TIADA masalah kalau kapcai yang tumbang, tetapi kalau motosikal besar dengan berat beratus-ratus kilogram terbaring depan mata, mahu menitik juga air mata. Pertama, tengah memikirkan apa yang patah dan calar. Dan kedua, macam mana aku nak angkat motor terbalik ni!?
Sekarang mari kita belajar mengenai cara mudah mengangkat motosikal terbalik menerusi video tutorial di bawah. Langkah diperlukan cukup mudah seperti berikut:
- Bukakan tongkat.
- Duduk atas sisi pelana.
- Tangan kiri tarik brek, manakala tangan kanan memaut bahagian bawah sisi ekor pelana.
- Dalam posisi seperti ahli sukan angkat berat (secara mendada), dengan 70 peratus bahagian badan ke belakang, henjut dan cuba angkat motosikal perlahan-lahan secara konsisten hingga dapat berdiri semula.
- Jika terbalik arah tongkat ke bawah, cara sama juga boleh dilakukan. Cuma tongkat dibuka selepas motosikal dapat didirikan.
TIP EKSTRA
- Sila pakai kasut sesuai dengan tapak masih elok untuk elak tergelincir.
- Cara begini mungkin kurang menjadi atas permukaan jalan licin seperti rumput, tanah liat atau selut, kerikil, dan tidak rata. Sila ambil perhatian dan berhati-hati.
- Minta bantuan rakan atau orang sekeliling jika masih gagal mengangkat motosikal.
- Kalau kapcai, tak payahlah ikut tip ini. Terus saja pegang hendal dan angkat. Tetapi kalau memang betul berat, tidak salah mencuba.
- Ucaplah alhamdulillah jika berjaya.
PEREMPUAN PUN BOLEH ANGKAT!
Cara begini memang mudah. Malah, boleh dilakukan sendiri penunggang wanita seperti ditunjukkan video demo di bawah. Cuma perlukan sedikit kerahan tenaga. Kalau sudah ride big bike, rasanya tiada masalah rider wanita kita nak angkatkan?
Leave a Reply