeli. Mungkin juga model hibrid boleh dijadikan pilihan. Jika kerja anda jenis lasak dan ekstrem, anda perlu dapatkan sebuah kenderaan 4x4 atau pacuan empat roda (4WD). Sekiranya kereta yang sama juga mahu dijadikan kereta famili, anda mungkin perlukan sebuah SUV dengan ciri pacuan semua roda (AWD) yang mampu memberikan lebih keselesaan kepada keluarga.
Jika sekadar kenderaan untuk pergi berkelah atau bercuti (biasanya kereta kedua), anda boleh pilih MPV atau SUV dengan ruang penumpang dan kargo luas. Boleh juga siap sedia dengan kotak kargo bumbung untuk ekstra simpanan.
3. HARGA
Ini faktor paling kritikal dan paling utama. Sesetengah pembeli langsung mengabaikan dua kriteria di atas selepas berdepan kekangan kewangan. Sebenarnya, penyelesaiannya tetap ada jika anda membuka hati untuk membeli kereta terpakai. Ini secara tidak langsung memberikan anda lebih banyak pilihan kereta.
Membeli kereta terpakai memang sentiasa ada risiko, tetapi anda boleh meminimumkan risiko itu dengan mengikuti tip yang pernah kami kongsikan di SINI. Lebih bijak membeli kereta terpakai yang memenuhi kriteria keperluan dan status anda berbanding memiliki kereta baharu yang kurang praktikal. Misalnya, membeli sedan kecil atau hatchback untuk membawa 5 orang dewasa. Kasihan orang belakang kena berhimpit.
4. ALAT GANTI DAN SERVIS
Adakah kos alat ganti dan servis kereta anda mahal? Jika kereta baharu, anda boleh minta kepada jurujual supaya menyediakan senarai harga alat ganti dan servis. Lagi kelebihan kereta baharu, banyak pengeluar masa kini sudah siap menawarkan servis percuma dalam perbatuan tertentu. Sesetengahnya menawarkan jaminan alat ganti utama seperti enjin dan kotak gear mengikut tempoh tahun tanpa had perbatuan. Memang berbaloi dibeli, terutama jika anda memerlukan kenderaan yang perlu dipandu jarak jauh.
BACA >>> #TahukahAnda: Tidak Perlu Gelabah Kereta Rosak, Insurans Memang Sediakan Servis Tunda Kenderaan
Jika kereta terpakai, anda boleh selidik harga alat ganti di bengkel dan kedai alat ganti. Cuba tanya harga alat ganti asas seperti pad brek, minyak pelincir (enjin, brek, gear), dan set tali sawat (timing belt), termasuk tayar.
5. CIRI KESELAMATAN
Keselamatan juga perlu diambil kira dan lebih baik memilih model yang menawarkan ciri keselamatan terbaik mengikut bajet anda. Kebanyakan model standard hari ini sudah dilengkapkan dengan ciri beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC). Lebih banyak beg udara, lebih bagus. Begitu juga ciri keselamatan tambahan lain.
Lihat juga rating keselamatan yang dicapai sesebuah model itu. Sesetengah jenama mendapat rating rendah walaupun memiliki ciri keselamatan standard. Ambil masa buat kajian dan pemerhatian.
6. PENGGUNAAN BAHAN API
Inipun faktor kritikal dalam memilih kereta. Antara propaganda paling banyak tersebar ialah kereta Jepun paling jimat dan fakta itu mungkin benar jika kereta itu dibeli atau keluaran lebih sedekad lalu. Tetapi, kebanyakan pengeluar masa kini sudah menawarkan kualiti enjin yang mampu menawarkan penjimatan bahan api tinggi.
Cara paling mudah ialah bertanya sendiri kepada pemilik kereta idaman anda itu. Pertanyaan paling kerap diajukan, berapa jauh boleh pergi dengan isian tangki penuh, dan berapa ringgit jika mengisi penuh. Itu memang soalan yang betul. Tetapi ramai terlupa, selain dua soalan tersebut, anda sepatutnya bersedia dengan maklumat tentang berapa liter kapasiti tangki.
