AKHIRNYA motosikal 2-lejang popular Malaysia, Yamaha 125Z bakal ditamatkan pengeluaran berdasarkan sekeping foto dimuat naik Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dalam laman Facebook wakil pengedar itu yang jelas menunjukkan unit enjin terakhir model ikonik tersebut.
Apa yang tertera pada foto tersebut ialah jenis enjin: model 5XK, nombor enjin: E101EK 207905, jangka masa pengeluaran: 1998-2007, dan tarikh akhir pengeluaran, 27 Disember 2017 (semalam) di kilang Hicom Yamaha Manufacturing Malaysia (HYMM).
Ini bermakna berakhirlah sudah legasi jentera 2-lejang keluaran HLYM untuk pasaran Malaysia. Terdahulu pada September lalu, Modenas turut mengumumkan jualan 1,000 model Dinamik yang juga unit terakhir jentera 2-lejang buatan pengeluar motosikal nasional itu. Lebih istimewa, model berkenaan didatangkan dengan corak edisi terhad bertemakan Harimau Malaya dan dijual pada harga RM6,880.
BACA >>> Modenas Dinamik Edisi Terhad - Inilah 1,000 Unit Terakhir di Malaysia...
Namun, kami belum mendapat sebarang makluman daripada HLYM sama ada unit terakhir 125Z itu akan dijual sebagai model edisi terhad ataupun dihabiskan di pasaran seperti model biasa lain.
HAMPIR 20 DEKAD BERKUASA
Yamaha 125Z melakukan debut pada 1998 dengan menampilkan teknologi penukar bermangkin (catalytic converter) sebagai mematuhi syarat peraturan emisi Euro 1 dan Euro 2. Namun, penguatkuasaan peraturan baharu - Euro 3 - menyaksikan model tersebut, termasuk model 2-lejang lain, terpaksa ditamatkan hayat sebelum 2018.
125Z, yang terkenal dengan julukan 'One-Two-Pai' di kalangan mat motor tempatan meraih populariti yang sangat hebat di Malaysia dan cukup sinonim dengan aksi mat rempit seantero negara, termasuk menjadi jaguh dalam banyak kejuaraan litar lumba amatur dan profesional. Dengan kuasa kuda 17.5ps dan tork 18.1Nm berserta kelajuan maksimum yang mampu mencecah hingga 180kmj, memang sesiapa pun tidak dapat menafikan keunggulan 125Z sebagai 'King of Moped' di Malaysia.
Selamat bersara 125Z!
Leave a Reply