Sesetengah kereta buat anda jadi gerun mendengarnya apabila si tuan kereta memaklumkan jumlah 'RM besar' yang perlu dibayar untuk isian penuh. Tetapi, 'RM besar' itu datang dengan kapasiti tangki yang juga besar. Model lain yang dikatakan jimat itu pula tangkinya kecil, sebab itulah lebih murah isian.
Jadi, anda perlu ambil masa lebih lama untuk mengkaji dan mengetahui jumlah sebenar penggunaan bahan api. Ada dua cara, iaitu secara teori dan praktikal. Teorinya, baca spesifikasi dinyatakan pengeluar atau bertanya kepada pemilik. Praktikalnya, laburkan duit untuk sewa kereta idaman anda selama seminggu untuk uji tahap kecekapan bahan api (baca: SINI).
7. TRIM & AKSESORI
Pilihan trim dan aksesori juga boleh dipertimbangkan. Siapa yang tidak terpesona dengan aneka opsyen trim dan aksesori yang ditawarkan. Nampak ranggi, trendy dan bergaya.
Tetapi soalan utama yang perlu dijawab, adakah anda benar-benar memerlukannya?
Kita boleh samakan keperluan trim dan aksesori kereta dengan spesifikasi telefon pintar. Walaupun anda seronok dan berbangga membeli telefon mahal, tetapi aplikasi digunakan tetap asas saja seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram serta pelayar (browser). Anda pula cuma orang biasa-biasa dan bukan selebriti atau broker saham yang memerlukan kamera super cantik dan cip pemproses paling pantas.
BACA >>> Apple CarPlay [SIRI 1/2]: Ketahui Sejarah Aplikasi Bebas Tangan
Kalau kereta, adakah perbezaan antara kerusi kulit dan fabrik? Ataupun rim yang lebih seinci? Ataupun set infotainment yang lengkap serba serbi sedangkan anda sendiri cuma mendengar radio biasa dan gunakan aplikasi Waze setiap kali memandu.
Ada orang kata tidak salah bayar lebih dan dapat lebih, tetapi jika anda peduli dengan setiap sen yang dilaburkan, memang salah bayar lebih. Anda mungkin cakap, cuma tambah RM50/bulan saja, tetapi sebenarnya anda sudah melepaskan ekstra RM600 setahun yang boleh digunakan sebagai kos servis, insurans, atau beli rim baharu. Nampak perbezaannya?
8. WARANTI
Prinsip asas, lebih lama waranti ialah lebih bagus. Tetapi jangan lupa periksa terma yang dinyatakan. Ada syarat yang perlu diikuti supaya waranti kekal sah, misalnya kereta perlu disenggara di pusat servis rasmi dan ada had jangka masa tertentu perlu dipatuhi supaya pengguna tidak sesuka hati melewatkan tempoh servis.
BACA >>> Program TC Warranty Plus Tawar Waranti Lanjutan - Pemilik Nissan Wajib Baca!
Sesetengah pengeluar, pengedar atau pusat servis ada menawarkan waranti lanjutan. Tidak salah pun anda membayar lebih asalkan anda faham terma dan syarat diberikan. Jangan lupa pula simpan dokumen, resit atau sijil yang berkaitan sebagai rujukan dan bukti.
9. PANDU UJI
Sudah tentu perlu dilakukan. Apabila anda sudah memenuhi semua kriteria di atas, pergilah ke bilik pameran dan pandu ujilah kereta idaman anda itu. Mahu lebih adil, jangan lupa pandu uji pula pesaing terdekat kereta idaman anda itu untuk dapatkan perbandingan.
Semasa memandu, cubalah mengambil selekoh tajam, membrek mengejut, dan memecut mendadak sama ada dalam kedudukan pegun atau ketika sedang memandu (untuk rasakan kilasan tork, anjakan transmisi dan hantaran kuasa). Lihat pula kualiti pemasangan, jenis material dan tawaran diskaun jika ada.
BACA >>> #PanduUji: Perodua Myvi (2018) Baharu Sedap Dipandu, Tapi...
Anda boleh cuba pandu uji 3 atau 4 jenis model mengikut senarai kriteria yang anda tetapkan berdasarkan tip di atas. Bulatkan hati dan tetapkan pendirian. Sekarang anda sudah bersedia memiliki kereta yang benar-benar diperlukan dari segi bajet dan keperluan. 😀
Leave a Reply